Selepas previu pertama kami dengan Digimon Story Time Stranger, kami teruja untuk kembali bagi sesi kedua yang lebih mendalam.
Dalam sesi permainan selama tiga jam di PC, kami sempat menghabiskan bahagian prolog (Part 1) dan menentang bos Sharkmon (Part 2) di mana sesi ini mendedahkan banyak sistem gameplay baharu serta plot yang dari awal lagi sudah berjaya memikat kami.
Oleh itu, izinkan saya menjelaskan pengalaman bermain.
Plot Misteri Melibatkan Olympos XII

Game bermula di tengah-tengah Shinjuku dalam babak prolog (Part 1). Walaupun pergerakan kami banyak ditentukan oleh misi utama, suasana di kawasan itu terasa hidup dan menarik.
Siasatan kami akhirnya membawa kami ke “Wall of Hope”, sebuah lokasi misteri yang memaksa kami untuk menyelinap masuk dan berdepan dengan bahaya di dalamnya.
Hampir serta-merta, kami diserang hendap oleh Digimon musuh. Ini memaksa kami membuat pilihan penting: memilih rakan Digimon pertama. Mengikut tradisi siri Digimon Story, kami diberi tiga pilihan yang mewakili atribut utama—Patamon (Vaccine), DemiDevimon (Virus), dan Gomamon (Data).
Saya mengambil Patamon, dan dari situ, pengembaraan kami bermula dengan rancak.

Satu babak yang paling mencemaskan adalah apabila MetalGreymon (Blue) tiba-tiba muncul dan mula mengejar kami tanpa henti. Ia satu momen yang begitu mendadak dan saya mengaku, saya mati pada percubaan pertama. Setelah faham bahawa kuncinya adalah untuk terus berlari ke hadapan, cabaran itu menjadi lebih mudah.
Saya berharap agar game penuh nanti akan menyajikan lebih banyak babak dinamik dan berisiko sebegini.
Di sepanjang prolog, kami diperkenalkan kepada Inori, seorang gadis aneh yang nampaknya mengenali kami, walaupun kami langsung tiada ingatan tentangnya. Kewujudannya terus mencipta misteri yang membuatkan kami tertanya-tanya.
Ketika kami terdesak di jalan buntu, Omegamon muncul dengan penuh bergaya untuk menyelamatkan kami daripada MetalGreymon (Blue), sebelum menghilangkan diri.

Prolog ini diakhiri dengan pertarungan melawan Kuwagamon. Kemenangan kami mencetuskan satu fenomena aneh yang membawa kami ke Digiworld. Di sana, kami bertemu dengan tiga ahli Olympos XII—Lunamon, Minervamon, dan Coronamon—di sebuah kuil.
Walau bagaimanapun, pertemuan itu diganggu oleh satu lembaga misteri yang memusnahkan kuil tersebut dan menghumban kami kembali ke dunia sebenar.
Asas Combat Masih Strategi, Tetapi Pilihan Diperbaharui

Sistem combat terasa sama seperti yang kami alami dalam previu lepas, dengan kualiti visual yang sangat mengagumkan. Model Digimon telah direka semula sepenuhnya, menonjolkan butiran yang tajam dan animasi yang sangat gah. Setiap serangan khas terasa istimewa dan direka dengan teliti.
Asas combat Digimon Story Time Stranger masih berpandukan sistem atribut ‘batu-kertas-gunting’:
- Vaccine: Kuat menentang Virus, lemah menentang Data
- Virus: Kuat menentang Data, lemah menentang Vaccine
- Data: Kuat menentang Vaccine, lemah menentang Virus
- Free: Neutral, tanpa sebarang kelebihan atau kekurangan

Tetapi, sesi kali ini mendedahkan bahawa terdapat tujuh jenis atribut kesemuanya, dengan tambahan Variable, Unknown, dan No Data (lazimnya untuk Digimon peringkat In-Training). Sistem ini dilapiskan pula dengan sistem elemen, di mana saya menemui kira-kira 11 jenis elemen seperti Fire, Water, Ice, Light, dan Dark.
Gabungan kedua-dua sistem atribut dan elemen ini amat kritikal. Anda tidak lagi boleh bergantung pada satu Digimon yang sangat kuat untuk menang semua pertarungan. Untuk berjaya, anda perlu melatih satu pasukan Digimon yang pelbagai bagi menghadapi pelbagai jenis musuh.


