ASTRO BOT ialah sekuel platformer yang dinanti-nantikan daripada Team Asobi, selepas kejayaan Astro’s Playroom. Bakal dikeluarkan pada 6 September, entri kali ini didakwa menambah baik segala aspek daripada pendahulunya dengan menyampaikan pengembaraan yang lebih epik dan menarik bersama robot yang disayangi, Astro.
Bersama kreativiti dan kehebatan teknikal Team Asobi, pemain akan memulakan perjalanan melalui dunia imaginatif yang dipenuhi dengan cabaran inventif, teka-teki hebat, dan muka-muka terkenal daripada francais PlayStation. Setiap peringkat direka untuk menyerlahkan keupayaan unik PlayStation 5, memanfaatkan sepenuhnya sistem untuk meningkatkan gameplay.
Adakah ia dapat mengulangi kejayaan Astro’s Playroom pada 2020? Teruskan membaca reviu ini.
Plot
Kisah bermula apabila Astro memandu kapal induk PS5 bersama ahli kru Bot yang lain, menavigasi melalui ruang angkasa. Tiba-tiba, mereka ditemui UFO, di mana musuh tersebut mencuri pemproses dari kapal induk PS5 lalu menyebabkan kapal kehilangan kuasa dan terhempas ke planet yang tidak diketahui.
Untuk mendapatkan semula ahli-ahli kru yang bertaburan dan mengumpul setiap bahagian kapal angkasa yang hilang, Astro menaiki Dual Speeder, sebuah kenderaan yang dimodelkan berdasarkan controller DualSense, dan memulakan pengembaraan berbahaya merentasi galaksi dan planet yang berbeza.
Gameplay
Meneroka Galaksi Berbeza Tema
Game ini menampilkan pelbagai galaksi, termasuk Lost Galaxy yang hanya boleh dibuka selepas mengaktifkan mekanisme tertentu.
Setiap galaksi mengandungi 6 hingga 8 planet, lazimnya terdiri daripada: empat planet, satu planet yang dihuni oleh boss jahat, dua planet mini yang tersembunyi dan planet khas di mana anda boleh mencari bahagian dari kapal induk PS5 yang terhempas.
Setiap planet mempunyai tema unik, yang sangat berbeza antara satu sama lain. Tema ini termasuk taman air musim panas, runtuhan purba, landskap bersalji, padang pasir seperti di mesir, seni bina tradisional Jepun, tema hantu dan banyak lagi.
Setiap level direka dengan teliti, di mana segala persekitaran, objek, dan juga musuh mencerminkan tema planet ini.
Dari segi gameplay, setiap level menawarkan cabaran dan mekanik berlainan, dengan kejutan baharu pada setiap peringkat, untuk memastikan pengalaman tidak terasa repetitif atau berulang. Ini menjadikan pengalaman sentiasa ‘segar’ untuk semua orang, tidak kira pemain berpengalaman atau pendatang baharu.
Abiliti dan Reka Bentuk Teka-teki
Abiliti memainkan peranan penting kerana Astro memperoleh pelbagai kuasa pada setiap planet untuk membantu mengatasi cabaran.
Berikut adalah beberapa abiliti yang saya sempat cuba:
- Twin-Frog Gloves: Sarung tangan tinju bertemakan katak ini membolehkan Astro berayun ke platform yang lebih tinggi dengan melekat pada permukaan memakai lidah katak. Ia juga boleh digunakan untuk menyerang musuh yang jauh.
- Elephant Watering Can: Besar siram berbentuk gajah ini boleh menyerap lendir dan madu dari tanah, yang kemudian boleh dilepaskan oleh Astro semasa melompat untuk mencipta platform sementara, membolehkan dia bergerak ke atas.
- Mouse Shrinker: Gajet berbentuk tikus ini membolehkan Astro berubah menjadi tikus kecil, membolehkan dia melalui lubang kecil atau ruang sempit. Dalam bentuk tikus, Astro boleh terapung ke kawasan yang lebih tinggi menggunakan kipas atau pecahkan objek dengan menukar antara saiz besar dan kecil.
- Time Stopper VR: Gabungan beg galas bergaya jam dan cermin mata VR, abiliti ini memperlahankan segala-galanya di sekiling Astro. Beg galas memulakan kira detik, selepas itu masa kembali normal. Astro boleh menggunakan abiliti ini untuk merentasi bahagian yang sukar dan menghampiri musuh.
- Transformation Sponge: Astro bertukar menjadi span. Apabila Astro masuk ke dalam air, span akan menyerap air, membolehkannya membesar lalu menghancurkan objek gergasi, mengaktifkan mekanisme dengan memerah air, dan juga memadamkan api dan lantai magma.
Teka-teki biasanya muncul di level tersembunyi, memerlukan pemain untuk menyelesaikannya bagi membuka mekanisme tertentu atau mendapatkan ganjaran rahsia. Walaupun teka-teki bukanlah fokus utama dalam game, ia memberi rasa pencapaian—memotivasikan pemain untuk meneroka dan mencari lebih banyak lokasi tersembunyi.
Pangkalan Crash Site
Crash Site, iaitu planet di kapal induk PS5 terhempas, berfungsi sebagai pangkalan sementara untuk Astro dan ahli kru Bot yang diselamatkan. Semua Bot yang diselamatkan oleh Astro dari pelbagai planet dihantar ke pangkalan ini.
Semasa meneroka planet berbeza, anda mengumpul kepingan teka-teki. Dengan mengumpulkan 12 keping teka-teki, ia akan membuka ciri baharu di Crash Site.
