Soundbar Razer Leviathan asalnya dikeluarkan pada tahun 2014 dan selepas beberapa tahun, Razer akhirnya membuat keputusan untuk memperkenalkan pewarisnya yang diberi nama “Leviathan V2”. Sebagai soundbar PC yang “menawarkan pengalaman bunyi paling terperinci dan mengasyikkan dengan ciri audio yang canggih”, adakah ia benar-benar seperti yang dijanjikan? Kami sendiri dapat mencuba Razer Leviathan V2 terlebih dahulu dan berikut adalah review saya. Untuk tahu lebih lagi, teruskan membaca.
Reka bentuk sangat minimalis
Selaku versi terbaru, Razer Leviathan V2 mempunyai reka bentuk yang lebih minimalis dan langsing berbanding versi lama di mana subwoofer adalah kira-kira 5.5 inci. Tiada apa yang istimewa tentang subwoofer dari segi reka bentuk, kecuali logo Razer di atasnya.
Di soundbar, terdapat 5 butang iaitu butang untuk mencari sumber bunyi, bluetooth, power, dan juga butang volume (butang volume ada dua). Manakala di bahagian sisi, terdapat tiga port untuk kuasa, Type-C untuk menyambung ke PC, dan juga output untuk subwoofer. Sudah tentu, butang tersebut dilengkapi dengan lampu penunjuk dan bahagian bawah soundbar menyokong pencahayaan Razer Chroma RGB untuk menambah kesan estetik.
Bagi reka bentuk soundbar, terdapat logo Razer di tengah dan logo THX di sebelah kanan. Warna adalah sepenuhnya hitam. Terdapat juga kaki atau stand yang boleh ditanggalkan bagi kita melaraskan ketinggian mengikut keselesaan sebanyak 30 darjah. Untuk sesiapa yang suka reka bentuk minimalis, leviathan V2 pasti menarik hati kerana dapat padankan diri dalam mana-mana bilik.
Cara-cara untuk menyambung
Razer Leviathan V2 menyokong bluetooth 5.2 yang memastikan latensi rendah supaya bunyi yang dihasilkan tiada delay. Saya sendiri telah mencuba sambungan antara PC dan smartphone dan mendapati ia mudah untuk bertukar dari satu peranti ke peranti lain dan pantas untuk pair antara satu sama lain.
Andai kata tidak ingin menggunakan bluetooth di PC, korang masih boleh menggunakan Type-C ke Type-A sebagai alternatif. Kabel yang ada juga tidak terlalu panjang atau pendek (di tengah-tengah, jadi pengurusan kabel menjadi mudah. Walau bagaimanapun, ia tidak menyokong platform konsol dan TV serta tidak mempunyai bicu audio 3.5mm.
Memperibadikan soundbar memakai Razer App
Razer Leviathan V2 dilengkapi dengan Razer App untuk mengurus perkara penting seperti ciri equalizer yang boleh dilaraskan. Beberapa preset juga telah disediakan untuk menonton wayang, mendengar muzik, atau bermain game. Aplikasi ini juga boleh berfungsi sebagai alat kawalan jauh untuk kemudahan lanjut.
Yang paling menarik sekali ialah kita boleh mengawal volume atau kuasa melalui aplikasi. Anda juga boleh menukar pencahayaan Razer Chroma RGB mengikut tema PC gaming sendiri. Untuk sebarang majlis sambutan hangat, anda boleh campur tangan dengan Apl Chroma Illusion RGB untuk kesan pencahayaan. Malangnya, efek cahaya tersebut tidak boleh sync pula dengan irama muzik. Kalau tidak, pasti lagi cun.
Dari segi ciri dan rupa, semuanya boleh diubahsuai pada Razer App, jadi bahagian ini saya amat berpuas hati.
Kualiti bunyi ke arah imersif
Razer Leviathan V2 dilengkapi dengan dua full-range driver, dua radiator pasif, dua tweeter, dan juga down-firing subwufer untuk memastikan kualiti bunyi yang jelas, kuat, dan mendalam. Bass pun agak menyerlah, dan kadangkala boleh jadi agak kuat. Supaya semua faham, ini bukan lah yang terbaik dari yang terbaik – ia hanya sekadar memuaskan dan kualiti yang kita dapat pun sama dengan nilai yang dibayar.
Pendek kata, audionya tidaklah begitu istimewa, tetapi terasa “sesuai/sepadan” untuk sebuah soundbar.
Jadi apa yang membuatkan soundbar ini begitu istimewa bagi gamer? Ini kerana teknologi THX Spatial Audio dan sokongan 7.1 Surround! Semua itu bukan gimik kerana apabila saya cuba bermain game FPS, saya boleh mendengar tapak kaki musuh malah tahu dari arah mana ia datang. Untuk mana-mana gamer, korang pon tahu kita perlu memakai headset/headphone untuk mendengar bunyi terperinci seperti ini, jadi saya agak kagum apabila sebuah soundbar berjaya mencapai tahap perincian yang sama.
Pendapat
Jika korang tertanya soundbar apa yang “paling gaming” setakat ini, saya akan jawab Razer Leviathan V2 kerana ciri-cirinya lah yang paling lengkap buat masa sekarang. Dengan kualiti audio yang terperinci bagi sesi gaming atau menonton movie di PC, ini bukanlah sesuatu yang mudah dicapai oleh mana-mana soundbar dalam pasaran.
Bukan setakat itu sahaja, reka bentuk dan estetikanya pun nampak cantik/minimalis hingga boleh dipadankan dengan mana-mana setup gaming. Cuma, kelemahannya adalah pada bahagian sambungan yang tidak menyokong konsol dan TV. Jika boleh, soundbar gaming ini pasti sudah sempurna.
Tamat lah review ini dan buat sesiapa yang berminat dengan Razer Leviathan V2, ia kini boleh didapati di Malaysia pada nilai harga RM1,399. Untuk maklumat lanjut, korang boleh melayari laman web rasmi di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post