Pada Julai yang lalu, Sony telah mengumumkan headset gaming terbaru iaitu INZONE. Terdapat tiga varian untuk headset INZONE ini iaitu H3, H7 dan H9. Kami telahpun review headset INZONE H3 tetapi kini kita lihat pula headset H9. Kalau anda ingin tahu, H9 merupakan headset paling mahal antara ketiga-tiga barisan INZONE yang dijual pada tanda harga RM 1299. Pasti anda ingin tahu bagaimana prestasi headset ini kan? Jadi tanpa membuang masa, jom kita lihat apa yang tersedia pada INZONE H9!
Item yang datang bersama H9
Kotak produk untuk H9 boleh tahan besar juga. Di dalamnya terdapat headset H9, USB receiver untuk PC dan PS5, kabel pengecas, stiker dan sudah tentu manual penggunaannya.
Reka bentuk
Lihat sahaja pada H9, terus teringat pada konsol PS5. Mana tidaknya, skema warnanya yang berwarna hitam dan putih sangat padan dengan konsol tersebut. Ia juga datang dengan beberapa ciri yang sangat bagus untuk pemain konsol PS5. Saya akan cerita mengenainya kemudian. Kalau anda ingin tahu, saiznya juga lebih besar berbanding headset H3 malah datang dengan earcup yang lebih besar. Berbanding headset INZONE lain, earcup H9 datang dengan lapisan kulit. Ianya sangat selesa untuk dipakai dengan lama. Telinga saya juga tidak ada rasa sakit semasa memakainya terima kasih pada span lembut headset. Disebabkan warnanya sama dengan PS5, lama-kelamaan warna putih headset boleh jadi kekuningan. Kalau Sony ada rancangan untuk membawa varian warna lain yang lebih gelap untuk INZONE, rasanya lebih bagus.
Kedua-dua earcup H9 mempunyai butang kawalan dengan fungsi masing-masing. Pada earcup sebelah kiri, terdapat skrol bunyi, butang untuk mod ANC (Active Noise Cancelling)/Ambient dan port USB Type-C untuk cas. Mikrofon headset juga terletak pada bahagian kiri. Manakala earcup kanan pula mempunya butang kuasa, butang Bluetooth dan butang khas untuk naikkan atau turunkan audio ketika bersembang dengan kawan atau gaming.
Kebanyakan earcup headset gaming sekarang semua boleh dipusing 90 darjah. Terima kasih Sony sebab ikut trend sekarang. Kalau anda jenis yang suka gantung headset pada leher, tidaklah ia mengganggu pergerakan kepala malah H9 juga mudah untuk disimpan dalam beg. Malang sekali headset H9 tidak datang dengan begnya tersendiri untuk disimpan.
Pengalaman memakai H9 dan Ciri INZONE Hub
Seperti yang saya katakan, headset H9 ini besar. Tetapi kadang-kadang takut juga ia patah lagi-lagi pada earcup-nya. Dia punya pusing memang “smooth” sangat. Tetapi nasib headset ini kuat. Dia punya headband pun boleh tahan juga elastik, jadi ia tidak akan patah dengan senang walaupun telah diregangkan.
Saya telah memakai headset ini lebih daripada 6 jam. Telinga memang tidak ada rasa sakit langsung cuma panas sahajalah masalahnya. Agak berpeluh juga bila memakainya lebih-lebih lagi dengan cuaca Malaysia yang tidak menentu. Bolehlah sekali-sekala tanggalkan sekejap headset apabila memakainya nanti.
Untuk gunakan headset ini sangat mudah. Anda boleh sambungkan USB receiver yang datang bersama-sama H9 pada PS5 atau PC. Receiver tersebut mempunyai suis untuk tukar platform. Jadi kalau anda ingin gunakan H9 pada PS5, jangan lupa untuk tukar suis itu kepada mod PS5. Selepas itu, hanya masukkan sahaja USB receiver tersebut pada port konsol dan anda boleh terus gunakan kesemua ciri headset H9. Sudah tentu anda kena pasangkan dahulu headset tersebut dengan PS5 menggunakan Bluetooth. Anda gunakan sahaja segala butang pada headset untuk kawal audio H9. Tidak ada software tambahan yang diperlukan.
Berbeza pula dengan PC, anda perlu install INZONE Hub untuk merasai segala ciri-ciri yang ada pada H9 seperti mode ANC/Ambient atau 3D audio-nya. Kalau tidak ia hanyalah seperti headset Bluetooth yang biasa. Selepas install software tersebut, anda akan melihat beberapa tetapan seperti sound, device dan app sync. Selain itu, paras bateri juga ditunjuk di INZONE HUB.
Pada Sound Setting, terdapat sound profile dan mode Noise Cancelling. Melalaui sound profile itu, ada beberapa profile audio yang tersedia untuk anda gunakan, tidak kiralah untuk gaming, mendengar muzik ataupun menonton filem. Kalau anda tidak berpuas hati dengan profil sedia ada, anda juga boleh menghasilkan profile tersendiri. Saya memang tidak pandai gunakan equalizer, jadi saya gunakan sahaja profile tersedia semasa menggunakan headset ini.
