Baru-baru ini, Sony mula membuat kejutan dengan memperkenalkan satu barisan baru yang khas untuk gaming iaitu INZONE. Buat masa sekarang, barisan INZONE terdiri daripada headset dan monitor yang menggunakan tema sama seperti PS5 iaitu putih dan hitam. Dalam barisan headset INZONE, ia terdiri daripada Sony INZONE H3, H7 dan H9.
Dengan melancarkan barisan INZONE, nampaknya Sony memberikan tumpuan untuk memberikan pemain pengalaman yang praktikal bersama kualiti yang baik. Kami diberi peluang untuk mencuba salah satu daripada headset terbaru mereka iaitu Sony INZONE H3. Jadi, tanpa melengahkan masa lagi, jom kami ceritakan pengalaman semasa menggunakannya.
Reka bentuk
INZONE H3 didatangkan dengan reka bentuk minimalist yang sangat mudah. Disebabkan headset ini mempunyai wayar, anda boleh menggunakannya dengan sangat mudah. Senang cerita “plug & play.” Dengan menggunakan bicu audio yang standard, ia boleh digunakan bukan sahaja di PC tetapi semua peranti yang didatangkan dengan port bicu audio termasuk PlayStation, Nintendo Switch dan telefon.
Earcup INZONE H3 dibuat dengan bahan yang selesa dan boleh dipakai dalam jangka masa yang panjang. Tidak lengkap rasanya jika headband yang ada pada headset ini kurang selesa, jadi mereka memberikan bahan yang lebih selesa padanya dan menjadikan gabungan yang baik. Dengan reka bentuk yang minimalist dan rasa yang selesa, anda boleh gunakannya sebagai aksesori di mana anda meletakkannya di bahagian leher semasa tidak menggunakannya.
Semasa menggunakannya, kami pasti anda akan rasa keselesaan yang sangat baik dan ia merupakan kriteria yang sangat penting untuk penggunaan dalam jangka masa panjang. Tidak seperti headset yang berada di pasaran sekarang, kadang-kadang sesetengah headset memberikan tekanan yang kuat sehingga anda boleh rasa pening atau gatal-gatal di sekitar telinga kerana earcup tidak mempunyai kualiti yang kurang selesa.
Dengan menggunakan tema warna hitam dan putih, sudah pasti ia serasi dengan PlayStation 5. Bentuknya juga memang lain daripada yang lain. Reka bentuk headset ini seakan berbentuk kapsul dan tidak berbentuk bulat seperti headset yang berada di pasaran sekarang.
Apa yang kami bimbang adalah warnanya sahaja. Oleh kerana ia didatangkan dengan warna putih, kami risau ia akan mudah kotor atau bertukar warna.
Kualiti Audio
Earcup dah cukup selesa. Jadi, kita tengok pula kualiti audio. Pada kami, kualiti audio H3 memang sangat bagus dan sebenarnya melebihi daripada jangkaan kami. Setelah menggunakan dalam jangka masa yang panjang, headset ini dapat menghasilkan bunyi yang sangat jelas sehingga tidak mendengar bunyi daripada luar.
Kami ada cuba bermain Sekiro: Shadows Die Twice untuk mencuba kualiti audio dan hasil yang diberikan sangat memberangsangkan kerana ia mengeluarkan bunyi yang sangat tajam pada setiap hentakan pedang dan seolah-olah menusuk ke telinga. Bukan itu sahaja, INZONE H3 dapat mengesan jarak musuh dengan baik. Jadi, anda boleh memberikan reaksi yang lebih cepat bagi setiap pergerakan musuh.
Tidak lupa juga kepada ciri-ciri yang paling penting iaitu audio 3D. Dengan ciri-ciri seperti ini, anda boleh bergantung kepada headset ini kerana ia dapat menghasilkan kualiti audio yang realistik. Jadi, anda boleh mengetahui sumber bunyi yang ada dalam game. Untuk mencuba kualiti audio 3D, kami bermain Demon’s Souls dan Returnal dan hasil yang kami sangat memuaskan hati kerana bunyi yang dikeluarkan sangat menakjubkan.
Pada bahagian mikrofon pula, ia sudah tersedia bersama INZONE H3 dan tidak boleh ditanggalkan. Walaupun begitu, kualiti audio yang ditangkap olehnya sangat baik daripada apa yang kami jangkakan. Namun, ia masih bukan pilihan yang baik untuk merakam bunyi untuk content creator tetapi ia masih memadai untuk berkomunikasi bersama rakan semasa bermain game ataupun mesyuarat online.
Kesimpulan
Secara keseluruhan, kami sangat berpuas hati dengan kualiti Sony INZONE H3 bukan sahaja dalam bahagian audio, tetapi dari segi reka bentuk dan keselesaannya juga. Lagi-lagi dengan gabungan audio 3D bersama game eksklusif PS5, sudah pasti ia dapat menghasilkan bunyi yang lebih baik.
Walau bagaimanapun, ia masih tidak sempurna kerana INZONE H3 merupakan headset permulaan dan ada lagi dua varian diatasnya iaitu INZONE H7 dan INZONE H9. Yang membuatkan kami sedikit kecewa adalah INZONE H3 tidak didatangkan dengan ciri-ciri wireless dan wayar yang ada pun sangat nipis.
Jadi, kami risau akan ada situasi di mana wayar itu bengkok dengan sangat teruk hingga rosak atau digigit oleh haiwan peliharaan. Malang sekali, INZONE H3 tidak didatangkan dengan noice cancellation tetapi ia masih mempunyai audio yang lebih baik.
Sony INZONE H3 telah pun mula dipasarkan di Malaysia. Jadi, anda boleh dapatkan INZONE H3 pada harga RM 439.00 di Store Sony Malaysia. Untuk mendapatkan lebih banyak review berkenaan game dan teknologi, sila klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post