Selepas berbulan-bulan khabar angin, Sony Interactive Entertainment akhirnya mengumumkan model slim untuk PlayStation 5 (PS5) pagi tadi menerusi PlayStation Blog. Yang peliknya, Sony sebenarnya tidak menamakan model ini sebagai PS5 Slim – berbeza daripada generasi sebelum.
Selain berat dan saiz yang semakin kecil, ada juga beberapa penambahbaikan lain seperti disc drive yang boleh dipasang/ditanggal dan storan yang semakin besar. Jika anda berminat untuk beli, memang sangat penting untuk tahu semua perbezaan dengan versi original. Di sini, saya akan cuba menjelaskan apa yang membezakan PS5 Slim daripada model original.
Saiz dan Berat
Bermula dengan perbezaan paling besar sekali, PS5 Slim datang dengan reka bentuk baharu yang membuatkannya lebih ringan dan lebih padat. Berbanding dengan PlayStation 5 original, saiz PS5 Slim dikurang sebanyak 30%. Kini edisi standard berukuran 358 × 96 × 216 mm (model sebelum adalah 390 × 104 × 260 mm), manakala edisi digital berukuran 358 × 80 × 216 mm (model sebelum adalah 390 × 92 × 260 mm).
Model ini juga semakin ringan di mana PS5 Slim edisi standard memiliki berat 3.2kg (kurang 700 gram berbanding model 2022 dan pengurangan sebanyak 18%. PS5 Slim edisi Digital pula turun kepada 2.6kg (kurang 800 gram berbanding model lama dengan pengurangan sebanyak 24%).
Ini merupakan berita baik bagi mereka yang tidak mahukan konsol besar di sebelah televisyen mereka. Pada masa yang sama, saiz yang semakin kecil tidak bermakna prestasi telah dikompromi. Komponen di dalam masih sama. Oleh itu, prestasinya tetap sama.
Reka Bentuk
Saiz semakin kecil, jadi reka bentuk pun harus mengalami beberapa perubahan.
Daripada dua cover plate di mana satu menutupi setiap sisi konsol, PS5 Slim mempunyai empat cover plate di mana ada dua pada setiap sisi. Cover plate di bahagian atas (jika konsol diposisikan secara menegak) mempunyai kemasan berkilat, manakala bahagian bawah mengekalkan kemasan matte berdasarkan reka bentuk original.
Perubahan reka bentuk ini pun mempunyai sebab sendiri kerana cover plate di bahagian bawah boleh dicabut untuk memasang disc drive Ultra HD Blu-Ray di PS5 Slim Digital.
Disc Drive Ultra HD Blu-Ray yang Boleh Ditanggal/Pasang
Sekarang anda tidak perlu risau tentang nak main PS5 secara digital atau CD fizikal lagi. Untuk PS5 Slim, SIE akan menambah disc drive Ultra HD Blu-Ray yang boleh dipasang/tanggal. Komponen ini sudah sedia pasang di PS5 Slim Standard tetapi ia juga dijual secara berasingan untuk versi Digital.
Jika anda awal-awal memutuskan untuk membeli PS5 digital, pembeli kini tidak perlu menyesal kerana kemudian mereka masih boleh bermain game kegemaran dalam format fizikal menggunakan komponen ini.
Harga untuk Disc Drive Ultra HD Blu-Ray tersebut adakah sekitar $79.99 tetapi harga rasmi Malaysia masih belum didedahkan.
Storan lebih besar
Model PS5 original hanya dilengkapi dengan SSD 825GB, tidak pernah genap 1TB tepat. Kini SIE telah membetulkan masalah itu dengan PS5 Slim.
Kedua-dua model PS5 Slim dilengkapi dengan SSD 1TB, yang bermaksud lebih banyak ruang untuk game kegemaran anda. Walaupun tidak banyak perbezaan, tetapi tambahan ini amat dihargai.
Stand baru
Satu lagi perkara penting untuk tahu ialah Sony menghasilkan reka bentuk PS5 Slim supaya digunakan dalam posisi mendatar. Malah, kali ini mereka tidak langsung menyertakan stand untuk meletakkannya secara menegak.
Tetapi jika anda lebih suka mempunyai PS5 “berdiri” di sebelah televisyen anda, anda boleh membeli stand baru secara berasingan. Stand ini boleh dipakai untuk semua model PS5 dan dijual pada harga $29.99.
Reka bentuknya pun lain; bukan lagi tapak hitam tetapi bertukar ke gelung logam.
Spesifikasi masih sama
Selain daripada apa yang saya sebutkan di atas, Sony tidak mengubah apa-apa lagi tentang PS5 Slim. Menurut info sedia ada, spesifikasinya adalah sama. PS5 Slim masih dikuasakan oleh CPU AMD Zen 2, bersama dengan GPU AMD RDNA 2, mempunyai 16GB RAM GDDR6, dan setiap sambungan port masih sama.
Harga
Walaupun info harga di Malaysia belum dikeluarkan, tetapi SIE mengumumkan harga umum untuk Amerika Syarikat, UK dan Jepun. Di bawah adalah harga AS:
- PS5 bersama Ultra HD Blu-ray disc drive – USD $499.99
- PS5 Digital Edition – USD $449.99
Harga PS5 Slim Standard kekal sama seperti model sebelum tetapi PS5 Slim Digital kini $50 lebih mahal daripada sebelum ini.
Pendapat
Secara keseluruhan, model PlayStation 5 Slim tidak begitu berbeza daripada segi kemajuan berbanding model original.
Walaupun faktor bentuk yang lebih kecil agak bagus, dan disc drive yang boleh ditanggal/pasang akan memudahkan sesetengah gamer, tetapi sesiapa yang sudah memiliki PS5 tidak mempunyai sebab untuk upgrade.
Oleh kerana Blog PlayStation mengesahkan bahawa ini akan menjadi satu-satunya model PS5 yang dikeluarkan pada masa hadapan, semua orang boleh mengucapkan selamat tinggal kepada PS5 lama.
@gamersantaimy
Discussion about this post