Melalui software ini juga, anda boleh kawal kelantangan audio serta menukar mod headset kepada ANC atau Ambient. Jadi kalau anda jenis yang tidak suka bunyi bising diluar boleh sahaja gunakan mod ANC. Tetapi ia tidaklah begitu senyap kerana saya masih lagi boleh dengar bunyi kipas bilik cuma tidaklah bising sangat.
Cuma agak sedikit kecewa kerana H9 ini hanya boleh digunakan pada PS5 dan PC sahaja. Saya telah cuba untuk pasangkannya pada fon mobile dan konsol lain tetapi malang sekali tidak boleh. Berbeza dengan H3 yang boleh digunakan pada mana-mana platform asalkan ia mempunyai headphone jack 3.5 mm.
Prestasi audio dan mikrofon
Saya telah menggunakan H9 untuk main game yang manfaatkan 3D audio daripada teknologi bunyi spatial pada H9. Memandangkan game Stray pun baru sahaja keluar semasa mencuba headset ini, saya habiskan masa dengan bermainnya. Memang terbaik juga prestasinya audionya. Ia berjaya menangkap segala bunyi daripada persekitaran bandar terbiar dalam game tersebut. Jadi kalau tiba-tiba dengar bunyi “Zurk” bolehlah saya siap sedia untuk lari daripada tempat itu. Disebabkan saya tidaklah begitu suka main game FPS, tetapi saya sempat bermain PUBG sejam untuk lihat prestasinya. Setiap bunyi tembakan jauh serta tapak kaki musuh, memang boleh dengar dengan baik. Jadi, tidak ada masalah kalau anda ingin main FPS dengan H9.
Selain daripada game mestilah kena cuba headset ini untuk benda lain seperti Youtube, Netflix dan Spotify. Dengan menggunakan sound profile muzik yang ada di INZONE Hub, memang ada perbezaan pada lagu yang saya dengar. Apabila layan filem di Netflix, rasa macam kita sendiri ada dalam filem tersebut. Lagi-lagi kalau tengok filem aksi serta seram. Memang meremang dibuatnya.
Apabila saya aktifkan ANC, bunyi sekeliling memang terus menjadi sunyi kecuali bunyi kipas bilik. Itupun bunyi dia tidaklah kuat mana. Kalau ada orang menjerit dekat dengan headset juga masih boleh dengar tetapi kalau jauh tidak akan dengar punyalah. Mod ambient pula membolehkan anda mendengar semula bunyi sekeliling tetapi masih lagi perlahan. Jadi sesuai untuk digunakan jika anda ingin berbual dengan orang lain.
Kalau anda sedar, INZONE H9 tidak mempunyai butang mute untuk mikrofonnya. Mikrofon akan aktif apabila anda turunkan kedudukannya sehingga bunyi “klik”. Kalau anda ingin mute, anda perlu naikkannya semula. Oh ya, mikrofon ini tidak boleh ditanggalkan. Jangan pula gatal tangan cuba untuk tanggalkannya pula. Disebabkan headset ini merupakan headset yang diiktiraf oleh Discord, saya juga habiskan masa melepak dalam discord bersama rakan-rakan. Apabila saya tanya tentang kualiti suara, mereka kata suaranya sama seperti mikrofon yang saya pakai. Tetapi nasib baik suara yang disampaikan masih lagi kuat dan nyata. Untuk headset dengan harge sebegini, agak kecewa juga apabila kualitinya sama seperti mikrofon headset yang lebih murah.
Hayat bateri
Menurut Sony, H9 boleh digunakan sehingga 32 jam jika bateri penuh. Nampaknya Sony tidak main-main. Paras bateri headset masih lagi di paras bar penuh walaupun sudah digunakan lebih daripada 6 jam. Senang cerita baterinya mungkin bertahan lebih daripada empat hari. Itu pun jika anda tidak menggunakannya selalu. Kalau baterinya habis juga tidak menjadi masalah kerana H9 mempunyai pengecasan pantas dengan kabel USB yang diberikan.
Kesimpulan
INZONE H9 sememangnya headset gaming terbaik yang anda boleh dapatkan untuk PC dan PS5. Dengan lebih banyak game PlayStation memasuki pasaran PC, mungkin anda inginkan peranti yang boleh menangkap pengalaman game tersebut. Walaupun PS5 sudah mempunyai headset-nya tersendiri iaitu Pulse 3D, Inzone H9 antara pengganti yang baik untuknya. Cuma itulah harganya pula lagi mahal berbanding Pulse 3D. Mikrofonnya juga tidaklah begitu hebat kerana kualitinya sama sahaja seperti mikrofon murah. Nasib baik suara masih jelas untuk didengar. Walaupun begitu, prestasi audionya memang terbaik lebih-lebih lagi dengan teknologi spatial yang membawa pengguna selami dunia game dan filem yang dimainkan.
Kalau anda mempunyai bajet yang besar, memang saya syorkan anda untuk dapatkan INZONE H9. Kalau inginkan headset yang lebih mesra bajet boleh cuba H3 atau H7. Tetapi sudah tentu ciri-cirinya tidak sama seperti H9 yang mempunyai mod ANC. Anda boleh melawat laman web rasmi Sony untuk membeli headset ini. Untuk membaca review kami untuk H3, anda boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post