Dengan reka bentuk yang diinspirasikan oleh kereta lampu, lightbar RGB yang menyilaukan, dan ruang untuk Intel Core i9-13950HX dan GPU laptop Nvidia GeForce RTX 4080, MSI Raider GE78 HX telah direka bentuk semula tahun ini untuk mencerminkan kuasanya yang lebih tinggi. Khas untuk rakyat marhaen, MSI Raider GE78 HX adalah teman baik anda jika anda mencari laptop gaming berkuasa yang menjaminkan prestasi tinggi dalam sesi gaming dan urusan produktiviti pada tahap ultra.
Berikut adalah ringkasan spec untuk MSI Raider GE78 HX:
- Harga: RM18,999.00
- CPU: Intel Core i9-13980HX
- GPU: NVIDIA® GeForce RTX 4090 Laptop GPU 16GB GDDR6
- RAM: DDR5 32GB*2 (5600Mhz)
- Storan:4TB (2TB*2) NVMe PCIe Gen4x4 SSD
- Skrin: 17″ 16:10 QHD+(2560 x 1600), 240Hz, 100% DCI-P3, IPS-level panel
- Bateri: 4 cell, 99.99Whr
Walaupun harganya beriban-riban, adakah laptop ini sebagus seperti yang kita sangkakan? Teruskan baca review saya tentang MSI Raider GE78 HX untuk tahu lebih lanjut!
Reka bentuk

Sekilas pandang, Raider GE78 HX serba baharu tampil dengan memancarkan rupa gaming yang lebih serius. Bersama badan aluminium hitam berkilat, siri Raider mempunyai garisan berjalur merah dan jalur emas ala kereta lumba di sisi engsel manakala penutup atas diukir dengan logo naga MSI yang estetika RGB. Bahagian bawah pula bergaya angkasa lepas dan dihiasi dengan garisan ukiran dan dilekatkan dengan nama “MSI RAIDER GE” dan kaki getah “MSI”.
Akhir sekali adalah light-bar RGB Mystic Light yang merupakan ciri ikonik dalam siri ini. Light-bar di model lama terdiri daripada RGB daripada setiap LED individu yang kemudian bercahaya menjadi satu baris, tetapi reka bentuk baharu lebih menyerupai sekumpulan lampu empat segi kecil. Sejujurnya, ia kelihatan lebih berwarna-warni dan juga menampilkan rupa retro, seperti blok daripada game Tetris.


Ternyata, GE78HX Raider ingin mengekalkan identitinya sebagai mesin gaming dan tidak cuba untuk menyembunyikan fakta ini. Citarasa masing-masing berlainan, tetapi bagi saya, Raider GE78 HX cukup menonjol daripada laptop-laptop lain yang kita lihat di pasaran sekarang.
Seterusnya, paparan dikelilingi oleh beberapa bezel nipis, dan mempunyai webcam yang dilengkapi dengan shutter sendiri bagi melindungi privasi. Itu pun cukup mengagumkan memandangkan fungsi shutter selalunya ditambah untuk laptop jenis produktiviti dan bukan gaming. Satu lagi tambahan menarik adalah berbanding dengan model 2022, model 2023 kini menyokong pengesanan muka Windows Hello IR.

Daripada segi ukuran, Raider GE78 HX mempunyai berat 3.1 kg, dan dimensi sekitar 380 x 298 x 28.7 mm – yang bermakna anda memerlukan beg yang besar untuk membawa laptop ini. Bersama bateri yang mempunyai berat 1 kg lebih, pakejnya pasti akan membebankan pengguna yang sering “on-the-go”. Tetapi satu kelebihan adalah badannya sangat kuat dan kukuh. Memang susahlah untuk kamu membengkokkan peranti apatah lagi memecahkannya. Kalau anda jenis kasar, jangan risau. Raider GE78 HX mampu tahan kebanyakan impak ringan.
Badan laptop ini tebal pun kerana ada sebab tertentu. Sejumlah port terletak di kedua-dua sisi dan belakang laptop. Port Thunderbolt 4, slot kad SD dan port jack 3.5 mm semuanya terletak di sebelah kiri; dua port USB 3.2 Gen 2 Type-A dan port USB 3.2 Gen 2 Type-C terletak di sebelah kanan peranti; manakala port Ethernet, HDMI 2.1, port USB Type-C kedua dan bicu kuasa—yang menyerupai port USB-A—boleh ditemui di bahagian belakang.
Keyboard dan Touchpad

Dikuasakan oleh SteelSeries, Raider GE78 HX memiliki salah satu gaming keyboard chiclet terbaik yang boleh ditemui pada mana-mana laptop gaming.
Saya suka reka bentuknya, walaupun hakikatnya MSI tidak memilih keyboard jenis mekanikal. Bagi mereka yang lebih suka nombor tambahan untuk urusan makro, ini juga keyboard penuh siap bersama number pad. Walaupun kekunci right shift agak kecil, saya tidak menganggapnya sebagai masalah.

