Sudah agak lama kami mengikuti perkembangan RPG open-world berunsurkan wuxia, Where Winds Meet. Setelah berpeluang mengujinya secara langsung di gamescom 2025, kami yakin bahawa ia sememangnya antara game keluaran China yang paling bercita-cita pernah dihasilkan.
Hasil pembangunan Everstone Studio dan penerbitan NetEase, pengembaraan epik ini kini dalam persiapan untuk pelancaran sedunia pada November nanti, dengan janji untuk menyajikan aksi combat yang unik, kebebasan membuat pilihan, dan sebuah dunia yang luas serta terasa hidup.

Latar masa Where Winds Meet adalah di China pada abad ke-10, sewaktu era Five Dynasties dan Ten Kingdoms yang bergolak—zaman yang penuh dengan politik dan puak-puak yang saling berperang. Anda akan menggalas watak seorang pendekar pedang misteri.
Penceritaannya banyak berkisar tentang muslihat dan sengketa antara pelbagai aliran seni bela diri, namun terasnya terletak pada persoalan legasi yang ingin ditinggalkan: sama ada menjadi seorang pahlawan yang mulia, seorang oportunis yang licik, atau mencari jalan tengah antara kedua-dua pilihan tersebut.

Aspek yang paling menonjol dalam game ini semestinya adalah sistem combat seni bela dirinya. Ia jauh berbeza daripada sistem hack-and-slash yang tipikal. Sebaliknya, pemain diberi peluang untuk mempelajari dan mahir dalam pelbagai “Mystic Arts” yang menjadikan setiap pertempuran seumpama sebuah pertarungan sinematik.
Kami telah melihat sendiri aksi-aksi seperti tangkisan hebat yang menerbangkan musuh, serangan balas yang menggunakan momentum lawan untuk menentang mereka, serta serangan tepat pada titik tekanan yang mampu melumpuhkan musuh serta-merta.

Sistem ini terasa lancar dan strategik, dengan senjata seperti pedang, lembing, dan busur menawarkan gaya permainan yang berbeza serta kombo-kombo yang memukau.
Kualiti sinematik ini bukanlah satu kebetulan; koreografi kombatnya telah dipandu oleh pelakon terkenal Donnie Yen dan Kara Wai, menjadikan setiap duel terasa seperti babak dari sebuah filem seni bela diri.

Semangat wuxia ini tidak terhad kepada combat sahaja, malah diterapkan ke seluruh dunianya.
Meneroka persekitaran adalah satu pengalaman yang amat memuaskan; anda boleh berlari di permukaan dinding, meluncur di atas air tasik, malah menggunakan kemahiran tenaga dalaman untuk bergerak pantas antara bumbung bangunan dan melayang di udara.

Prinsip kebebasan menjadi sifat utama reka bentuk game ini. NPC akan memberi reaksi berbeza bergantung pada kelakuan anda, sama ada anda memilih untuk membela nasib golongan yang lemah, memperdaya para saudagar, atau sengaja mencetuskan kekecohan.
Selain daripada jalan hidup seorang pahlawan, game ini juga membuka peluang untuk anda mendalami kerjaya lain.
Anda boleh memilih untuk menjadi seorang tabib, pemuzik, peniaga yang arif, ataupun seorang ilmuwan yang disegani, di mana setiap peranan ini akan memberikan dimensi baharu dalam cara anda menjelajah dan berinteraksi dengan dunia sekeliling.

Walaupun Where Winds Meet menawarkan pengalaman solo yang lengkap, ia turut menyertakan elemen dunia kongsi untuk pemain yang berminat.
Para pemain boleh membentuk kumpulan untuk menyelesaikan misi secara co-op, menguji kehandalan dalam pertarungan PvP yang sengit, atau menubuhkan ‘guild’ bagi menyahut cabaran aktiviti berskala besar yang mirip dengan sistem raid.

Game ini bakal diperkenalkan menggunakan model free-to-play. Pihak Everstone telah memberi jaminan bahawa model monetization akan berfokus kepada item kosmetik dan sistem battle pass, di samping berjanji untuk tidak mengenakan sebarang sekatan paywall yang menghalang kemajuan pemain.
Ini merupakan satu berita yang disambut baik oleh komuniti pemain, dan kita semua berharap agar studio ini menunaikan janji mereka apabila game ini dilancarkan nanti.

Dibangunkan menggunakan enjin Messiah milik NetEase, Where Winds Meet menyajikan pengalaman visual yang sama mengagumkan. Dunianya kaya dengan pemandangan, reka bentuk seni bina yang menepati sejarah, serta panorama alam.
Penggunaan animasi motion-captured yang kemas memastikan setiap aksi kelihatan realistik, dan aspek audio juga melengkapi visual, menampilkan muzik orkestra yang diadun dengan instrumen tradisional Cina.
Namun, berdasarkan sesi percubaan kami, aspek terjemahan dan reka bentuk UI masih memerlukan penambahbaikan sebelum ia sedia untuk pasaran global.

Where Winds Meet mempunyai segala potensi untuk menjadi penanda aras baharu dalam genre RPG dunia terbuka.
Kehebatan sistem combat seni bela dirinya serta penekanan utamanya terhadap kebebasan pemain—baik dari segi gaya bertarung, pilihan kerjaya, mahupun keputusan moral—telah memberikannya satu identiti yang tersendiri dan amat kukuh.
Meskipun masih ada keraguan mengenai pelaksanaan model free-to-play serta kemampuan untuk melancarkan sebuah projek berskala mega ini dengan sempurna, pengalaman kami mencubanya telah meninggalkan satu perasaan yang sangat positif.

Anda juga boleh membaca interviu eksklusif kami bersama pasukan mereka untuk belajar lebih lanjut tentang game ini.

Game ini akan dilancarkan untuk PlayStation 5 dan PC pada 14 November. Versi PC akan tersedia melalui Steam, Epic Games Store, dan Microsoft Store. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.









Discussion about this post