Game akan datang, Sonic Racing: CrossWorlds, sedang dibual dengan hangat, bukan sahaja kerana aksinya yang menarik tetapi juga kerana visinya yang bercita-cita tinggi untuk mewujudkan sebuah dunia perlumbaan yang benar-benar saling berhubung.

Kami berpeluang menemu bual secara eksklusif Ketua Studio Sonic Team, Takashi Iizuka; Produser, Taki Ryuichi; dan Pengarah Kreatif, Kohayakawa Masaru, untuk membincangkan senarai watak dalam game yang luas, asal-usulnya daripada perlumbaan arked, serta matlamatnya untuk mencipta pengalaman yang mengalu-alukan pemain dari semua tahap kemahiran.
Dunia Kolaborasi dan Crossover
Salah satu aspek yang paling menarik tentang Sonic Racing: CrossWorlds ialah barisan watak jemputan yang luas dari dalam dan luar keluarga SEGA. Iizuka menjelaskan bahawa pasukan mereka mempunyai rancangan jangka panjang untuk memperluas senarai watak melangkaui 23 watak Sonic sedia ada.
Kolaborasi ini dipecahkan kepada beberapa jenis, memastikan aliran kandungan baharu yang berterusan untuk para pemain.

“Jenis watak jemputan yang pertama adalah daripada francais SEGA sendiri, dan setiap bulan akan ada watak SEGA baharu diumumkan secara percuma,” kata Iizuka.
Bagi mereka yang mahukan lebih lagi, season pass akan memberikan akses kepada 12 watak jemputan tambahan. Cita-cita pasukan ini tidak terhenti di situ.
“Selain itu, akan ada juga kemas kini yang membawa enam lagi watak jemputan, termasuk SpongeBob dan Minecraft,” dedah Iizuka.
Pemilihan ini dibuat untuk membawa dunia yang pelbagai dan menarik ke dalam game. Rancangan semasa adalah untuk mengeluarkan kemas kini bulanan ini selama sekurang-kurangnya setahun, dengan kemungkinan ia akan dilanjutkan bergantung pada kejayaan game.
Apabila memilih ikon SEGA mana yang akan disertakan, seperti Hatsune Miku, Ichiban Kasuga, dan Joker yang baru diumumkan, pasukan ini memberi tumpuan kepada tarikan peminat.
“Kami memilih watak yang paling popular dalam barisan SEGA yang kaya, supaya pemain merasai hubungan yang paling kuat,” ulas Iizuka, sambil berjanji bahawa watak-watak legenda dari SEGA All-Stars juga akan kembali.

Malah kolaborasi yang mencabar dari segi gaya seperti Minecraft turut diterima sebagai sebahagian identiti permainan. Menurut Penerbit Taki Ryuichi, ia bukanlah satu halangan, sebaliknya kontras itulah yang menjadi teras kepada pengalaman ini.
“Bayangkan memandu dalam dunia seni 3D penuh dan kemudian tiba-tiba memasuki dunia Minecraft yang berkotak-kotak—ia mewujudkan rasa terkejut yang kuat,” katanya. “Ia benar-benar menonjolkan konsep ‘CrossWorlds’ yang mendefinisikan game ini.”
Gameplay dan Reka Bentuk Litar Berinspirasi Arked

Ramai ahli pasukan pembangunan telah mengasah kemahiran mereka dengan siri perlumbaan arked legenda, Initial D, dan kepakaran itu telah disalurkan terus ke dalam Sonic Racing: CrossWorlds. Taki Ryuichi menjelaskan bahawa pengajaran terbesar yang diperoleh ialah cara untuk menyempurnakan rasa kawalan permainan.
“Initial D penuh dengan selekoh, dan ia memerlukan banyak pusingan stereng. Rasa kepuasan benar-benar bergantung pada betapa responsifnya kawalan dan bagaimana kereta bertindak balas terhadap input pemain,” katanya. “Kami menerapkan gerak balas dan mobiliti daripada pengalaman perlumbaan arked ini ke dalam Sonic Racing: Crossworlds.”