Seterusnya, MSI mengubah rupa kedua-dua set kekunci anak panah. Memandangkan kekunci WASD kini transparen, lebih banyak pencahayaan RGB boleh dilihat. Kekunci anak panah juga boleh digunakan sebagai shortcut untuk mematikan touchpad, menukar kelajuan kipas, menambah reticle pada skrin dan memainkan atau menjeda sebarang media. Anak panah di sebalik ikon tersebut turut diterangi oleh RGB. Jika anda jenis yang suka lampu RGB merata, keyboard ini pasti menarik perhatian anda.
Daripada segi penggunaan, semua kekunci berfungsi dengan sempurna. Saya suka setiap maklum balas dan sentuhan yang ditemani bunyi klik, walaupun ia tidak mekanikal sepenuhnya. Satu-satunya masalah sebenar yang saya hadapi ialah touchpad, yang berukuran 5.1 x 3.2 inci.

Daripada pengalaman saya, ukurannya tidak praktikal kerana sususnya terlalu tinggi sehingga tangan saya terpaksa diletakkan lebih jauh ke hadapan untuk benar-benar menaip. Memang bukan satu pengalaman yang selesa. Tetapi itu pun rupanya ada sebab. Unit yang kami terima tidak mempunyai ciri, tetapi Raider GE78 HX sebenarnya ada model Smart Touchpad.
Asanya, ia menjadikan majoriti perbuatan menjadi lebih mudah. Direka untuk para gamer, touchpad Raider GE78 HX direka semula dengan butang-butang khas – masing-masing dengan penggunaan berbeza yang dapat melancarkan pelbagai fungsi yang mereka perlukan dengan pantas dengan hanya menekan satu butang. Walaupun ramai masih akan memakai mouse semasa gaming atau bekerja, Smart Touchpad dapat menjimatkan masa pengguna daripada mencari atau mengingati shortcut penting.
Paparan

Tidak kurang hebatnya adalah paparan. Panel IPS 17″ QHD+ (2560 x 1600) telah dilengkapi pada MSI Raider GE78 HX dan berjalan pada kadar segar semula 240 Hz yang menyediakan gameplay lancar dan terang berwarna-warni.
Setiap warna, bayang-bayang dan pantulan cahaya kelihatan cantik apabila saya bermain game atau tengok video, tetapi dalam keadaan cahaya malap, skrin boleh jadi sukar untuk dilihat, jadi mungkin kecerahan maksimum boleh ditambah pada model akan datang.

Teknologi MSI True Color dan pengesahan 100% DCI-P3 pula memastikan panel mempunyai tahap ketepatan visual yang paling tinggi. Hasilnya, setiap imej disampaikan dengan tahap perincian dan ketulenan tinggi, untuk memastikan ketepatan warna hampir 100% di pelbagai aplikasi.
Nisbah aspek 16:10 Raider menjadi skrin lebih tinggi, yang biasanya lebih praktikal untuk kerja produktiviti berbanding gaming. Walaupun begitu, RTX 4080 boleh meningkatkan nisbah bidang melebihi 16:9 jika anda mahu.

Jadi jika anda menggunakannya untuk urusan kerja, laptop ini sepatutnya tiada masalah termasuk untuk urusan grafik, penyuntingan video, animasi, pemodelan dan sebagainya.
Cuma, saya mendapati ada satu isu dengan paparan – ia tidak mempunyai sokongan Nvidia G-Sync atau sama jenis. Pendapat saya pula, ciri ini seharusnya disertakan dengan mana-mana laptop yang harganya mahal seperti ini. Jadi pengguna seeloknya tahu bahawa itu sahaja kelemahan skrin di laptop ini.
Audio

Untuk aspek audio, Raider GE78 HX mempunyai menyampaikan audio dengan kuat dan jelas berkat empat woofer, dua speaker menghadap atas, dengan keseimbangan bagus antara treble, mid dan high tanpa memerlukan pengubahsuaian daripada EQ. Apabila volume dinaikkan sepenuhnya, bunyi laptop boleh memenuhi satu bilik yang besar dengan mudah.
Apabila bermain mana-mana game, saya dapat mendengar tembakan atau tapak kaki musuh dari jauh, yang membantu saya memilih kawasan mana yang perlu dielakkan atau mengatur strategi. Apabila saya melepaskan tembakan, bunyi senjata saya pun cukup kuat sehingga tenggelamkan bunyi lain.

