Setiap kali edisi baharu siri ini menemui peminat, persoalan lazim yang sering timbul adalah: “Adakah ini cuma perubahan kepada pemain dalam pasukan semata-mata?” Bagi NBA 2K26, jawapannya cukup melegakan: ia bukan sekadar itu.
Setelah mengujinya di konsol PS5, versi kali ini tidak merombak formula sedia ada sukan bola keranjang, sebaliknya memfokuskan kepada beberapa penambahbaikan penting yang jelas terasa kesannya.
Dari saat bola dilambung, kelainan yang ketara dapat dirasai di atas gelanggang, membuktikan bahawa peningkatan paling besar tidak semestinya datang dari mod baharu, tetapi dari penambahbaikan pada asas-asas game itu sendiri.
Tanpa melengahkan masa, inilah ulasan kami.
Rasa Berbeza di Gelanggang
Aspek utama yang perlu dibincangkan mengenai NBA 2K26 semestinya adalah gameplay. Edisi tahun ini menawarkan pengalaman yang jauh lebih memuaskan, hasil daripada beberapa pembaharuan yang menjadikan game lebih lancar dan menghiburkan.
Perubahan paling jelas dapat dilihat pada Shot Meter. Dalam NBA 2K25, meter tersebut walaupun kelihatan menarik, sangat tidak memaafkan kesilapan dan memerlukan ‘timing’ yang tepat untuk berjaya. Kini dalam NBA 2K26, sistemnya telah dirombak supaya lebih mudah difahami dan peka pada input pemain.
Mendapatkan jaringan “Excellent” semasa melakukan balingan atau ‘layup’ kini menjadi lebih realistik, membolehkan pemain berasa lebih yakin untuk mencuba ‘jumper’.

Dari segi animasi, peningkatannya juga amat jelas. Pergerakan kini tampak lebih hidup, membawakan tahap realisme yang kurang dirasai dalam siri-siri terdahulu.
Sebagai contoh, kita dapat menyaksikan ‘point guard’ seperti Stephen Curry melakukan’ floater’ dengan pergerakan yang licin, manakala ‘power forward’ dan ‘center’ mampu melaksanakan ‘skyhook’ ala Kareem Abdul-Jabbar.
Gandingan ProPLAY Motion Engine dan sistem Rhythm Shooting pun berjaya menjadikan aksi menggelecek, menjaring, dan pergerakan pemain tidak lagi terasa kaku berbanding tahun sebelumnya.

Walaupun menjaringkan mata kini lebih mudah, ini tidak bermakna game ini menjadi lebih mudah. AI telah ditala semula, khususnya dari segi bertahan.
Strategi pick-and-roll kini lebih mencabar untuk dilaksanakan; AI lebih cekap menganalisis gerakan, bertindak balas dengan pantas, dan mengambil kesempatan atas sebarang kelekaan, yang sering kali mendedahkan pasukan anda kepada ancaman ‘three-pointer’.
Momentum permainan dalam NBA 2K26 juga terasa lebih dinamik. Pergerakan pemain lebih licin dan peralihan antara serangan dan pertahanan berlaku dengan lebih pantas.
Isu rubber-banding (AI mengejar secara tidak realistik) semasa serangan balas masih wujud—satu masalah yang sepatutnya sudah lama diatasi—namun ia tidak begitu merosakkan hasil akhir perlawanan. Kebanyakan perlawanan kekal sengit sehingga ke wisel penamat, dan kemenangan dengan jurang mata yang besar jarang berlaku.
Ini berjaya mengekalkan debaran sukan bola keranjang sebenar.

