Jangan terkeliru dengan versi 2020, ROG Zephyrus G14 (2021) adalah komputer riba gaming terbaru ASUS – dan ulasan ini akan melihat bagaimana ia akan berprestasi. Untuk itu, saya harus berterima kasih kepada ASUS kerana menghantar kami ROG Zephyrus G14 model GA401QM dengan RTX 3060 untuk membuat ulasan. Harap maklum bahawa ulasan ini adalah berdasarka model GA401QM di mana sejumlah ciri dan perkakasan yang dijelaskan mungkin tidak tersedia pada model lain. Oleh itu, mari kita selami review ROG Zephyrus G14 (2021) ini!
Spesifikasi rasmi
Model | GA401QM |
CPU | AMD Cezanne R9-5900HS |
GPU | Nvidia GeForce RTX 3060 |
VRAM | 6 GB GDDR6 |
Display | 14-inch WQHD (2560 x 1440) 16:9anti-glare display |
Panel (Main option) | IPS QHD 120Hz, 100% DCI-P3, 300 nits |
Panel (Second option) | IPS FHD 144Hz, 100% SRGB, 300 nits |
Memory | Up to 32gb DDR4 3200mhz |
Storage | M.2 NVMe PCIe3.0 512GB/1TB SSD |
Dimensions(W x D x H) | 32.4 x 22.2 x 1.99 ~ 1.99 cm(12.76″ x 8.74″ x 0.78″ ~ 0.78″) |
Weight | 1.70 Kg (3.75 lbs) |
I/O Port | 1 x USB3.2 Gen2 Type-Cwith DisplayPort 1.4 and PD
1 x USB3.2 Gen2 Type-C 2x USB3.2 Gen1 Type-A 1x HDMI 2.0b 1 x Audio combo jack 1x Kensington Lock |
Audio | 2x 2.5W speakers with Smart AMP technology 2x 0.7W tweeter |
Battery | 76Whr |
Adapter | 180w |
Included in the box | ROG sleeve ROG Impact Gaming Mouse
TYPE-C, 100W AC Adapter, Output: 20V DC, 5A, 100W, Input: 100~240V AC 50/60Hz universal |
Reka Bentuk ErgoLift
Model ROG Zephyrus G14 (2021) GA401QM hadir dengan dua pilihan warna yang berbeza iaitu – Eclipse Grey dan Moonlight White (saya akan mengulas tentang warna putih). Sejujurnya, saya bukan peminat warna putih kerana dapat melihat diri debu dan sebagainya dalam jangka masa panjang, tetapi saya harus mengakui bahawa ia sangat cantik, terutamanya apabila anda melihat reka bentuknya yang anggun.
Dari segi saiz, ia sangat kecil dan mudah dibawa. Dengan lebar 32.4 cm dan kedalaman 22.2 cm, anda boleh memasukkannya ke dalam mana-mana beg galas. Ia tidak terlalu nipis, dengan ketebalan 1.99 cm kerana ASUS memampatkan sejumah perkakasan canggih ke dalamnya. Ia bukan komputer riba gaming yang paling ringan pernah saya pegang, tetapi dengan berat 1.7 kg, ia masih sangat mudah untuk pegang dan bawa dengan satu tangan.
Namun, tidak seperti kebanyakan komputer riba yang hanya mempunyai reka bentuk bergaya, reka bentuk ROG Zephyrus G14 2021 sebenarnya mempunyai tujuan yang praktikal. Dengan reka bentuk ErgoLift, komputer riba akan menaikkan tapak ketika kita membukanya, yang bermaksud bahawa Zephyrus G14 2021 tidak sepenuhnya rata di atas permukaan. Oleh kerana tapaknya dinaikkan, ia lebih mudah untuk menaip dan meletakkan tangan saya di atasnya.
Paparan
ROG Zephyrus G14 2021 menampilkan paparan WQHD 120 inci 120 Hz, tetapi jika anda mahukan refresh rate 144 Hz bagi para gamer yang serius atau kompetitif, anda boleh memilih model yang mempunyai refresh rate yang lebih tinggi. Secara peribadi, saya merasakan bahawa paparan 120 Hz sudah menepati semua keperluan gaming saya. Saya bermain Counter-Strike: Global Offensive, dan ia kelihatan lancar dan cantik. Walaupun pada permainan lain atau menonton video, warnanya masih kekal tajam dan terang. Saya juga suka betapa nipisnya bezel yang membuatkan paparan terasa luas untuk menonton apa-apa kandungan.
AniMe Matrix
ROG Zephyrus G14 dilengkapi dengan AniMe Matrix, yang merupakan gambar berlampu yang boleh diubahsuai di belakang paparan utama komputer riba. Menggunakan perisian Asus Armory Crate, ia boleh digunakan untuk memaparkan grafik, GIF animasi, dan mesej teks menggunakan pelbagai font. Visual ini boleh bertindak balas terhadap bunyi dan muzik dan dioptimumkan supaya tidak menggunakan terlalu banyak kuasa serta kepanasan internal yang rendah. AniMe Matrix dihasilkan bukan hanya untuk bergaya tetapi juga mempunyai banyak kegunaan praktikal lain seperti memberi notifikasi e-mel atau menunjukkan masa dan tarikh.
