Laptop sering digambarkan sebagai mesin/peranti ringan dan nipis yang boleh membantu membuat kerja, bermain game atau menghiburkan diri. Namun, gambaran itu tidak sesuai langsung dengan MSI Titan GT77 (12UHS) yang saya anggap seperti desktop berat. Saiz besar, berat pun berat; jadi apakah keistimewaannya?
Di sini, izinkan saya memperkenalkan korang kepada salah satu mesin gaming paling hebat pernah saya cuba seumur hidup. Ini bukan saja-saja puji, dan memang ikhlas! Bukan setakat gaming sahaja, malah urusan kerja berat seperti animasi, modelling, dan penyunting video pun dapat berjalan dengan lancar.
Jadi bagaimanakah prestasi sebenarnya? Korang boleh teruskan baca review saya untuk MSI Titan GT77 (12UHS)!
Reka bentuk gergasi
Pertama sekali, saya tidak akan memanggil Titan GT77 sebagai komputer riba/laptop kerana saiznya lebih layak dipanggil desktop. Titan GT77 terbaru diakui adalah salah satu laptop gaming terbesar pernah dibuat oleh MSI dan secara keseluruhan, mesin ini berukuran 397 x 330 x 23 mm dan memiliki berat 3.3 kg.
Saya harap semua jelas bahawa walaupun ia nampak seperti laptop, ia tidak berkelakuan seperti laptop. Titan GT77 lebih kepada desktop mudah alih dan harus dianggap sebegitu
Untuk aspek visual, Titan GT77 dilitupi warna hitam halus yang menjadikan laptop ini sesuai untuk persekitaran kerja dan lokasi awam apabila diperlukan. Namun, untuk mempamerkan sis gaming, MSI menambah cahaya RGB di ruang udara, di logo ‘naga ikonik’ mereka dan di bawah setiap papan kekunci yang menyala secara individu. Walaupun terang menyala, cahaya RGB sebenarnya lebih terang jika dilihat daripada sisi belakang, jadi ia mungkin mengganggu kawan-kawan sekali yang ingin fokus pada kerja.
Apa yang saya tidak suka ialah permukaan laptop ini sangat mudah meninggalkan cap jari. Dalam gambar pun korang boleh nampak cap jari kita dengan jelas. Selain itu, luaran laptop ini diperbuat daripada plastik, tetapi jangan salah faham, ia bukannya bahan jenis murah dan rasa cukup solid dan keras untuk pegang.
Di bahagian belakang komputer adalah sistem pengudaraan yang luas yang membuatnya nampak seperti mesin garang. bukan laptop. Tapi di sini juga menjadi masalah. Apabila komputer ini beroperasi pada prestasi kemuncak, bunyi kipas memang terlalu bising. Malah, ada satu tahap saya hampir tidak dapat mendengar bunyi daripada speaker dan terpaksa menggunakan headset.
Kembali ke soal berat. Titan GT77 masih boleh dibawa merata, tetapi korang perlu mempunyai beg istimewa untuk memuatkan peranti (MSI menjual beg premium khas untuk Titan).
Keyboard “Cherry MX switch“
Bagi keyboard, Titan GT77 dilengkapi dengan “SteelSeries mechanical keyboard bersama Cherry MX switch” jenis low-profile. Sejujurnya, ini antara keyboard paling bagus pernah saya gunakan di laptop di mana butang mempunyai “key travel” yang tepat dan jumlah tekanan tepat untuk melaksanakan arahan (tidak terlalu lembut, tidak terlalu keras). Saya pun membuat kerja memakai laptop dan ternyata memang selesa untuk menaip atau gaming buat tempoh masa yang lama.
Memandangkan saya menaip setiap hari, mula-mula terasa agak “over” juga tetapi dapat membiasakan diri dengan cepat. Yang saya tahu, keyboard ini memang tidak senyap, tetapi tidaklah sehingga mengganggu ketenteraman orang. Saya rasa bunyi kipas lebih menjengkelkan jika orang nak marah pun.
Selain itu, Steelseries menambah driver dan aplikasi “G” mereka untuk membantu pengguna mengubah suai keyboard. UI Logitech G terasa mudah untuk pakai dan tetapan RGB memang lengkap untuk korang yang suka ubah-ubah RGB.