Meskipun begitu, Digimon Story Time Stranger turut menyediakan cara untuk ‘melanggar’ peraturan ini. Contohnya, saya menguji skil ‘Character Reversal’ milik Patamon, yang mempunyai jaminan 100% untuk menterbalikkan kelemahan dan kekuatan atribut musuh.
Digimon Vaccine yang terkena skil ini akan tiba-tiba menjadi kuat terhadap Data, tetapi pada masa yang sama menjadi lemah terhadap Virus.

Mekanik-mekanik baharu turut menambah lapisan strateg. Extra Strike berfungsi seperti Quick Time Event (QTE); jika anda menekan butang X pada waktu yang tepat, Digimon anda akan melancarkan serangan tambahan.
Peluangnya meningkat jika anda menyerang musuh yang lemah terhadap atribut anda atau apabila ‘bond points’ dengan Digimon anda tinggi. Serangan tambahan ini juga boleh memberi kesan bonus seperti memulihkan rakan sepasukan atau menyebabkan musuh ‘stun’. Sistem Cross-Arts dan Critical Points juga diperkenalkan.
Terdapat tiga jenis Cross-Arts: Burst, Field, dan Break. Saya sempat menguji Break (memberi damage dan debuff) dan Field (buff untuk satu pasukan).

Agent Skill pula adalah sistem ‘skill tree’ untuk watak pemain. Semakin tinggi level anda, semakin banyak mata boleh dilaburkan dalam lima jenis ‘bond’ berbeza untuk membuka buff pasif buat Digimon anda. Walaupun Jogress (DNA Digivolution) tiada, kami dapat mencuba Mode Change, iaitu evolusi sementara dalam pertarungan.
Contohnya, skil Corona Blaster membolehkan Agunimon (Champion) berubah menjadi BurningGreymon (Ultimate) untuk seketika sebelum kembali ke bentuk asal.

Beberapa penambahbaikan quality-of-life menjadikan pengalaman lebih lancar. Pilihan kelajuan pertarungan baharu, yang boleh dilaraskan dari x1 hingga x5, adalah ciri yang amat dialu-alukan. Terdapat juga mod Auto-Battle (diaktifkan dengan R3) yang mempercepatkan proses grinding.
Bagi membantu pemain, petua atribut dan elemen kini dipaparkan semasa serangan, bersama tiga ikon kecil yang menunjukkan kelemahan musuh. Dengan strategi yang betul, saya berjaya menggabungkan kelebihan ini untuk menghasilkan damage sehingga 450%.

Satu lagi perubahan penting: penggunaan item kini tidak lagi mengorbankan giliran Digimon. Sebaliknya, Agent boleh menggunakan satu item setiap giliran, satu perubahan kecil yang memberi impak besar pada kelancaran pertarungan.
Membesarkan Rakan Digimon dengan Personaliti
Bagi peminat siri ini, sistem Digivolution pastinya sudah dikenali. Anda perlu mengalahkan Digimon liar untuk mengimbas dan mengumpul data mereka. Data yang mencukupi kemudiannya boleh digunakan di makmal untuk menghasilkan Digimon tersebut sebagai ahli pasukan anda.

Namun, dalam sesi ini, evolusi dari Rookie ke Champion dikunci oleh tahap pemain, jadi kami tidak dapat mengujinya. Walau bagaimanapun, kami menemui satu ciri baharu yang lebih mendalam: interaksi dengan Digimon anda kini lebih penting. Rakan Digimon anda akan cuba berkomunikasi melalui perbualan atau mesej.
Cara anda membalas akan membentuk personaliti mereka, yang bukan sekadar hiasan. Ia akan mengaktifkan skil pasif unik yang berasaskan personaliti tersebut, menjadikan setiap pilihan anda memberi kesan kepada perkembangan mereka.
Meneroka Dunia Dinamik dengan DigiAttack
Salah satu ciri baharu yang paling inovatif ialah sistem DigiAttack, yang menghubungkan eksplorasi dengan combat. Apabila berhadapan dengan musuh tunggal di dunia permainan, anda boleh menyerangnya secara terus untuk menewaskannya tanpa perlu memasuki mod combat turn-based.
Serangan ini tidak menggunakan SP, tetapi kekuatannya bergantung pada skil, damage dan elemen Digimon anda, membolehkan anda memulakan pertarungan dengan kelebihan.

