Filem pertama The Matrix lakonan Keanu Reeves dianggap sebagai salah satu karya sci-fi terhebat sepanjang masa oleh Lilly dan Lana Wachowski yang juga merupakan adik-beradik. Kejayaan filem ini menghasilkan dua sekuel, The Matrix Reloaded dan The Matrix Revolutions, yang akhir sekali dilihat pada tahun 2003 selepas disambut dengan ulasan negatif. 18 tahun berlalu, jadi mengapa Lana Wachowski memilih untuk menghidupkan semula francais itu sekarang? Diarahkan oleh Lana Wachowski tanpa kakaknya Lilly, The Matrix Resurrections berjanji akan menceritakan kisah baru tetapi nostalgik, yang menimbulkan soalan “di realiti mana patut Neo teruskan hidup?.”
Tanpa melengahkan masa lagi, inilah review saya untuk The Matrix Resurrections!
Berikut mengandungi spoiler ringan, sila baca dengan hati-hati!
The Matrix Resurrections berlaku kira-kira 20 tahun selepas peristiwa di Revolutions — Neo (Keanu Reeves) menjalani kehidupan yang normal di San Francisco sebagai Thomas Anderson, seorang pemaju permainan video yang berjaya. Dari luar, memang jelas kita boleh lihat dia mengalami beberapa masalah peribadi, yang dibuktikan apabila dia pergi melawat ahli terapinya (Neil Patrick Harris), yang memberi sejenis “pil biru” mencurigakan selepas Neo mengaku dia mengalami visi dan mimpi yang ganjil.
Dia juga terpikat dengan seorang wanita (Carrie-Anne Moss) yang sering mengunjungi kedai kopi berhampiran pejabatnya tetapi memberanikan diri untuk memperkenalkan dirinya kepada wanita tersebut. Apabila seorang rakan kongsi bernama Smith (Jonathan Groff) datang tentang permintaan yang tinggi untuk sebuah game baru, ia menyebabkan Neo mengalami masalah mental, yang tiba-tiba menjadi semakin parah apabila dia didekati oleh dua orang yang tidak dikenali iaitu Bugs yang berambut biru (Jessica Henwick) dan seorang lelaki bernama Morpheus (Yahya Abdul-Mateen II). Untuk jalan cerita, itu sahaja yang saya boleh dedahkan.
Ramai yang sangsi apabila Lana Wachowski kembali untuk menyambung francais tetapi nampaknya risiko itu sangat berbaloi kerana selain dari menawarkan banyak adegan aksi dan adegan berfalsafah tentang “makna menjadi seorang manusia dengan kehendak bebas”, francais juga dapat memberi perspektif baru yang hadir dalam bentuk “cinta.” Dalam alam yang dikuasai oleh teknologi dan sains, Neo dan Trinity (wanita misteri di atas) sebenarnya berkait pada konsep yang tidak logik iaitu takdir.
Walaupun filem itu bermula dengan masing-masing tidak saling mengenali sesama sendiri, terdapat satu tarikan yang berlaku pada kali pertama mereka berjabat tangan, yang sentiasa mengikat takdir mereka bersama walaupun ada pihak cuba memisahkan pasangan tersebut. Apabila Neo sedar diri dalam dunia realiti Matrix yang baru (selepas makan pil merah dari Morpheus) misi utamanya adalah untuk menyelamatkan Trinity — dan cinta sejati ini yang mempengaruhi setiap pilihan dia buat mulai saat itu.
Dari segi lakonan, banyak yang saya ingin puji tidak kira jika mereka pelakon baru mahupun pelakon lama yang memegang watak ikonik. Watak Bugs lakonan Jessica Henwick mempunyai keyakinan diri yang mendorong majoriti jalan cerita ketika dia berusaha tanpa henti untuk membebaskan Neo daripada Matrix. Walaupun bertukar pelakon, Morpheus lakonan Abdul-Mateen kini kurang digambarkan sebagai “orang yang memberi petunjuk” dan sebaliknya direka untuk menyedarkan Neo yang keliru, sambil memberi sedikit bahagian lawak di sana sini. Sebagai “The Analyst”, Neil Patrick Harris bertanggungjawab untuk menyampaikan kebanyakan monolog falsafah metafizik, dalam nada yang tenang tetapi tegas apabila menyentuh topik realiti minda yang bahaya.
Dari tadi puji kan? Hah, filem ini tidaklah bagus 100% dan bahagian ia gagal adalah semasa aksi. Sekuel ini masih memfokuskan pada aksi yang sama di mana Matrix sentiasa melanggar undang-undang fizik untuk menghasilkan banyak visual yang mendebarkan. Namun dalam filem ini, anehnya mereka tidak lagi menggunakan aksi kung-fu terbang dan rakaman “wide-angle” yang membuatkan filem pertama sangat terkenal. Hasilnya, kita akan menonton banyak adegan “close-up” memeningkan pada babak tertentu yang menjadikan aksi di atas skrin sangat sukar untuk faham. Ini adalah kekurangan terbesar untuk filem ini, dan mungkin (bagi pendapat saya) jika mereka menggunakan formula lama untuk babak aksi dan sudut kamera, saya yakin sekuel ini akan berjaya.
Soalan paling lazim tentang sebuah sekuel, terutamanya untuk filem yang akhirnya dikeluarkan selepas bertahun-tahun menunggu, adalah sama ada “ia berbaloi untuk ditonton atau tidak.” Untuk The Matrix Resurrections, Lana Wachowski sebenarnya berjaya menyampaikan filem yang memuaskan hati dari segi jalan cerita dan dapat memberi jawapan definitif kepada peminat lama- pendapat ini hanya subjektif dan ramai akan memberi pendapat bercampur.
Dalam banyak aspek di mana sesebuah filem sekuel kerap gagal, The Matrix Resurrections berjaya meneruskan kisah tentang apa terjadi pada setiap watak dan apa mereka perlu buat selepas itu. Sambil mengimbas masa lalu, Neo dan Trinity harus maju ke hadapan pada masa yang sama. Malangnya, adegan aksi tidak seronok dan teruja seperti dahulu, jadi saya faham kenapa ramai yang mungkin tidak puas hati atau faham sedangkan mereka boleh sahaja mengambil formula lama tetapi cuba untuk menyampaikannya dalam cara yang lebih moden. Teknologi kan semakin canggih, tiada apa yang mustahil.
Secara keseluruhan, saya anggap The Matrix Resurrections sebagai sekuel yang mengagumkan kerana menyajikan banyak elemen dan perspektif unik walaupun berisiko, serta menggalakkan penonton untuk memahami maksud “melawan takdir demi mencapai kesimpulan yang kita inginkan.”
The Matrix Resurrections kini boleh ditonton di seluruh pawagam Malaysia.
@gamersantaimy
Discussion about this post