Ciri pertama yang dibuka ialah Gatcha Lab, yang memerlukan syiling yang dikumpulkan. Fungsinya akan diterangkan nanti di bawah. Ciri kedua ialah Dual Speeder Paint Shop, membolehkan anda customize warna kenderaan. Ciri ketiga ialah Astro’s Costume Shop, di mana anda boleh memakaikan Astro dalam pelbagai kostum.
Sudah tentu, ada lebih banyak ciri untuk ditemui, tetapi saya tidak akan cerita semuanya dalam reviu ini.
Bahagian kapal yang dibawa balik oleh Astro juga akan dipasang di sini. Dengan membaiki semula Mothership, kita boleh belajar tentang struktur asas PS5, yang memberi ilmu dan fakta yang mungkin orang ramai tidak tahu tentang konsol tersebut.
Interaksi bersama Controller DualSense
Sebagai studio first-party di bawah Sony Interactive Entertainment, Team Asobi melengkapi game ini dengan pelbagai ciri-ciri controller DualSense, menggunakan sepenuhnya fungsi yang sering diabaikan.
Selain input joystick dan butang standard, kami boleh menggunakan motion sensor milik DualSense untuk mencondongkan controller dan mengawal Dual Speeder, serta membimbing arah Astro bergerak.
Adaptive trigger berfungsi untuk tindakan yang memerlukan pengecasan, membolehkan pemain benar-benar merasakan “kuasa dan tension” daripada power-up; Haptic feedback pula sangat membantu dalam mencari mekanisme yang betul semasa teka-teki.
Ternyata, game ini menggunakan sepenuhnya keupayaan DualSense, meningkatkan keasyikan dan pengalaman keseluruhan.
Kolaborasi Istimewa antara IP Besar PlayStation
Bot VIP
Di setiap planet biasa, kami menyelamatkan lebih kurang 2 hingga 3 Bot VIP, yang merupakan wajah terkenal daripada pelbagai game di bawah naungan PlaySation. Kita boleh berjumpa dengan Kratos dan anaknya daripada God of War, Joker daripada Persona 5, Mantis daripada Metal Gear dan banyak lagi watak unik lain.
Memandangkan kami tidak tahu Bot apa yang akan muncul di setiap planet, ia sentiasa menjadi kejutan apabila bertemu dan menyelamatkan mereka, membuatkan saya meneka watak mana yang akan ditemui selepas ini.
Fungsi utama Gatcha Lab berkaitan dengan hal ini. Kami mendapatkan item istimewa untuk Bot VIP secara rawak daripada Gatcha Lab. Apabila Bot VIP menerima item eksklusif, kami boleh berinteraksi dengan mereka di sekitar pusat Crash Site.
Hanya Bot yang memiliki item istimewa sahaja akan melakukan aksi ikonik mereka, manakala mereka yang tiada item tidak akan memberi respon langsung langsung.
Planet Khas
Sebagai tambahan kepada Bot VIP, setiap galaksi juga menampilkan planet khas di mana bahagian Mothership telah jatuh. Planet-planet ini mempunyai tema berdasarkan unsur-unsur daripada game itu sendiri.
Selain persekitaran, Astro akan memakai kostum dan memperoleh abiliti yang sepadan dengan watak utama daripada game tersebut. Sebagai contoh, di planet bertemakan God of War, kita bukan sahaja akan bertemu dengan Kratos dan Atreus, tetapi juga dapat menggunakan Leviathan Axe.
Itu baru satu contoh! Ada banyak lagi yang anda boleh temui.
Pendapat
Secara keseluruhan, Astro Bot ialah game platformer luar biasa yang terus menarik perhatian semua orang, tidak kira kanak-kanak, remaja, malah dewasa, dengan gameplay yang inventif dan menarik.
Game ini cemerlang dalam mencipta dunia bertema yang berwarna-warni dan memastikan setiap level terasa mengujakan. Penambahan abiliti unik dan pelbagai cabaran memastikan gameplay kekal dinamik dan menyeronokkan.
Pada masa yang sama, planet khas dan Bot VIP membawa unsur kejutan dan nostalgia. Setiap detik dalam game ini direka dengan teliti, menjadikan Astro Bot pengembaraan yang benar-benar tidak dapat dilupakan, lagi-lagi jika anda peminat tegar PlayStation.
Bagi mereka yang berminat, ASTRO BOT bakal keluar di PlayStation 5 pada hari esok, 6 September. Untuk beli, anda boleh tekan SINI!
Pada masa yang sama, Astro Bot akan menganjurkan Launch Event di Sunway Pyramid bermula 12 September. Pemain dijemput untuk menyertai perayaan dan merasai sendiri daya tarikan game ini, dan untuk baca lebih lanjut tentang acara, sila rujuk artikel ini.
@gamersantaimy
The Review
ASTRO BOT
Secara keseluruhan, Astro Bot ialah game platformer luar biasa yang terus menarik perhatian semua orang, tidak kira kanak-kanak, remaja, malah dewasa, dengan gameplay yang inventif dan menarik. Game ini cemerlang dalam mencipta dunia bertema yang berwarna-warni dan memastikan setiap level terasa mengujakan. Penambahan abiliti unik dan pelbagai cabaran memastikan gameplay kekal dinamik dan menyeronokkan.
PROS
- Reka bentuk dunia yang kreatif dan berwarna-warni.
- Pelbagai abiliti inovatif dan bervariasi
- Kolaborasi yang seronok antara IP lain di bawah PlayStation
- Cabaran menarik dan direka dengan baik
- Memanfaatkan sepenuhnya ciri DualSense dengan sempurna
CONS
- Majoriti kandungan tersembunyi & memerlukan beberapa playthrough untuk dibuka/ditemui
Discussion about this post