Tinggal beberapa hari sahaja sebelum Final Fantasy VII Rebirth dilancarkan. Dengan pelbagai demo serta preview yang kami keluarkan, akhirnya kami berpeluang untuk merasai pengalaman penuh untuk game ini! Dengan Cloud dan rakan-rakannya sudah keluar daripada Midgar, kita melihat dunia yang luas menanti mereka. Kalau nak tahu lebih lanjut, jemput baca review penuh kami untuk Final Fantasy VII Rebirth!
Pengembaraan baharu bermula
Final Fantasy VII Rebirth meneruskan naratif yang diperkenalkan dalam Final Fantasy VII Remake dan membayangkan semula plot dan dunia Final Fantasy VII yang asal. Game ini berlaku di dunia yang dikenali sebagai “The Planet” dan berpusat pada perjalanan watak utama ketika mereka berusaha untuk menamatkan kezaliman Shinra Electric Power Company, yang mengawal megapolis Midgar dengan menggunakan Lifestream sebagai senjata dan mengalahkan Sephiroth, SOLDIER legenda Shinra yang dianggap sudah mati dan kini berusaha untuk memanggil Meteor untuk memusnahkan Planet, membolehkannya mencapai tahap dewa dengan bergabung dengan Lifestream.
Final Fantasy VII Rebirth akan merangkumi peristiwa-peristiwa yang berlaku sejak watak-watak itu meninggalkan Midgar dalam perjalanan menuju Forgotten Capital. Walaupun sequence lokasi yang akan dilawati berbeza daripada game asal, penerokaan tempat seperti Wutai yang dikhaskan untuk ansuran ketiga.
Mula sahaja game ini, Square Enix menyediakan ciri “The Story So Far” yang menunjukkan ringkasan cerita Final Fantasy VII Remake. Jadi pemain yang tidak bermain game itu boleh terus main Rebirth tanpa sebarang kebimbangan.
Satu ciri menarik dalam game ini adalah sistem “Relationship”, di mana Cloud boleh mengukuhkan hubungannya dengan setiap ahli parti. Terdapat pelbagai faedah kepada sistem ini, termasuklah keakraban anda dengan setiap watak dapat dicerminkan dalam cerita utama, terutamanya dalam cutscene atau detik istimewa. Sudah tentu ia mengukuhkan aspek kebolehmain semula, terutamanya mereka yang ingin melihat Cloud semakin rapat dengan Tifa mahupun Aerith. Selain itu, ia juga mempengaruhi level parti dan sinergi semasa combat.
Naratif game ini juga diberikan lebih mendalam melalui tambahan side quest dan perkembangan watak baharu, ia membolehkan pemain menyelami lebih mendalam tentang kehidupan serta latar belakang dunia besar ini. Jalan cerita tambahan ini berfungsi untuk meningkatkan pengalaman naratif keseluruhan dan membawa pemain menyelami dunia Final Fantasy VII.
Bercerita tentang side quest, boleh dikatakan Final Fantasy VII Rebirth adalah salah satu game dengan side quest yang terbaik. Setiap rantau mempunyai pelbagai side quest untuk mengenali dunia dengan lebih baik. Selain itu, side quest hadir dengan lakonan suara penuh yang menjadikannya lebih menyeronokkan untuk diselesaikan.
Kami telah mainkan game ini dengan alih suara bahasa Jepun dan Inggeris. Tetapi tidak seperti FFXVI yang berlatarkan zaman pertengahan Eropah, bagi kami FFVII lebih seronok dimainkan dengan alih suara bahasa Jepun, di mana pelakon suara seperti Toshiyuki Morikawa memberikan persembahan yang hebat dalam menggambarkan Sephiroth. Kami juga tabik kepada lakonan suara NPC, di mana kami tidak terasa janggal langsung mendengarnya, jika nak dibandingkan dengan FFVII Remake.
Dunia terbuka yang terbentang luas
Salah satu perubahan besar daripada remake sebelumnya ialah Rebirth mempunyai dunia yang besar untuk diterokai. Terdapat pelbagai aktiviti sampingan yang pemain boleh lakukan seperti melawan raksasa dan perlu menyelesaikannya dalam keadaan tertentu, mencari barang, mencari summon dan sebagainya.
Cara sistem dunia terbuka dalam FFVII Rebirth berfungsi juga sangat mudah. Terdapat “menara” yang boleh dibuka dengan mencapainya pada mana-mana titik pada peta yang telah ditunjukkan. Apabila anda berjaya membuka menara itu, kawasan sekitar akan terbuka untuk mendedahkan pelbagai aktiviti sampingan seperti Combat Assignment, Lifespring, Summon Crystals dan sebagainya.