Dalam mana-mana review laptop di Gamer Santai, saya jarang puji tentang audio tetapi pujian seeloknya diberi pada Raider GE78 HX kerana prestasi audionya lebih bagus daripada yang disangkakan.
Bagi mereka yang ingin menala audio untuk menepati citarasa peribadi, beberapa profil dalam aplikasi Nahimic disediakan, termasuk music (default), movie dan game. Secara peribadi, saya lebih suka bass yang lebih dalam, tetapi rasanya ramai orang akan berpuas hati tanpa membuat sebarang perubahan. Jika malas, anda juga boleh menggunakan ciri Smart AI untuk menghasilkan audio yang lebih terang dan jelas.
Prestasi dalam gaming

Raider mempunyai GPU laptop 16GB GDDR6 NVIDIA GeForce RTX 4090, pemproses Intel Core i9-13980HX, storan 4TB (2TB*2) NVMe PCIe Gen4x4 SSD dan sistem memori DDR5 32GB*2 (5600MHz).
Tambahan baharu ialah teknologi MSI OverBoost Ultra. Digabungkan dengan GPU GeForce RTX 4080 dan Intel Core i9-13980HX, MSI OverBoost Ultra memaksimumkan CPU-GPU kepada jumlah kuasa 250W dan membolehkan 8 P-core untuk memenuhi total 5.2GHz. Secara realistik, ia berpotensi untuk menjadi mesin produktiviti yang besar dan telah terbukti berkuasa dalam ujian di bawah.
Berikut adalah hasilnya:
- Cinebench R23
- Multi Core – 22313
- Single Core – 1812
- PCMark 10 – 11001
- 3DMark
- Time Spy – 20036
- Fire Strike – 33213
- Fire Strike Extreme – 23537
Dalam setiap ujian, Raider GE78 mencapai markah tinggi dan dapat bersaingan dengan semua peranti RTX generasi baharu. Tidak kira apa yang kami uji, semua dapat dijalankan dengan lancar. Malah, sepanjang masa saya pakai, tiada satu masalah lag pun saya temui apabila membuat kerja penyuntingan, atau melayari internet sehingga membuka 20+ lebih tab.
Kini, kami sampai di bahagian yang semua orang tertunggu-tunggu. Apakah hasilnya bila kita menguji semasa gaming? Kali ini, saya tidak akan menguji sebarang game kompetitif. Sebaliknya, saya menjalankan tiga game AAA yang menolak prestasi Raider GE78 ke had maksimum. Harap maklum, semua game di bawah dijalankan pada resolusi 2K pada tetapan maksimum (sama ada Ultra High, Ultra) bersama DLSS diaktifkan.
Berikut adalah hasilnya:
Ratchet and Clank: Rift Apart
Purata FPS sekitar 70+ semasa meneroka dunia atau dalam pertempuran. Semasa penerokaan, FPS adalah sekitar 110+ manakala FPS terendah adalah sekitar 50+. Malangnya, sukar untuk saya menilai prestasi laptop ini kerana game Ratchet and Clank: Rift Apart mempunyai masalah pengoptimuman di PC dan pernah crash sekali dan sering lag sedangkan tetapan lebih daripada cukup untuk tampung.
The Last of Us Part 1
Purata FPS sekitar 70+ semasa meneroka atau dalam pertempuran. Semasa penerokaan, FPS adalah sekitar 80+. FPS terendah ialah sekitar 60. Lebih baik daripada Ratchet and Clank kerana masih melebihi tanda 60FPS sedangkan game ini lebih berat kerana menampilkan lebih banyak butiran dan pantulan cahaya realistik di dunia yang besar. Sama seperti Ratchet and Clank, ia menghadapi masalah yang sama tetapi selepas beberapa update, sistemnya lebih mudah diuruskan oleh PC.
God Of War
Purata FPS sekitar 110+ semasa pertarungan sengit. Semasa penerokaan, FPS adalah sekitar 130+. FPS terendah ialah sekitar 96. Walaupun grafik sama realistik seperti TLOU Part 1, saya terkejut dengan jumlah FPS yang lebih tinggi dan konsisten. Ternyata, game ini cukup optimum dan membuktikan Raider mampu menjalani game intensif.
Ternyata, ia menepati misinya sebagai mesin gaming. Saya melemparkan segala-galanya ke Raider GE78, dan setiap game mampu diuruskan. Saya tidak mengalami sebarang lag atau crash (kecuali R&C), dan setiap dunia yang saya terokai, tidak kira sama ada dunia zombie TLOU yang hiper realistik, atau alam Norse GoW, atau R&C futuristik, semuanya ditunjukkan dengan cantik dan selancar yang boleh sedangkan dua daripada tiga game yang diuji tidak dioptimumkan dengan sempurna.
Bukan itu sahaja, saya juga merakam gameplay di atas sambil bermain game, jadi jumlah FPS yang ditunjukkan sepatutnya lebih tinggi. Jadi pengguna tidak sepatutnya menghadapi sebarang masalah apabila bermain pada mesin ini. Memandangkan saya juga bermain game AAA yang berat, Raider GE78 pasti tidak akan ada sebarang masalah menjalankan game lain yang lebih ringan seperti Overwatch, Valorant, FIFA dan sebagainya.
Jangka hayat bateri dan solusi penyejukan