DigiAttack juga penting untuk penerokaan. Terdapat halangan-halangan di laluan yang hanya boleh dimusnahkan menggunakan DigiAttack, sekali gus membuka jalan baharu. Sistem ini disokong oleh ciri Analysis (L2), yang menyerlahkan objek yang boleh dimusnahkan, peti harta, dan bahan-bahan.
Lebih penting lagi, ia memaparkan lokasi dan jenis musuh, membolehkan anda merancang serangan DigiAttack dengan elemen yang betul.

Penerokaan juga menjadi lebih menarik dengan adanya bantuan Digimon untuk bergerak. Sebagai contoh, Biyomon membantu kami terbang menyeberangi jambatan yang runtuh. Dalam Part 2, kami menaiki Whamon dan Submarimon untuk menjelajahi dasar laut.
Seperti kami pernah jelaskan dalam artikel lama, game penuh akan menawarkan pelbagai cara unik untuk bergerak dengan bantuan Digimon yang berbeza.

Untuk menambah elemen cabaran, setiap kawasan kelihatan mempunyai Digimon elit yang sangat kuat sebagai bos mini. Di kawasan prolog, kami terserempak dengan Chaosdramon peringkat Mega. Kami diberi pilihan sama ada untuk melawannya, mengelak daripadanya, atau kembali semula apabila sudah lebih kuat.
Ciri Tambahan Menarik dan Wajah yang Dikenali

Sesi previu ini juga mendedahkan beberapa ciri sampingan yang menyeronokkan. Kami berpeluang mencuba permainan mini kad Digimon yang eksklusif untuk judul ini (bukan TCG rasmi). Pemain bermula dengan lima kad dan dapat melihat kad di tangan lawan, jadi anda perlu bijak meneka langkah mereka.
Pemenang tiga pusingan akan merampas dua kad daripada pihak yang kalah. Sentuhan nostalgia dapat dilihat apabila kad-kad diletakkan pada peranti seakan Digivice, lalu bertukar menjadi Digimon berpixel yang berlawan di skrin.

Watak yang sering kembali, Mirei, kini ditemui di lokasi baharu bernama In-Between Theater dan bukan lagi melalui telefon. Walaupun kami tidak sempat menerokanya sepenuhnya, Mirei masih menguruskan Digifarm.
Di sini, anda boleh melatih Digimon, memberi mereka makan untuk meningkatkan statistik, serta menghias pulau ladang dengan pelbagai item dan fasiliti. Kepentingan Digifarm masih belum jelas, tetapi ia nampaknya menawarkan gabungan fungsi latihan dan customization yang menarik.

Pendapat Setakat Ini

Daripada prolognya yang pantas dan penuh debaran kepada sistem combat yang cukup mendalam, Digimon Story Time Stranger berpotensi besar untuk menjadi sebuah pengembaraan yang imersif dan kaya dengan strategi.
Sistem combat kompleks tetapi mudah didekati, hasil gabungan mantap antara atribut, elemen, dan mekanik baharu seperti Extra Strikes, Cross-Arts, serta Mode Change.
Penerokaan terasa dinamik dan memuaskan, dengan sistem DigiAttack yang menawarkan interaksi kreatif dengan persekitaran, manakala bantuan pergerakan Digimon dan kehadiran bos kawasan menjadikan setiap zon lebih hidup dan berbahaya.

Dipadankan dengan sistem penjagaan Digimon dan kandungan sampingan yang menawan seperti permainan mini kad baharu, sesi previu ini meninggalkan kami dengan keinginan untuk bermain lebih lagi.
Digimon Story Time Stranger akan dilancarkan pada 2 Oktober 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan 3 Oktober untuk PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi mereka.









Discussion about this post