Walaupun setiap wilayah mempunyai aktiviti sampingan yang sama, namun setiap wilayah cuba untuk mempunyai keunikannya tersendiri. Sebagai contoh, Grassland pada mulanya terasa biasa-biasa sahaja, tetapi apabila memasuki Junon, terdapat Chocobo istimewa yang mendaki gunung yang curam. Di rantau Corel, pemain boleh menggunakan Skuter Elektrik dan memakai baju renang di bandar, atau turun dari gunung tinggi ke tanah menggunakan zipline.
Square Enix juga mengekalkan perasaan dunia terbuka yang realistik. Contohnya, anda tidak boleh mengembara dengan pantas dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Contohnya, dari Grassland ke Junon, anda perlu ke NPC Chocobo Carriage untuk membawa anda. Kemudian, lain pula jika anda pergi dari wilayah Corel iaitu pulau yang berbeza, anda perlu melakukan perjalanan menggunakan feri. Cara-cara mengembara yang berbeza ini membuatkan game ini tidak terasa seperti templat dan berulang apabila bergerak daripada bab ke bab.
Kami bermain game ini dengan tahap kesusahan “normal” dan sejujurnya ia terasa agak sukar untuk main tanpa membuat grinding. Perkara ini menjadi penting untuk mendapatkan bekalan material yang banyak seperti Potion dan mendapatkan atau menambah baik Materia, walaupun anda ingin mendapatkan Summon baharu, sedikit grind diperlukan untuk mendapatkannya, jika tidak ia akan menjadi sukar.
Bagi kami, anda perlu bersedia untuk grind walaupun sedikit, anda tidak boleh melangkaunya untuk meneruskan progress. Melainkan anda mahu bermain pada kesukaran “Easy” yang tidak mencabar sama sekali.
Progression
Progress watak
Untuk progress watak, terdapat sistem baharu yang dipanggil “Folio”. Watak dalam Rebirth mempunyai Folio mereka sendiri, yang kelihatan seperti “skill tress” di mana pemain boleh menyambungkan Skill atau Ability dari satu nod ke nod yang lain. Nod ini boleh dibuka dengan menggunakan Skill Point (SP) yang diperoleh setiap kali anda naik level. Atau, menggunakan buku yang dipanggil Manuscript yang boleh dibeli dari kedai atau melakukan side quest.
Setiap cawangan Folio mempunyai keunikan tersendiri. Sebagai contoh, akan ada yang memberikan watak Ability baharu yang boleh digunakan untuk watak itu sendiri, atau mendapatkan Synergy Skill dan Ability. Ada juga yang memberikan statistik pasif seperti meningkatkan HP, meningkatkan basic attack dan sebagainya. Semuanya boleh disesuaikan mengikut gaya bermain anda.
Pada pendapat kami, Rebirth menawarkan pengalaman gameplay yang lebih dinamik dan strategik dengan kehadiran Folio yang menyediakan pelbagai pilihan yang ketara seperti buff statistik, ability/sinergi baharu. Peralihan daripada linear pada game dahulu mungkin membolehkan pemain menyesuaikan watak mereka dan mencipta strategi yang lebih pelbagai dan menarik semasa pertempuran.
Progress Materia & Equipment
Memandangkan ia adalah dunia terbuka, saya menjangkakan sistem perkembangan watak menjadi lebih rumit. Tetapi ia tidak begitu berbeza dengan remake sebelum ini, terutamanya untuk Materia dan Weapon. Setiap watak menggunakan 3 jenis peralatan, seperti senjata, perisai dan aksesori.
Cara progress senjata berfungsi masih sama, contohnya, jika anda mahu Cloud menjadi spellcaster, anda boleh pakaikannya dengan materia yang mengajar sihir baharu dan memilih peningkatan senjata yang meningkatkan serangan sihirnya. Setiap senjata juga mempunyai kebolehan unik yang berbeza. Satu perkara yang baru kami perasan ialah anda boleh melakukan “auto upgrade” untuk senjata. Setiap senjata watak boleh difokuskan pada Attack, Defense atau Balanced.
Cara upgrade setiap senjata dan materia masih sama. Lebih banyak anda menggunakannya, lebih banyak level mereka akan meningkat. Yang baiknya, ia tidak perlu digunakan pada parti yang aktif, selagi materia atau senjata digunakan pada “semua watak yang boleh dimainkan”, ia masih akan meningkat setiap pertempuran.
Sistem perisai dan aksesori juga masih sama. Setiap gear di sini akan mempunyai statistik yang boleh diselaraskan untuk build watak, dan sudah tentu meta untuk senjata dan perisai tidak berubah, lebih banyak slot materia lebih baik untuk watak itu.
