Jika korang masih belum tahu, Metaphor: ReFantazio ialah JRPG baharu oleh ATLUS – yang sangat diilhamkan oleh reka bentuk Shin Megami Tensei dan Persona. Saya sendiri tidak terkejut, memandangkan game ini dibawa oleh dev veteran daripada siri Persona, seperti pengarah Katsura Hashino, pereka watak Shigenori Soejima, dan komposer Shoji Meguro.
Walaupun ada beberapa persamaan, Metaphor: ReFantazio ingin mengukir legasi sendiri – dengan mengambil yang terbaik daripada kedua-dua francais untuk mencipta identiti sendiri yang cukup kuat untuk berdiri bersama dua gergasi ATLUS.
Di ATLUS FES di Bellesalle Akihabara, Tokyo pada hujung minggu lalu, kami berjaya meluangkan sedikit masa dengan game itu, untuk mengumpul sebanyak mungkin info yang boleh dikongsi bersama anda semua. Berikut adalah previu ringkas kami untuk Metaphor: ReFantazio!
Pengalaman Umum
Sekilas pandang, game ini memang bergaya, di mana ATLUS sekali lagi membuktikan kepada semua orang mengapa mereka adalah yang terbaik dalam hal reka bentuk UI. Maklumat bukan sahaja ringkas dan jelas tetapi bahagian UI amat cantik untuk dipandang – diserlahkan lagi bersama irama muzik oleh Shoji Meguro.
Dalam demo ini, terdapat 3 mode untuk dicuba dan kami memilih untuk “boss challenge” di mana pemain menghadapi Sea Monster Homo Sabara. Peminat game ATLUS pasti tidak akan rasa kekok, kerana Metaphor: ReFantazio memiliki sistem pertempuran yang lebih kurang sama daripada game ATLUS yang lalu.
Sistem pertempuran turn-based Metaphor: ReFantazio mengambil banyak elemen daripada siri Shin Megami Tensei, terutamanya sistem Press Turn, di mana jumlah aksi di setiap giliran akan meningkat apabila kelemahan musuh dieksploitasi atau critical hit berrlaku.
Sudah tentu, sebagai francais baharu, pengetahuan kita tentang para demon dalam Shin Megami Tensei dan Persona tidak boleh dipakai lagi dan pemain perlu mencari kelemahan musuh sendiri.
Bagi saya, highlight utama bagi gameplay Metaphor adalah Archetype. Anggap mereka seperti Persona tetapi anda boleh pilih dan menukar Archetype untuk setiap ahli parti, dan memberikan peranan khusus kepada mereka – ini sangat penting kepada sistem formasi.
Dalam demo, seluruh pasukan saya diletakkan di barisan hadapan, dan mereka hanya mempunyai abiliti yang mempengaruhi rakan lain dalam baris tertentu. Sebagai contoh, Hulkenberg hanya menyembuhkan watak yang berada dalam barisan yang sama dengannya.
Setiap Archetype berbeza dan diinspirasikan daripada kelas dunia fantasi seperti mage, magic knight, swordmaster, magic seeker, dan sebagainya, masing-masing mempunyai skil yang sangat berbeza, daripada abiliti defensif ala tank hingga ke abiliti untuk melakukan serangan AoE yang luas.
Tambahan pula, terdapat sistem Synthesis, di mana dua Archetype boleh menggabungkan kekuatan bersama untuk melaksanakan teknik khas. Untuk melaksanakan teknik itu, watak harus bebas daripada ailment, dan anda perlu melakukan jumlah tindakan tertentu. Oleh itu, banyak rancangan diperlukan untuk melancarkan serangan Synthesis.
Sama seperti boss dari game Shin Megami Tensei dan Persona, boss Metaphor: ReFantazio juga sangat berbahaya jika anda tidak berhati-hati. Sebagai contoh, Sea Horror Homo Sabara boleh melakukan 4 aksi tambahan ala Press Turn, dan hampir membunuh seluruh pasukan saya.
Pendapat Setakat Ini
Walaupun tempoh demo sangat sekejap, Metaphor: ReFantazio meninggalkan kesan yang cukup besar kepada kami melalui visualnya yang cemerlang dan menarik, sistem pertempuran ikonik tetapi masih rasa baru, dan muzik simfoni yang seronok untuk dengar.
Demo ini pun meletakkan banyak had, tetapi saya yakin banyak elemen dalam sistem pertempuran lebih luas, terutamanya sistem Archetype yang bervariasi.
Agak mengejutkan melihat ATLUS memfokuskan pada IP baharu selepas sekian lama dan setakat ini, Metaphor: ReFantazio menunjukkan potensi sebagai JRPG hebat yang layak dimasukkan berdiri sekali bersama Shin Megami Tensei, dan Persona.
Metafora: ReFantazio akan dilancarkan untuk PlayStation 5, PlayStation 4, Xbox Series X|S dan PC melalui Steam pada 11 Oktober 2024.
@gamersantaimy
Discussion about this post