Selepas kejayaan beberapa drama korea seperti Squid Game, Sweet Home, All of Us Are Dead, dan lain-lain, Netflix telah memperkenalkan satu lagi K-drama baharu untuk tontonan semua. Memperkenalkan Black Knight, yang dihasilkan berdasarkan siri webtoon ‘Delivery Knight‘ oleh pengarang Lee Yoon-gyun. Lebih seronok lagi, Netflix akan mengeluarkan Black Knight hari ini!
Apabila versi webtoon mula dikeluarkan, ia serta merta menjadi popular di Korea dan tidak lama selepas itu, mula tersebar di seluruh dunia. Jadi apabila adaptasi live-action diumumkan, ramai peminat termasuk saya bimbang jika Netflix dapat menepati plot dan reka bentuk webtoon yang berjaya.
Black Knight mengisahkan tentang dunia yang dilanda pencemaran teruk sehingga kehijauan flora dan fauna digantikan oleh padang pasir tandus, topeng oksigen kini merupakan keperluan penting dalam kehidupan seharian manusia. Secara keseluruhan, saya rasa sesiapa yang tidak pernah baca webtoon original akan suka adaptasi live-action manakala peminat tegar kepada komik mungkin tidak berpuas hati sepenuhnya.

Berjumlah hanya enam episod, itu tidak cukup untuk menceritakan semua yang berlaku, lantas beberapa bahagian terpaksa dibuang atau diubah. Walaupun begitu, ini masih adalah drama yang solid dengan visual yang bagus, persembahan mantap oleh pelakon dan plotline yang menarik.
Ingin tahu lebih lanjut? Teruskan membaca review saya tentang Netflix Black Knight!
Barisan pelakon utama
- Kim Woo-Bin sebagai Knight 5-8
- Esom sebagai Jeong Seol-ah
- Kang You-Seok sebagai Sa-wol
- Song Seung-Heon sebagai Ryu-Seok
Sinopsis

Dalam Korea versi distopia yang musnah akibat pencemaran udara, kelangsungan hidup manusia bergantung pada Black Knight — yang jauh berbeza daripada penghantar barang tipikal anda.
Pada 40 tahun yang lalu, sebuah hentaman komet menyebabkan semenanjung Korea musnah dan hanya 1% yang terselamat. Semua bahan hidup menjadi terhad dan manusia tidak boleh bernafas tanpa topeng kerana udara yang tercemar. Mereka yang terselamat diklasifikasikan mengikut kod QR, manakala mereka yang tidak menerima kod itu hidup sebagai pelarian tanpa identiti.
Wira terhebat pada era ini adalah ‘deliveryman/penghantar barang’. Walaupun oksigen bersih hanya boleh diterima melalui penghantaran, tetapi deliveryman’ wujud untuk menghalang serangan daripada pencuri dan individu bahaya untuk menghantar oksigen dan barang-barang lain dengan selamat. Kini mereka adalah harapan semua orang.
5-8 (Kim Woo-bin) ialah seorang deliveryman legenda yang dianggap paling kuat di kalangan mereka. Selepas melihat pembunuhan pelarian beramai-ramai pada sembilan tahun lalu, dia mengimpikan dunia tanpa ‘Cheonmyeong Group’ yang merupakan dalang di sebalik kejadian itu. Secara rahsia, dia membantu pelarian dengan 10 rakan lain yang berkongsi niat yang sama dengannya.
Seorang pelarian remaja bernama Sa-wol (Kang You-seok) tinggal secara rahsia di rumah Jeong Seol-ah (Esom), yang menyelamatkannya ketika dia masih muda, tetapi impian Sa-wol adalah untuk menjadi deliveryman dan menerima identiti sendiri. Pada suatu hari, seorang samseng menyerang Seul-ah (adik Seol-ah), dan Sa-wol cedera parah di kepala. Tepat pada masanya, 5-8 menyelamatkan Sa-wol.
Lama-kelamaan, 5-8 mendapat tahu bahawa Sa-wol sebenarnya adalah mutan yang dilahirkan di lombong yang tercemar oleh radioaktiviti. Maka, mulalah konspirasi baharu.
Pada masa yang sama, Ryu-Seok (Song Seungheon), CEO kepada Cheonmyeong Group, berhadapan dengan bapanya Chairman Ryu, mengenai rancangan untuk memindahkan penduduk miskin ke lokasi lain. Dia tidak ingin berkongsi dunia impian dengan warga pelarian, jadi bakal melaksanakan sebuah rancangan jahat untuk merealisasikan cita-citanya.
Suatu hari, Ryu Seok mengadakan pertandingan untuk memilih deliveryman baru, dan Sa-wol mara ke final dengan bantuan 5-8 dan Black. Sa-wol memenuhi impiannya, tetapi dunia baru yang dia temui berbeza daripada apa yang dia bayangkan.

