Ini merupakan peluang ketiga kami merasai sendiri Sonic Racing: CrossWorlds, dan cubaan kali telah membuatkan kami lebih teruja dari sebelumnya.
Kami berpeluang mencuba game ini di gamescom 2025, dan jika previu-previu awal ini lebih tertumpu kepada sistem gameplay asas, demo terbaharu ini pula mendedahkan pelbagai kandungan segar termasuklah litar-litar baharu, mod permainan yang unik, serta dua watak kolaborasi yang benar-benar menjadi tumpuan utama: Ichiban Kasuga dan Hatsune Miku.
Jom kita mulakan!
Dunia Penuh Keseronokan

Peta-peta yang kami cuba kali ini sangat hebat dari segi visual, dipenuhi dengan warna-warna terang dan latar yang gah, seperti yang anda jangkakan dari alam Sonic.
Konsep utama game ini, iaitu “CrossWorlds”, membolehkan pelumba melompat antara dunia yang berbeza di pertengahan perlumbaan; dan dalam previu ini, ia masih menjadi ciri yang menonjol. Ia adalah mekanik yang sangat seronok dan memastikan setiap pusingan terasa segar dan tidak dapat dijangka.
Selain persekitaran baharu, peminat Sonic pasti gembira apabila mendapati beberapa lokasi ikonik dari game-game lepas telah direka semula dengan hebat sebagai litar lumba, menambahkan sentuhan nostalgia.

Walaupun kami tidak dapat meneroka ciri-ciri customization secara menyeluruh kali ini, apa yang kami lihat adalah ia dibangunkan berdasarkan sistem yang tampak meyakinkan dari previu sebelum ini. Jelas sekali pemain akan dapat membina kart dengan rupa dan profil prestasi yang benar-benar unik.
Dengan membuka pelbagai komponen melalui gameplay, jumlah kombinasi kelihatan sangat besar, menjanjikan sistem yang luas untuk pemain yang gemar mengubah suai kereta lumba mereka.

Selain daripada mod Grand Prix biasa, kami juga berpeluang menguji mod baharu yang dipanggil Race Park. Di sini, anda akan berdepan dengan Team Sonic dalam enam jenis perlumbaan unik yang direka untuk menguji kemahiran anda dengan cara yang berbeza.
Sesi kami tertumpu pada Triple Team Ring Grab, sebuah perlumbaan 4v4v4 di mana setiap pasukan bersaing untuk mengumpul cincin terbanyak. Mengisi tolok bonus pasukan anda akan melepaskan boost yang kuat untuk semua ahli, mewujudkan suasana tarik tali yang hebat di litar.
Mod-mod seperti ini bakal menambah nilai main semula yang signifikan kepada Sonic Racing: CrossWorlds, terutamanya untuk mod dalam talian di mana setiap mod menawarkan keseronokan yang berbeza.
Dunia Bertembung: Main sebagai Ichiban Kasuga & Hatsune Miku

Sorotan sesi demo kami sudah tentulah peluang untuk bermain sebagai dua watak kolaborasi baharu ini, dan mereka sama sekali tidak mengecewakan.

Ichiban Kasuga adalah watak yang sangat menonjol. Sebagai satu-satunya watak manusia sepenuhnya dalam demo ini—bukan haiwan, bukan bergaya anime—dia serta-merta terasa unik. Mengambil inspirasi daripada personalitinya dalam francais Like a Dragon, kehadiran Ichiban sangat kuat.
Setiap ekspresi dan reaksinya penuh bertenaga dan sangat menepati wataknya. Dia ‘meraikan’ setiap kali memintas pihak lawan, mengambil item, memulakan perlumbaan dengan sempurna, atau melakukan helah di udara dengan gaya-gaya yang menghiburkan.
Bagi seorang gamer tegar seperti Ichiban, berada di alam semesta Sonic adalah seperti impian menjadi kenyataan, dan dia sendiri pun kelihatan seperti benar-benar menikmati setiap saat.

Tidak mahu ketinggalan, Hatsune Miku membawa tenaganya yang ceria dan bertenaga ke dalam senarai watak. Personaliti idol sepenuhnya terserlah dalam setiap animasinya, yang semuanya ceria dan penuh dengan tenaga positif, seolah-olah dia bersorak, “Jom kita bergembira bersama!”
Dia sering mengakhiri aksinya dengan gaya yang lemah lembut, sama seperti seorang idol yang membuat persembahan di atas pentas. Miku bukan sekadar gimik crossover; dia membawa pesona dan suasananya yang tersendiri ke dalam setiap perlumbaan.
Pendapat Setakat Ini
Sonic Racing: CrossWorlds semakin menyerlah sebagai sebuah game lumba kart dengan identitinya yang tersendiri, bukan sekadar alternatif kepada game lain dalam genrenya.
Variasi peta yang menarik, diperhebatkan lagi oleh gimik pertukaran “World” di pertengahan perlumbaan, memastikan tiada dua perlumbaan terasa sama, manakala mod tambahan seperti Race Park menjanjikan nilai main semula yang tinggi.

Walau bagaimanapun, apa yang benar-benar mengangkat versi demo ini adalah watak-watak kolaborasi. Ichiban Kasuga dan Hatsune Miku bukan sekadar kemunculan kameo sambil lewa; animasi dan personaliti unik mereka memberikan lebih banyak nyawa kepada aksi di litar.
Melihat mereka beraksi membuatkan kami lebih teruja untuk melihat bagaimana barisan watak lain yang telah diumumkan—termasuk Joker dari Persona 5, Steve dan Alex dari Minecraft, SpongeBob dan Patrick, serta Pac-Man—akan dihidupkan.

Secara keseluruhan, ulasan kami sangat positif. Sonic Racing: CrossWorlds mempunyai asas yang kukuh, kandungan yang melimpah, dan aura “keseronokan” yang membuatkan kami tidak sabar menanti tarikh pelancarannya.

Sonic Racing: CrossWorlds akan dilancarkan bermula 25 September 2025, untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S, PC, dan Nintendo Switch. Versi untuk Nintendo Switch 2 dijadualkan untuk dilancarkan pada tarikh yang akan datang.
Sebuah Open Network Test juga akan bermula pada 29 Ogos untuk mereka yang berminat. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.




![[Eksklusif] Sonic Racing: CrossWorlds Menjelaskan Kolaborasi, Gameplay Arcade & Aspek “Lumba Untuk Semua”](https://cdn.gamersantai.com/2025/08/SONIC-RACING-CROSSWORLDS_INTERVIU_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post