AniMe Matrix di Zephyrus G14 (2021) mempunyai beberapa ciri tambahan berbanding model 2020. Terdapat juga lebih banyak alat dalam aplikasi untuk memudahkan penyuntingan paparan Matriks AniMe sendiri. Alat baru ini terdiri daripada crop, undo, redo, export dan import. Walaupun sepatutnya wujud dalam versi 2020, ia masih merupakan tambahan yang dialu-alukan.
ROG Zephyrus G14 2021 juga mempunyai rakan maya digital baru bernama Omni. Omni akan muncul di skrin dan paparan AniMe Matrix serta akan bertindak balas terhadap situasi berlainan yang berlaku pada peranti. Contohnya, jika bateri rendah, Omni akan menunjukkan ekspresi letih di skrin. Khusus untuk mereka yang suka bergaya, ini mungkin adalah alternatif kepada para pengguna yang suka meletakkan pelekat di komputer riba, dan memberikan sedikit faedah kepada pengguna dalam kehidupan seharian.
Papan kekunci
Seperti yang saya sebutkan di atas, berkat reka bentuk ErgoLift, sesi menaip pada papan kekunci untuk jangka masa yang panjang tidak menimbulkan rasa tidak keselesaan kepada saya dan tidak meletihkan pergelangan tangan berbanding komputer riba lain. Bahagian atas papan kekunci (di atas kekunci F1 – F5) juga mempunyai butang tambahan untuk meningkatkan atau mengurangkan kelantangan bunyi, mute dan jalan pintas ke aplikasi Armory Crate. Ini sangat berguna dan praktikal, terutamanya kekunci untuk mengubah kelantangan bunyi.
Saya hanya ada satu masalah kecil sahaja iaitu lampu latar papan kekunci tidak begitu jelas. Dahlah ia berwarna putih, tambah lagi tidak ada RGB, segalanya malap. Kecuali jika kita menggunakan komputer riba di tempat yang gelap, anda tidak akan dapat melihat lampu papan kekunci.
Sambungan I/O
Untuk port I/O yang disertakan dengan komputer riba ini, sebelah kiri mempunyai port power, HDMI 2.0b, USB3.2 Gen2 Type-C yang mempunyai DisplayPort 1.4 dan Power Delivery, dan jack audio 3.5mm. Di sebelah kanan komputer riba, ia mempunyai kunci Kensington, port USB3.2 Gen2 Type-C (tanpa DisplayPort 1.4 dan Power Delivery) dan dua port USB3.2 Gen1 Type-A.
Peranti ini tidak mempunyai jumlah port yang banyak berbanding dengan kebanyakan komputer riba kerja, terutamanya kerana majoriti bahagian sisi digunakan untuk pengudaraan. Walaupun saya kecewa sedikit kerana tiada port Thunderbolt 4, kita harus ingat bahawa bahawa ini adalah peranti gaming. Apa yang kurang dalam produktiviti, ia akan menunjukkan kehebatan sebenar dari segi prestasi.
Kepanasan dan pengudaraan
Ini adalah kelemahan utama untuk peranti! ROG Zephyrus G14 2021 mempunyai CPU AMD Ryzen R9-5900HS dan GPU Nvidia GeForce RTX 3060 di dalam casis yang agak kecil, jadi mestilah ada beberapa isu. Pertama sekali adalah pemanasan. Walaupun ASUS menjelaskan bahawa ROG Zephyrus G14 (2021) telah menerima peningkatan termal dalam bentuk reka bentuk baru yang menghilangkan haba lebih cepat dan paip haba baru yang menurunkan suhu hingga 2 ° C, ia tidak akan banyak membantu apabila komputer riba sudah mencecah kepanasan hingga 80 ° C ke atas!
Komputer riba ini boleh menjadi sangat panas semasa bermain permainan intensif seperti Resident Evil Village. Kepanasan ini juga mungkin disebabkan saya bermain semasa mengecas komputer riba. Bermain tanpa mengecas sudah tentu akan lebih sejuk, tetapi kita tidak dapat menjalankan permainan dengan lancar. Anehnya, komputer riba ini menyejuk dengan sangat pantas. Hampir satu minit selepas saya menutup Resident Evil Village, komputer riba ini kembali sejuk.
Bateri
Mesti ramai yang menjangka komputer riba inni akan menghabiskan bateri dengan cepat. Entah bagaimana, ASUS berjaya memasukkan bateri dengan jangka masa bateri selama lebih dari 11 jam dalam satu cas penuh, dengan syarat kita tidak membuka program intensif. Semasa bermain Counter Strike: Global Offensive selama satu jam, bateri ROG Zephyrus G14 dari 100% hanya turun kepada 83% pada tetapan maksimum. Secara teori, saya dapat bermain CS: GO selama 5 jam berturut-turut! Bagi saya, ini adalah pencapaian yang luar biasa.