Ada satu ciri baharu yang dipanggil “Item Transmuter”, berfungsi sebagai sistem crafting baru, di mana ia membolehkan pemain untuk mencipta pelbagai item menggunakan sumber yang diperoleh semasa meneroka dunia game. Bukan setakat potion sahaja yang anda boleh hasilkan tetapi, anda juga boleh menghasilkan aksesori berkuasa dan perisai yang agak penting untuk end game.
Di seluruh rantau ini, pemain boleh mengumpul sumber dengan hanya mengambilnya, manakala bahan yang lebih nadir boleh ditemui melalui aktiviti sampingan seperti Lifesprings, atau dengan mengalahkan musuh, side quest, mini game dan lain-lain. Sistem crafting ini juga memberikan lapisan baharu pada pengalaman gameplay. Ini membolehkan pemain untuk lebih peka pada sumber dan strategik dalam mendapatkan item berharga. Kalau anda jenis yang suka meneroka, anda pasti akan rasa berpuas hati.
Combat yang lebih menarik
“Core system” masih sama, dengan menyerang musuh, anda boleh mengisi bar ATB, membuka penggunaan kebolehan lain, magic dan item dalam pertempuran. Mengelak dan bertahan membantu mengelakkan damage, menjadikannya alat yang diperlukan, terutamanya untuk pertarungan yang panjang. Apabila anda ingin menggunakan beberapa teknik selain serangan biasa, buka sahaja menu Tactical mode atau anda boleh guna shortcut yang telah anda set-kan untuk jadikan game ini seperti action RPG yang imersif.
Kini terdapat juga formasi parti yang boleh disesuaikan dalam Final Fantasy VII Rebirth yang menandakan kemajuan ketara pada gameplay, membolehkan pemain merancang secara strategik persediaan parti mereka dengan cara yang meningkatkan keberkesanan pertempuran. Dengan menggabungkan ciri ini, game ini bukan sahaja menambah kedalaman kepada pengkhususan watak tetapi juga menyediakan elemen yang lebih dinamik kepada pengurusan parti, memperkayakan pengalaman pemain dan aliran gameplay secara keseluruhan.
Salah satu sistem pertempuran tambahan terbaik dalam Final Fantasy VII Rebirth ialah penambahan Synergy System. Dua sekutu boleh menggunakan serangan kuat ini untuk mengalahkan musuh. Terdapat Synergy Skills yang tidak memerlukan ATB. Sebagai contoh, Cloud dan Barret, di mana Cloud menghalang dengan Buster Sword manakala daripada belakang, Barret melepaskan serangan jarak jauh.
Selain itu, terdapat juga serangan Synergy Ability yang lebih kuat. Ia seperti serangan “Limit” tetapi menggunakan “Synergy bar” dan dilakukan oleh dua watak serentak, yang memberikan kesan yang lebih malah damage yang besar. Sesetengah daripadanya memberikan anda pelbagai kesan khas seperti penggunaan MP tanpa had dalam tempoh masa yang singkat, tahap Limit Break yang meningkat dan banyak lagi. Ia sememangnya membantu dalam beberapa senario pertarungan.
Pengenalan Synergy Ability dalam Final Fantasy VII Rebirth menambah dinamik yang menarik pada gameplay, membolehkan pemain menggabungkan kekuatan watak mereka secara strategik untuk melancarkan serangan yang kuat. Penekanan pada ikatan hubungan antara watak melalui peningkatan Party Level memberikan kedalaman pada naratif dan elemen strategik game. Ia berkemungkinan memberikan sesuatu yang bermanfaat untuk pemain sambil mereka meneroka dunia dan hubungan dalam mencapai kejayaan.
Tetapi sejujurnya, combat masih terasa sukar kerana ia masih mempunyai gabungan antara Final Fantasy VII klasik dan game aksi moden. Terdapat sistem parry dan dodge, tetapi kadang-kadang kami sudah mengelak cukup jauh tetapi serangan musuh masih terkena pada kami. Ia membuatkan kami rasa combat itu tidaklah begitu lancar seperti game RPG aksi yang kami mainkan. Sejujurnya, kami juga rasa susah untuk mengelak dan menangkis serangan musuh, jadi memang banyak juga damage kami terima semasa berlawan bos walaupun dengan kesukaran Normal.
Secara keseluruhan, reka bentuk combat adalah menarik kerana ia memberi pemain kebebasan untuk menyesuaikan watak dan kebolehan mereka, tetapi kerana combat yang kurang lancar, mungkin akan ada pemain yang sanggup tukar tahap kesukaran game ini walaupun ia tidak akan menjadi mencabar selepas itu.