Satu lagi aspek menarik ialah bagaimana pemain ternama dipersembahkan. Atlet dengan rating 85 ke atas kini jauh lebih menyerlah, dengan prestasi yang mencerminkan kehebatan mereka dalam kehidupan sebenar.
Mereka mampu menjaringkan mata dengan mudah, menembusi benteng pertahanan, dan melakukan balingan unik tanpa sebarang kesukaran. Tambahan pula, setiap bintang dilengkapi dengan kemahiran dan animasi tersendiri, membuatkan mereka benar-benar menonjol.
Ketelitian sebegini membolehkan pemain merasai impak sebenar kehadiran seorang superstar di atas gelanggang.
Menuju Puncak NBA Dalam MyCareer
MyCareer sudah sekian lama menjadi mod utama siri NBA 2K, dan edisi 2K26 membawakan kemas kini yang cukup berharga. Berbeza daripada sebelumnya, pemain tidak terus dibawa ke draf NBA, sebaliknya memulakan pengembaraan dengan naratif pra-NBA yang memberikan lebih penghayatan.
Kembara anda bermula di peringkat sekolah, di mana anda perlu bersaing dalam kejohanan tempatan untuk membina nama dengan meraih kemenangan dan anugerah. Lebih menarik lagi, karier anda tidak terhad di Amerika Syarikat sahaja.
Anda juga diberi pilihan untuk memulakan kerjaya di liga-liga Eropah, mengumpul trofi dan pengiktirafan di sana sebelum menjadi tumpuan di pentas NBA.

Naratif ini diserikan dengan pelbagai rintangan—contohnya, mengatasi jumlah jaringan pemain saingan atau mencapai sasaran prestasi tertentu—yang kesemuanya memberi kesan langsung kepada kedudukan draf anda. Prestasi yang cemerlang akan menjamin kedudukan draf yang lebih tinggi.
Jika cukup bagus, anda berpeluang menjadi prospek draf nombor satu, sekali gus menjadi rebutan utama pasukan-pasukan NBA.
Pendekatan ini merupakan satu nafas baharu jika dibandingkan dengan edisi-edisi lepas, yang mana jalan ceritanya terasa ringkas dan hambar, seolah-olah pemain dilemparkan ke dalam NBA tanpa sebarang latar belakang.
Dalam NBA 2K26, anda dapat menyelami keperitan dan semangat juang seorang atlet yang ingin berjaya, menjadikan mod ini lebih bermakna.

Namun, kelemahan terbesar MyCareer terletak pada aspek customization pemain. Fungsi penciptaan watak terasa ketinggalan zaman dan amat terhad. Pemain hanya dibenarkan mengubahsuai ciri-ciri asas seperti gaya rambut, templat muka, bentuk dagu, atau mata.
Tiada pilihan lanjutan seperti menambah parut, menentukan kedudukan tahi lalat, atau slider untuk membentuk wajah secara terperinci. Jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan oleh EA Sports FC, NBA 2K26 jelas jauh di belakang.
Masalah lain ialah mod ini memerlukan sambungan internet secara berterusan. Sepanjang sesi permainan saya, sambungan kerap terputus walaupun talian internet saya stabil. Dikeluarkan dari game secara tiba-tiba akibat masalah server amatlah mengecewakan dan merencatkan pengalaman.
Aspek ini semestinya perlu diberi perhatian pada masa akan datang.

MyCity juga kembali sebagai pusat aktiviti sosial dan persaingan. Di sini, pemain boleh meneroka, menyelesaikan misi, bermain minigame, dan bersaing dengan pemain lain. Untuk tahun ini, reka bentuk bandarnya lebih ringkas dan padat, memudahkan pergerakan dan tiada lagi ruang kosong yang tidak berfungsi.
Berbanding rekaan bandar pada tahun-tahun lepas yang terlalu luas dan meletihkan, pendekatan baharu ini lebih praktikal dan mesra pengguna.
MyNBA Masih Dibelakang
Jika ada mod yang boleh dianggap terabai, ia adalah MyNBA. Semenjak ciri MyEra diperkenalkan dalam NBA 2K23, mod ini tidak menerima banyak pembaharuan. Edisi lepas memperkenalkan Era Stephen Curry, namun NBA 2K26 tidak membawakan sebarang era baharu, menyebabkan pengalaman yang ditawarkan hampir tiada bezanya.