Di sisi kanan keyboard ialah number pad bersaiz kecil (dengan arrow key) yang amat berguna untuk urusan produktif terutamanya bagi mereka yang bergantung pada tugas berfokus nombor dan sebagainya.
Di bawah keyboard adalah trackpad yang sama besar seperti tuannya. Semasa menguji, semuanya berfungsi dengan tepat dan responsif tetapi bahan trackpad bukanlah sesuatu yang saya boleh kata terasa “premium”. Sangat jelas MSI mahu kita menggunakan mouse untuk mesin ini.
Sambungan I/O
Nasib baiklah, MSI buat keputusan untuk buang port belakang dan meletakkan semuanya di bahagian sisi kiri dan kanan. Di sini, pengguna dapat menyambung peranti mereka dengan lebih mudah dan juga mengecas peranti lain tanpa perlu bersusah payah.
Pemilihan port pada Titan GT77 ini cukup hebat. Di sebelah kiri, korang akan jumpa port power input, 2x port USB, 1x pembaca kad SD dan 1x bicu heaset. Di sebelah kanan pula, korang akan jumpa 2x port Thunderbolt 4, 1x port USB, 1x port Mini Display, 1x port HDMI 2.1 dan 1x port Ethernet.
Paparan 4K lancar untuk gaming dan hiburan
Titan GT77 mempunyai skrin 4K IPS 3840 x 2160 dengan refresh rate setinggi 120Hz. Dengan paparan 17.3″, skrin memberikan pandangan luas untuk pengalaman tontonan yang jelas dan cerah.
Apa yang membuatkan paparan lebih cantik dan hidup adalah teknologi True Color. Dengan penambahannya, resolusi kelihatan lebih tajam dan warna lagi cantik bersaatu untuk pengalaman tontonan yang premium sambil menunjukkan kontras yang ketara dengan tahap perincian yang mengagumkan. Sebagai contoh, saya menonton anime baru Bleach di Netflix dan semua kelihatan hebat dengan visual lebih tajam dan berwarna-warni.
Di samping itu, korang yang jenis designer pasti akan suka Titan GT77 kerana ia menyokong 100 peratus warna DCI-P3 yang diperlukan untuk kerja kreatif.
Kalau tonton movie pun seronok, apatah lagi sesi gaming yang turut terbukti kelihatan sangat cantik pada skrin. Bukan sahaja besar, laptop ini juga menyokong refresh rate hingga 120Hz daripada resolusi 4K UHD (hanya segelintir laptop sahaja yang mampu ada spesifikasi begini). Digandingkan dengan dan tindak balas piksel yang pantas, semua game yang saya bermain nampak mengagumkan dengan perincian tinggi dan prestasi gerakan lancar.
Ini adalah salah satu kelebihan Titan GT77 yang perlu saya akui. Mesin ini terbukti sangat versatil dengan paparan 4K yang sesuai untuk mana-mana kerja penyuntingan foto/video dan gaming.
Prestasi hebat, mampu jalan semua game tetapan maksimum
Okay, jom kita bercakap tentang topik yang korang paling tunggu sekali iaitu Prestasi. Kenapa korang perlu laptop besar? Mesti kerana spesifikasinya hebat kan? Itu pasti adalah sebab utama buat sesiapa yang berminat untuk dapatkan laptop ini. MSI pun memasarkan laptop ini untuk para “gamer” tetapi adakah ia dapat menepati jangkaan kita?
Di dalam Titan GT77, majoriti perkakasan terdiri daripada yang terbaik daripada yang terbaik. Unit yang saya terima adalah Titan GT77 model 12UHS yang mempunyai Intel 12th-Gen 2.3Ghz i9-12900HX, 64GB RAM dan GPU laptop NVIDIA GeForce RTX3080 Ti.
Berikut adalah keputusan benchmark dan gaming:
Benchmark
- PCMark 10 – Extended test: 11068 (lebih baik daripada 97% semua keputusan)
- 3DMark – 4K Gaming test
- Fire Strike Ultra: 6989
- Time Spy Extreme: 9161
- Cinebench R23 – CPU Test
- Multi Core: 18605 (menduduki no.3 dalam senarai prestasi)
- Single-core: 1763 (menduduki no.1 dalam senarai prestasi)
Gaming – Semua game di bawah diuji pada tetapan maksimum, RTX on, resolusi 4K
- Miles Morales – 50 hingga 60FPS
- God of War – 60 hingga 75FPS
- Gotham Knights – 50 hingga 60FPS
Saya menjangkakan beberapa masalah tapi ternyata ini laptop gaming paling hebat pernah saya uji sepanjang di Gamer Santai.