Mini game yang pelbagai
Tidak dinafikan bahawa Final Fantasy VII Rebirth menawarkan banyak mini game. Antara mini game yang kami pernah tunjukkan kepada anda adalah Queen’s Blood, Moogle Mischief, Piano dan Hustle de Chocobo. Sudah tentu ada banyak lagi mini game yang boleh dimainkan, seperti:
- Jumpfrog
- Pirate’s Rampage
- Run Wild
- Warm Up Crunch Off
Anda boleh menjumpai lebih banyak mini game sambil anda maju dalam penceritaan. Walaupun anda diberi pilihan untuk bermainnya atau tidak, tetapi ada beberapa mini game yang “memaksa” anda untuk mainkannya sebagai kemajuan cerita. Sejujurnya, kami sangat suka main Hustle de Chocobo kerana anda boleh menyesuaikan Chocobo anda dengan kosmetik. Bukan setakat itu sahaja, kalau anda menang dalam mini game itu, ia terasa sangat puas hati apabila memenangi sesuatu.
Visual, Prestasi & Audio
Final Fantasy VII Rebirth dibuat secara eksklusif untuk PS5. Jadi memang tidak pelik jika ia menampilkan grafik yang menakjubkan serta visual yang memukau. Kami tidak rasa ia begitu berbeza dengan grafik pada FFVII Remake, tetapi anda boleh rasakan bahawa ia lebih baik berbanding game terdahulu. Terdapat dua mod grafik yang anda boleh gunakan iaitu Performance dan Graphics. Anda boleh menukarnya pada bila-bila masa yang anda suka tanpa restart game tersebut.
Kami agak kecewa melihat kualiti dalam mode Graphics kerana ia menyebabkan frame rate yang tidak konsisten, terutamanya apabila bertarung dengan bos. Ini sudah tentu memberi kesan yang besar kepada pengalaman gaming secara keseluruhan. Mungkin prestasinya menjadi lebih baik apabila ia dilancarkan secara rasmi dengan Patch hari pertama. Tetapi kami masih rasakan ia masih tidak mampu untuk berikan prestasi yang optimum. Jadi kami main Final Fantasy VII Rebirth dengan mod Performance walaupun ia agak kabur pada perinciannya. Sekurang-kurangnya kami boleh mendapatkan 60 FPS secara konsisten.
Final Fantasy VII Rebirth juga telah menggunakan pelbagai ciri yang terdapat pada PS5. Seperti Adaptive Triggers dan Haptic Feedback. Ia jelas terasa apabila anda meneroka, dengan menunggang Chocobo atau melakukan beberapa mini game seperti Pirate’s Rampage.
Tidak dilupakan dengan muzik hebat yang dihasilkan oleh Mitsuto Suzuki dan Masashi Hamauzu. Tidak kiralah anda meneroka dunia yang luas, nada penceritaan yang berbeza mahupun pertarungan yang sengit, muzik yang dimainkan memberikan kami kepuasan yang tinggi!
Kesimpulan
Kami pada mulanya tidaklah mempunyai jangkaan yang tinggi untuk Rebirth kerana Square Enix telah lakukan kerja yang begitu baik pada Remake. Ternyata kami salah kerana Final Fantasy VII Rebirth jauh berbeza daripada game yang lalu, terutamanya dunia yang berkembang menjadi satu persekitaran yang lebih terbuka berbanding linear. Penerokaannya juga lebih besar serta pertempuran yang lebih pelbagai digabungkan pula dengan penceritaan yang mungkin membuatkan semua peminat terkejut!
Anda juga disajikan dengan pelbagai kandungan serta lebih bebas dalam menentukan jalan cerita untuk perjalanan anda, melihat betapa rapatnya watak-watak antara satu sama lain serta rasa puas hati apabila menyelesaikan semua perkara. Kalau anda peminat Final Fantasy VII, kami pasti anda akan sukakannya. Cuma sayangnya prestasi game pula yang menjadi masalah. Harap-harap sangat Square Enix boleh menambah baiknya dari semasa ke semasa.
Final Fantasy VII Rebirth akan dilancarkan pada 29 Februari ini di PS5. Untuk mendapatkan segala liputan mengenai Final Fantasy daripada kami, boleh klik pautan ini.
Kod diberi oleh Square Enix Asia dan Bandai Namco Entertainment Asia
@gamersantaimy
The Review
Final Fantasy VII Rebirth
PROS
- Pelbagai kandungan yang tersedia melalui dunia yang besar
- Pengalaman combat yang lebih dinamik dan strategik
- Pengalaman penerokaan yang pelbagai
- Sistem relationship akan mempengaruhi cutscene yang ditayangkan
- Semua side quest mempunyai alih suara
CONS
- Prestasi bermain Mode Graphics yang tidak konsinten
- Combat boleh menjadi sukar dan membuatkan pemain sakit hati
Discussion about this post