Sebelum berpindah secara eksklusif ke halaman Webtoon, komik ini mula diterbitkan antara 2017 dan 2019 di bawah nama Taekbaegisa (Delivery Knight). Saya memang berminat dengan webtoon original, jadi apabila mendengar ada adaptasi Netflix, saya tidak sabar untuk menontonnya. Dalam durasi enam episod, rancangan itu dapat memasukkan majoriti daripada elemen besar dan inti webtoon. Namun, banyak perubahan perlu dilakukan pada keseluruhan jalan cerita dan watak.
Sebagai contoh, Sa-wol, yang asalnya adalah watak wanita dalam webtoon, telah ditukar kepada lelaki manakala Seol-ah, yang asalnya seorang pekerja pejabat, kini menjadi major di dalam tentera.
Saya jenis orang yang “berpegang kepada bentuk original,” jadi saya cuba mencari kelemahan. Lagipun, saya pun ingin tahu mengapa mereka tidak mengikuti sumber asal. Nasib baiklah, banyak perubahan yang dibuat membuahkan hasil, dan saya menjadi lebih minat untuk tonton selepas menghabiskan episod demi episod.

Jika dilihat pada perspektif live action, siri ini masih penuh dengan ‘storybuilding’ yang menakjubkan, aksi hebat dan saspen mengejutkan. Selain itu, kisah fiksyen ini menggambarkan dunia distopia penuh dengan pelbagai masalah yang sedang dihadapi oleh masyarakat kita pada masa sekarang.
Antara contoh seperti krisis hak asasi manusia, sistem kasta sosial, pencemaran bumi, pemerdagangan dan eksperimen manusia, kekejaman polis, dan kerajaan korupsi adalah antara beberapa masalah yang ternyata wujud pada hari ini di seluruh dunia. Ia tidak terasa sci-fi atau palsu semata-mata kerana peristiwa dalam siri ini mungkin boleh berlaku di bumi dalam masa terdekat. Ini membuatkan jalan cerita lebih realistik

Walaupun begitu, saya tidak akan kata Black Knight adalah siri Netflix yang 10/10 sempurna. Ia masih ada kelemahan. Tempo jalan cerita memang tidak menentu di mana permulaan amat perlahan dan penamat berakhir secara tergesa-gesa. Tiga episod terakhir untuk siri itu kelihatan terlalu ‘rushing’, dan beberapa tindakan atau keputusan yang dibuat oleh watak juga tidak masuk akal.
Saya tidak akan ceritakan semuanya kerana itu sudah melangkah ke alam ‘spoiler’ tetapi disebabkan alasan ini, saya tidak boleh beri markah sempurna untuk Black Knight.
Visual menyerlahkan lagi dunia apokaliptik

Black Knight menyampaikan visual peringkat Hollywood dan bagi saya, ini merupakan elemen terkuat untuk siri Netflix ini. Pasukan CGI yang bertanggungjawab untuk membantu siri ini adalah Westworld – yang terdiri daripada individu sama yang menghasilkan drama popular seperti Sweet Home dan Squid Game.
Ternyata, bakat dan kepakaran mereka terserlah semasa menghasilkan reka bentuk dunia Black Knight. Selain kesan visual, perhatian produksi terhadap butiran-butiran kecil juga memudahkan saya membezakan antara lokasi penting dalam rancangan itu.

Sebagai penjelasan, orang di General District tinggal di rumah dan menerima oksigen serta bekalan (boleh dianggap warga kelas pertengahan). Core District pula ditetapkan untuk menanam tumbuhan dan merupakan satu-satunya bilik yang dipenuhi kehijauan di dunia tandus ini.
Special District berada di bawah tanah, jauh dari semua kemusnahan dan menghuni orang terpilih manakala kawasan miskin adalah Refugee District (kawasan yang kelihatan paling teruk). Kita dapat melihat betapa berbezanya satu tempat antara satu sama lain kerana setiap persekitaran berkait dengan setiap kelas sosial.

Pasukan CGI melakukan kerja yang bagus dalam menggambarkan dunia pasca-apokaliptik dengan runtuhan dan padang pasir tandus sedangkan kita tahu betapa cantiknya negara Korea. Bukan mudah untuk membayangkan dunia seperti ini. Contoh-contoh termasuk Menara Seoul N yang dipotong separuh, kawasan kejiranan Gwanghwamun yang lengang dan jalan Gangnam yang dipenuhi dengan bangunan runtuh untuk “menggambarkan Seoul yang sunyi sepi.”
Memandangkan webtoon original lebih menumpukan pada penceritaan berbanding reka bentuk dunia, ini adalah kali pertama saya dapat menghargai sepenuhnya dunia yang dihuni oleh watak-watak Black Knight – jadi saya berani jamin bahawa visual adalah elemen terkuat bagi siri ini.