Memandangkan dunia semakin memfokuskan pada visual realistik, MSI menyediakan mesin hebat yang dapat mengendalikan ciri ray-tracing di game open world berskala besar yang sepatutnya hanya boleh dicapai di desktop. Apa yang mengejutkan lagi adalah Titan GT77 dapat menjalankan semua game di atas pada tetapan paling tinggi dengan resolusi 4K tanpa masalah!
Untuk konsol, kebanyakan game akan dihadkan pada 4K, 30 FPS (termasuk PS5 untuk beberapa judul) tetapi GT77 berjaya menghadapi semua yang saya lontarkan dengan hebat. Bohonglah kalau saya kata frame rate tidak pernah drop, tetapi itu hanya berlaku di beberapa adegan spesifik sahaja kerana majoriti mata semuanya berjalan lancar walaupun ray tracing diaktifkan.
Dengan RTX aktif, saya sendiri lebih taksub dalam game kerana lampu neon dan pantulan yang muncul dalam Miles Morales dan Gotham Knights nampak lebih realistik daripada yang saya bayangkan. Jika korang nak pengalaman gaming paling imersif, saya mencadangkan kepada semua untuk sentiasa menghidupkan ray tracing.
Walaupun mampu sokong resolusi 4K, tetapi tempat GT77 benar-benar menyerlah adalah 2K gaming. Pada resolusi 2K (2560 x 1440) pada tetapan maksimum, Miles Morales jauh melepasi had 60 FPS dan berjalan secara konsisten pada purata 70-90 FPS semasa saya meneroka. Pada masa yang sama, God of War pun memiliki FPS lebih kurang sama tetapi frame rate milik Gotham Knights agak tidak tentu arah dan kadang kala akan jatuh hingga 50 FPS tanpa sebab kukuh. Itu pun kerana game ini tidak dioptimumkan selancar yang lain.
Apa yang saya nak kata adalah GT77 berfungsi dengan lebih baik pada resolusi 2K atau lebih rendah.
Untuk ini, saya boleh menjamin bahawa korang tidak akan menghadapi sebarang masalah menjalankan game lain termasuk Modern Warfare 2, PUBG, Apex Legends dan sebagainya dengan resolusi UHD pada frame rate tinggi.
Tiada isu kepanasan, cuma kipas terlampau bising
GT77 mempunyai sistem penyejukan cekap berkat teknologi Cooler Boost Titan yang terdiri daripada empat kipas, tujuh heat pipe dan enam ekzos. Tetapi seperti yang saya katakan di atas, kipasnya akan menjadi masalah utama. Bunyinya terlalu kuat dan akan menganggu pengalaman korang, jadi saya sarankan anda semua untuk menggunakan headset setiap kali ingin main game atau menonton sesuatu.
Sayang sekali kerana speakernya agak bagus tetapi bahagian itu akan saya jelaskan lebih lanjut di bawah.
Satu lagi perkara saya ingin nyatakan ialah laptop ini akan sentiasa rasa hangat di bawah, walaupun saya hanya menjalankan tugas kerja basic pejabat. Tetapi sampai itu sahaja tahapnya. Tidak terlalu panas, hanya hangat sahaja. Dengan kipas seperti ini meniup semua haba, korang boleh mengharapkan Titan GT77 akan sentiasa kekal sejuk.
Bateri memang tidak tahan lama, tetapi isu ini sudah dijangka
Oleh kerana penggunaan kuasa yang tinggi, ini juga bermakna kita sentiasa perlu berada berhampiran pada tempat mengecas. Malangnya, ini juga akan menjadi isu kerana power adapter Titan GT77 yang bernilai 330W mempunyai berat yang sama seperti batu bata sebenar.
Dengan power brick sebesar itu, mungkin ada yang jangka ia mampu bertahan antara 4 hingga 6 jam; KAMU SALAH! Semasa menggunakannya, ia tidak mampu bertahan walaupun hanya melakukan kerja penyuntingan biasa, dan memang jelas tidak mampu uruskan sebarang tekanan “heavy gaming” tanpa plug.