Menggunakan pengecas 180Wnya, bateri yang 0% boleh mencecah sekitar 60% dalam masa satu jam. Selain itu, komputer riba juga menyokong pengecasan USB Power Delivery. Anda boleh mengecas komputer riba melalui pek kuasa USB Type-C untuk memastikan komputer riba sentiasa boleh digunakan semasa dalam perjalanan.
Kualiti audio
Kualiti bunyi untuk mendengar muzik dan sesi gaming sebenarnya sangat bagus untuk pembesar suara. Ia bukan yang terbaik tetapi pembesar suara masih menyediakan bass, mid dan high yang berkualiti. Sekali lagi, reka bentuk ErgoLift membantu dalam aspek audio kerana terdapat ruang untuk pembesar suara di bahagian bawah komputer riba, bersama dengan pembesar suara di atas. Walau apapun, untuk pengalaman audio terbaik, anda masih harus menggunakan fon kepala.
Prestasi gaming
Saya sudah sebut bahawa ROG Zephyrus G14 2021 dilengkapi dengan CPU AMD Ryzen R9-5900HS dan GPU Nvidia GeForce RTX 3060. Kalau nak ikutkan, perkakasan ini memang canggih tetapi saya tetap ingin mengujinya dengan bermain Biomutant, Counter-Strike: Global Offensive dan Resident Evil Village. Dengan meletakkan tetapan maksimum untuk Biomutant, komputer riba berjaya mengekalkan sekitar 60 FPS sepanjang masa, tidak kira semasa saya berkeliaran di dunia open-world yang besar atau melawan gerombolan musuh yang banyak. Pendek kata, permainan ini berjalan dengan lancar.
Prestasi Counter-Strike: Global Offensive lebih hebat di mana ia dapat mencecah sekitar 120 FPS pada tetapan maksimum, dan kadang-kadang mencapai 140 FPS ke atas. Permainan sangat lancar dan kita pun tahu nilai FPS yang tinggi adalah satu kelebihan untuk para gamer kompetitif FPS. Saya berjaya meningkatkan FPS melebihi purata 220 dengan mengurangkan resolusi kepada 1280 x 720 dan bukannya resolusi maksimum 2560 x 1440. Untuk pemain kompetitif yang tidak kisah tentang nilai grafik, pengalaman ini pasti akan mengubah gameplay peribadi.
Walaupun saya menggunakan Counter-Strike: Global Offensive untuk menguji FPS, Resident Evil Village lebih tertumpu kepada grafik. Saya mencuba Resident Evil Village pada dua tetapan yang berbeza, iaitu pada tetapan maksimum tanpa Ray Tracing dan tetapan sederhana bersama Ray Tracing.
Pada tetapan maksimum, permainan berjaya mencecah sekitar 60 FPS dan kadang-kala jatuh atau meningkat bergantung pada situasi. Pada tetapan sederhana bersama Ray Tracing, permainan hanya mampu mencapai sekitar 40 FPS di persekitaran luar, dan 60 FPS di lokasi tertutup. Untuk benar-benar menguji batas ROG Zephyrus G14, saya mencuba permainan pada tetapan maksimum bersama Ray Tracing. Seperti yang dijangkakan, permainan ini hanya dapat mencapai sekitar 15 FPS.
Prestasi benchmark
Saya menggunakan 3D Mark, PC Mark 10 dan Cinebench untuk review ROG Zephyrus G14 2021 ini. Berikut adalah markah yang diperolehi:
3D Mark Time Spy berjaya mendapat markah setinggi 6681. Ujian ini juga mendakwa bahawa komputer riba ini dapat menjalankan Battlefield V pada resolusi 1440 dengan nilai 65 FPS ke atas, yang sejujurnya memang benar.
Bagi PC Mark 10, komputer riba mendapat skor 6660 dan berjaya dengan cemerlang dalam kategori penting seperti produktiviti dan penciptaan kandungan digital.
Untuk Cinebench, ROG Zephyrus G14 2021 memperoleh markah 11407 untuk penggunaan CPU pelbagai teras dan 1400 mata untuk penggunaan CPU teras tunggal. Ia menduduki tempat keempat untuk penggunaan CPU pelbagai teras dan tempat kedua untuk penggunaan CPU teras tunggal jika dibandingkan dengan sistem lain.
Pendapat
ROG Zephyrus G14 (2021), khususnya, model GA401QM, adalah satu komputer riba 14 inci yang ringkas tapi berkuasa. Ia mempunyai reka bentuk yang cantik dan praktikal digabungkan dengan CPU dan GPU yang kuat dengan prestasi bateri yang luar biasa. Satu-satunya kelemahan produk ialah suhu boleh menjadi sangat panas ketika menjalankan program intensif. Sekiranya anda tidak kisah tentang isu ini, saya pasti ramai yang suka notebook gaming ini.
Itu sahaja untuk review ROG Zephyrus G14 (2021) saya! Model Zephyrus G14 – GA401QM adalah berharga RM 7,699, tetapi model ROG Zephyrus G14 lain mempunyai harga serendah RM 4,799. Untuk melihat barisan penuh produk ROG Zephyrus G14 2021, lawati laman web ASUS ROG.
@gamersantaimy
Discussion about this post