Falsafah untuk mencipta pengalaman yang memuaskan ini turut diperluaskan kepada reka bentuk litar. Game ini akan menampilkan sejumlah 24 litar original dan 15 litar “dimensi” yang diilhamkan oleh pelbagai francais kolaborasi.
Untuk memastikan kepelbagaian dan kebolehmain semula, Pengarah Kreatif Kohayakawa Masaru berkata pasukan itu mendekati setiap litar dengan soalan khusus: “Apakah jenis pengalaman unik yang patut pemain rasai di litar ini?”
Ini memastikan bahawa “setiap litar menawarkan identiti dan pengalaman gameplay yang tersendiri, menjadikan game ini terasa segar tidak kira di litar mana anda berada.”
Bunyi Rentas Dunia

Tema utama game ini iaitu pengembaraan merentas dimensi amat sebati dengan hala tuju muziknya. Menurut Kohayakawa, runut bunyi direka untuk meningkatkan perasaan penemuan.
“Konsep muzik berkait rapat dengan tema game iaitu ‘merentas ke dimensi baharu’,” jelasnya.
Apabila pemain berlumba di litar yang diilhamkan oleh judul-judul SEGA yang lain, mereka akan mendengar versi gubahan semula lagu-lagu klasik. Kuncinya, tambahnyya, adalah untuk “menekankan elemen kejutan—sesuatu yang membangkitkan emosi apabila pemain memandu masuk ke dunia baharu.”
Peminat juga boleh menantikan lebih banyak variasi muzik, kerana Kohayakawa mengusik bahawa “akan ada juga muzik dari luar francais SEGA.”
Perlumbaan untuk Semua
Walaupun para pembangun telah memberi tumpuan untuk mencipta pengalaman lumba yang kemas dan kompetitif, matlamat utama mereka adalah untuk menjadikan Sonic Racing: CrossWorlds sebuah game untuk semua.
Ini dicapai melalui gabungan customization yang mendalam, ciri dalam talian yang lancar, dan mod yang mudah diakses untuk pemain kasual.

Kohayakawa mengetengahkan “Sistem Gadget” yang inovatif, yang dia percaya benar-benar membezakan game ini.
“Ia membolehkan pemain mengubah suai peraturan game mereka sendiri,” katanya. “Kami berharap pemain dapat menikmati keseronokan bereksperimen dengan peraturan yang diubah suai.”
Berkat kepada ciri cross-play, mod tersuai ini boleh dikongsi di seluruh komuniti.

Bagi pemain kompetitif, Taki menekankan mod online multiplayer. “Anda boleh bermain dalam talian dengan sehingga 12 pemain, di sinilah persaingan benar-benar menyerlah,” katanya, sambil menyatakan usaha besar yang dilaburkan untuk menjadikan mod ini menyeronokkan dan bermanfaat.

Walau bagaimanapun, Iizuka segera menegaskan bahawa game ini bukan hanya untuk pelumba tegar. Pasukan ini telah memasukkan banyak elemen santai, seperti dialog khusus watak, dan mod “Path” cooperative di mana pemain boleh berlumba bersama-sama dan bukan hanya bersaing antara satu sama lain.
“Ini bukan sahaja menarik minat peminat perlumbaan, tetapi juga peminat Sonic dan keluarga,” simpul Iizuka. “Kami percaya Sonic Racing: Crossworlds adalah game yang boleh membawa keseronokan kepada semua orang.”

Sonic Racing: CrossWorlds bakal dilancarkan untuk PlayStation 4, PlayStation 5, Xbox One, Xbox Series X|S, dan Nintendo Switch pada 25 September 2025. Versi Steam dan Epic Games Store akan menyusul sehari kemudian, pada 26 September, manakala versi untuk Nintendo Switch 2 pula dijadualkan pada tarikh akan datang.
Sebuah Open Network Test juga akan bermula pada 29 Ogos untuk mereka yang berminat. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[Eksklusif] Sonic Racing: CrossWorlds Menjelaskan Kolaborasi, Gameplay Arcade & Aspek “Lumba Untuk Semua”](https://cdn.gamersantai.com/2025/08/SONIC-RACING-CROSSWORLDS_INTERVIU_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post