Dengan penggunaan skema warna oren, coklat dan merah, rancangan itu memiliki penampilan dan rasa ‘kotor/hancur’. Di sebalik latar belakang yang sunyi dan suram, ini menekankan keadaan dunia yang mereka hadapi dan menyerlahkan ekspresi watak-watak dengan lebih baik demi membawa cerita ke tahap realisme lebih tinggi.
Bagi adegan aksi, terdapat banyak dan semuanya dikoreografi dengan cekap, di mana 5-8 dan Sa-wol menyumbang sebahagian besar kepada aksi yang berlaku di atas skrin. Mereka melakukan kerja yang cekap dan cukup meyakinkan sebagai ‘fighter handal’.
Keserasian antara pelakon pun ketara

Dengan ensembel pelakon yang banyak, kita akan bertemu dengan ramai watak untuk suka dan sokong.
Sebagai Black Knight paling kuat, Kim Woo-bin berlakon sebagai 5-8, seorang pahlawan legenda dengan sifat keadilan yang tinggi. Kim menunjukkan keupayaannya untuk mencuri perhatian dan menggambarkan 5-8, watak macho yang boleh menahan penderitaan dan kesusahan tanpa menunjukkan emosi. Watak itu sebenarnya memaparkan lebih banyak emosi dalam webtoon, tetapi adaptasi Netflix juga sangat baik.

Watak Sa-wol, yang dimainkan oleh Kang You-Seok, juga nampak serasi dengan yang lain. Untuk melakukan semua aksi mencabar tanpa menggunakan pelakon lagak ngeri sebanyak mungkin, dia sebenarnya menghabiskan masa berbulan-bulan melatih badannya sebelum dan semasa penggambaran. Dia adalah salah satu watak terbaik dan antara yang saya paling suka dalam rancangan (sehingga saya hampir lupa 5-8 adalah watak utama).
Mejar Seol-ah, seorang pemimpin yang berkebolehan dan askar kuat mahir di Defense Intelligence Command, dilakonkan oleh Esom. Dia menyelamatkan dan menjaga Sa-wol, tetapi selepas tiba-tiba dikeluarkan daripada siasatan kes penculikan di General District, dia melancarkan siasatan sendiri untuk mengetahui kebenaran tentang aktiviti Cheonmyeong Group.

Akhir sekali, kami mempunyai Song Seung-heon yang berlakon sebagai Ryu Seok, pewaris kejam kepada Cheonmyeong Group. Dia adalah jenis antagonis, ala Thanos, yang percaya bahawa “sukses memerlukan pengorbanan”. Saya yakin tidak ramai akan suka watak ini, yang menyakinkan saya bahawa Song Seung-heon berjaya menyampaikan persembahannya. Dia bukan orang jahat untuk kita simpati, dia memang jahat semula jadi.
Apabila jalan cerita semakin jauh, personaliti setiap watak akan berkembang dengan lebih mendalam, lalu mengubah peranan stereotaip mereka kepada watak yang lebih menarik dan mudah difahami penonton.

Pada ketika itu, perkembangan personaliti mereka akan menjadikan interaksi antara watak sama-sama menarik dengan plot. Setiap pelakon pun sangat bagus dan melakukan persembahan yang hebat untuk mempersembahkan ‘perjuangan dalaman’ watak masing-masing, sama ada beban emosi dari masa lalu atau trauma semasa di dunia pasca-apokaliptik.
Pendapat

Secara keseluruhan, Netflix Black Knight adalah drama sci-fi epik yang seronok untuk ditonton. Walaupun tidak mengikut yang original, ia masih mengagumkan dan pasti akan membuatkan orang ramai mula berminat untuk membaca webtoon.
Malah, adaptasi live-action pun sebenarnya lebih menarik daripada rancangan lain dalam genre yang sama kerana menyampaikan plotline yang ‘lain daripada yang lain’ ataupun ‘fresh’. Highlight sudah pasti ialah betapa cantik dan seakan realistik dunia pasca apokaliptik bersama dengan interaksi yang realistik dan meyakinkan antara pelakon. Ini sememangnya drama menarik yang saya 100% akan mengesyorkan untuk tonton, lagi-lagi kepada peminat k-drama.
Jika anda belum membaca webcomic, saya juga sarankan anda untuk membaca siri ini dengan segera tanpa membandingkannya dengan yang live-action kerana kedua-duanya hebat dalam cara tersendiri.
Di sini, saya akan beri rating 8/10 kepada Black Knight!
Netflix Black Knight secara rasmi ditayangkan hari ini (12 Mei 2023). Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Netflix di SINI ataupun baca temu bual istimewa kami bersama barisan pelakon di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post