Majoriti laptop gaming mempunyai masalah bateri yang tidak mampu tahan, dan Raider GE78 tidak terkecuali. Walaupun begitu, ia menunjukkan daya ketahanan yang lebih mengagumkan, berkat bateri 4 sel 99.99 Whr yang besar. Sepanjang sesi ujian, bateri akan habis dalam masa kira-kira 4-5 jam menjalankan tugas pejabat, dan sekitar 1 jam+ semasa ujian gaming (menjalankan Ratchet and Clank: Rift Apart pada tetapan Medium).
Memandangkan ia dibina untuk sesi gaming intensif, Raider GE78 sepatutnya dibekalkan dengan solusi penyejukan yang canggih. Malangnya, bukan itu yang saya temui. Sebaliknya, GE78 menggunakan Cooler Boost 5 yang terdiri daripada 6 heat pipe dan dua kipas bersaiz besar; bukannya solusi Liquid Metal atau Vapor Chamber.


Selepas bermain selama berjam-jam, bahagian tengah keyboard akan menjadi panas dan menyebabkan ketidakselesaan apabila disentuh. Jadi berhati-hati semasa menyimpan laptop ini selepas sesi gaming yang lama. Nasib baik lah, bahagian lain kekal sejuk dan boleh disentuh tanpa masalah.
Apabila beroperasi pada kelajuan penuh, kipas sudah tentu akan membuat bunyi bising tetapi jika dibandingkan dengan laptop gaming mewah yang lain, bunyi bising tidak begitu kuat dan menjengkelkan. Andai kata tidak boleh tahan, satu-satunya solusi adalah memakai headset atau earphone.
Aplikasi gaming tambahan
Raider GE78 dilengkapi dengan pelbagai aplikasi yang sudah sedia ada dimuat turun software. Aplikasi utama MSI Center direka sebagai alat serba guna untuk memantau status perkakasan, menukar profil kuasa dan tugas-tugas lain. Jika perlu, terdapat beberapa modul tambahan yang pengguna boleh muat turun untuk membantu.
Aplikasi lain termasuk MSI App Player, yang membolehkan anda menjalankan aplikasi Android dalam Windows, dan MSi True Color, yang membolehkan anda melaraskan suhu paparan, mengaktifkan cahaya anti-biru dan beralih ke mode tonton berbeza, SteelSeries GG mengawal lampu RGB pada keyboard dan lightbar, dan Nahimic diguna untuk melaraskan audio.
Pendapat

MSI Raider GE78 HX ialah salah satu pilihan utama jika anda mencari laptop berkuasa untuk memuaskan segala selera gaming anda. Walaupun ada beberapa kekurangan, kelebihannya adalah ia menawarkan prestasi yang solid, paparan yang terang berwarna-warni dan memberi port untuk sambungan ke peranti dan aksesori berbeza. Secara keseluruhan, Raider GE78 ialah produk gaming MSI yang meyakinkan, dan berfungsi dan menyerupai contoh laptop gaming mewah sebenar.
Seperti saya kata tadi, jangka hayat bateri, ketiadaan NVIDIA G-Sync, dan susunan touchpad tidak menepati jangkaan. Walau bagaimanapun, Raider menawarkan banyak ciri-ciri bagus secara keseluruhan jika anda mengabaikan semua kekurangan itu.
Untuk MSI Raider GE78HX 13VI 061 (GeForce RTX4090, GDDR6 16GB), harga asalnya RM24,999.00 tetapi kini dijual pada harga RM18,999.00. Di samping itu, anda akan menerima bonus di bawah jika anda membeli sekarang:
- Beg galas Titan Gaming + Mouse M99
- Waranti selama 2 Tahun
Untuk maklumat lanjut, anda boleh melayari laman web rasmi MSI di sini.
@gamersantaimy
Discussion about this post