Speaker cukup padu
GT77 mempunyai 2x speaker 2-Watt, 1x speaker, 1-Watt dan woofer 2-Watt. Bunyi speaker lebih kuat berbanding laptop lain dan sebenarnya agak bagus, walaupun ada kekurangan bass. Mungkin ada yang tidak setuju, tetapi bagi sebuah laptop, saya sebenarnya anggap kualitinya lebih rendah.
Apa yang saya yakin adalah audio kali ini terasa lebih bagus berbanding laptop sebelum MSI. Ini mungkin kerana sistem bunyi GT77 ditambah baik untuk berfungsi dengan driver aplikasi Nahimic. Semuanya berfungsi dengan cukup baik untuk melontarkan bunyi dengan betul bersama kesan sekeliling. Sorotan utama ialah 2x subwoofer di bawah laptop yang meningkatkan kesan bunyi supaya lebih mendalam.
Pendapat
Walaupun saya pasti tidak akan membawa MSI Titan GT77 (12UHS) ke mana-mana semasa dalam perjalanan, pakej keseluruhan sebenarnya amat mengagumkan. Korang kena ingat; ini adalah laptop, bukan desktop. Jadi kuasa yang dibawa memang berbaloi dan sepadan dengan apa yang kita inginkan.
Antara isu yang membuatkan mesin ini bermasalah hanyalah saiznya dan bunyi kipas yang terlalu. Malangnya, itu semua diperlukan untuk mengumpul kuasa 100%. Hakikatnya, ini adalah salah satu mesin gaming terkuat pernah saya uji dan pasti akan menggembirakan hati para gamer yang inginkan prestasi terbaik.
Selain membawa keupayaan untuk bermain game AAA mewah pada tetapan maksimum, Titan GT77 juga cekap sebagai alat penyuntingan dan tempat hiburan dengan paparan 4K pada 120 hz. Memang kombo paling padu untuk tahun ini.
Secara keseluruhan, MSI Titan GT77U adalah “raja” bab prestasi, tetapi kalah berkaitan hal mudah alih.
Spesifikasi lengkap MSI Titan GT77 12UHS
CPU | Up to 12th Gen Intel® Core™ i9-12900HX Processor |
---|---|
OS | Windows 11 Home (MSI recommends Windows 11 Pro for business.) Windows 11 Pro |
DISPLAY | 17.3″ UHD (3840×2160), 120Hz, IPS-Level |
CHIPSET | Intel® HM670 |
GRAPHICS | NVIDIA® GeForce RTX™ 3070 Ti Laptop GPU 8GB GDDR6 Up to 1535MHz Boost Clock 150W Maximum Graphics Power with Dynamic Boost. Max. 225W CPU-GPU Power with MSI OverBoost Technology. *May vary by scenario |
MEMORY | Max 128GB DDR5 4 Slots |
STORAGE CAPABILITY | 3x M.2 SSD slot (NVMe PCIe Gen4) 1x M.2 SSD slot (NVMe PCIe Gen5) Compatible |
WEBCAM | IR HD type (30fps@720p) |
KEYBOARD | Cherry Mechanical Per-Key RGB Gaming Keyboard by SteelSeries |
COMMUNICATION | Killer Gb LAN (Up to 2.5G) Killer ax Wi-Fi 6E + Bluetooth v5.2 |
AUDIO | 2x 2W Speaker 2x 2W Woofer |
AUDIO JACK | 1x Mic-in/Headphone-out Combo Jack |
I/O PORTS | 2x Type-C (USB / DP / Thunderbolt™ 4) 3x Type-A USB3.2 Gen2 1x SD Express Card Reader 1x (8K @ 60Hz / 4K @ 120Hz) HDMI™ 1x Mini-DisplayPort 1x RJ45 |
BATTERY | 4-Cell 99 Battery (Whr) |
AC ADAPTER | 330W adapter |
DIMENSION (WXDXH) | 397 x 330 x 23 mm |
WEIGHT (W/ BATTERY) | 3.3 kg |
Jika berminat, korang boleh dapatkan MSI Titan GT77 12UHS pada nilai harga RM24,999.00 melalui kedai rasmi MSI terdekat, pengedar sah atau laman web rasmi.
Untuk membaca segala liputan kami tentang produk MSI termasuk review dan promosi lain, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post