Kemas kini yang ada hanyalah bersifat luaran dan kecil. Contohnya, UI maklumat pemain diperkemas sedikit, sepanduk kejuaraan akan digantung di arena setelah anda menang, dan Piala NBA kini mempunyai animasi sambutan kemenangan tersendiri.
Walaupun sentuhan kecil ini menambah sedikit realisme, ia tidak mengubah gameplay sama sekali.
Pilihan simulasi juga diubah suai, di mana pemain boleh memilih kelajuan simulasi perlawanan (perlahan, sederhana, atau pantas). Walaupun secara teori simulasi perlahan sepatutnya lebih realistik, keputusannya masih sangat bergantung pada kekuatan pasukan dan tahap kesukaran. Perbezaannya hampir tidak dapat dirasai.

Secara keseluruhannya, MyNBA terus terasa seperti ‘di-anak-tiri-kan ‘dalam francais ini—ia ada, tetapi tidak mendapat perhatian yang setara dengan mod lain seperti MyCareer.
Satu Pasukan, Dua Liga Dalam MyTEAM

Sejujurnya, MyTEAM bukan mod kegemaran saya, kerana formulanya tidak banyak berubah: kumpul kad pemain yang terdiri daripada edisi biasa dan istimewa seperti MVP, kemudian bersaing dalam perlawanan ranking dengan pemain lain. Konsepnya sangat mirip dengan apa yang ada dalam EA Sports FC.

Dalam NBA 2K26, pembaharuan utamanya ialah penyertaan pemain WNBA ke dalam MyTEAM. Ini bermakna pemain lelaki NBA dan pemain wanita WNBA kini boleh berada dalam pasukan yang sama.
Walaupun idea ini unik dan segar, ia terasa kurang realistik apabila difikirkan kerana jurang kualiti antara liga NBA dan WNBA pada hakikatnya adalah sangat besar.
Visual Gelanggang dan Pemain
Dari aspek visual, siri NBA 2K sering dikritik kerana kelihatan hampir sama setiap tahun. Meskipun NBA 2K26 tidak mengubah persembahannya secara drastik, ia menampilkan peningkatan yang boleh dilihat.
Sistem pencahayaan telah direka semula untuk menghasilkan suasana yang lebih hidup, terutamanya di arena NBA di mana pantulan cahaya, bayang-bayang, dan warna tampak lebih meyakinkan. Kilauan lantai gelanggang dan cahaya dari papan LED kini lebih menghampiri pengalaman menonton perlawanan sebenar.

Butiran pada pemain juga diberi penekanan. Peluh, definisi otot, dan ekspresi muka kelihatan lebih terperinci. Babak-babak tambahan semasa timeout, selepas jaringan penting, atau ketika meraikan kejuaraan turut menyumbang kepada penghayatan.
Walaupun nampak kecil, semua elemen ini berjaya mencipta sebuah persembahan visual yang lebih menarik.

Satu lagi kekuatan adalah prestasinya pada konsol generasi baharu. Game ini berjalan dengan sangat lancar semasa saya mengujinya di PS5 (kerana difahamkan versi PC mengalami banyak masalah prestasi).
Pendapat
NBA 2K26 bukanlah satu perubahan drastik untuk siri ini, tetapi ia adalah sebuah versi yang ditambah baik dengan teliti dalam pelbagai aspek penting. Gameplay terasa lebih lancar, pantas, dan menyeronokkan hasil daripada shot meter yang diperbaharui, animasi yang lebih baik, serta pengenalan ProPLAY Motion Engine dan Rhythm Shooting.
Pemain bintang akhirnya terasa sehebat di dunia nyata, manakala AI memberikan cabaran yang lebih hebat dengan strategi serangan yang lebih pintar.

Pembaharuan dalam MyCareer menghadiahkan pemain satu pengembaraan yang lebih bermakna ke arah pentas NBA, memberikan nilai tambah selain daripada sekadar bermain perlawanan. Reka bentuk MyCity yang lebih padat juga memudahkan akses dan menjadikan mod ini kurang meletihkan.
Sebaliknya, MyNBA masih mengecewakan, dengan hanya kemas kini kecil tanpa sebarang inovasi besar.

Dari segi visual, NBA 2K26 kelihatan lebih kemas, dan apabila digabungkan dengan prestasi yang mantap pada konsol generasi baharu, ia menawarkan sebuah pakej yang lengkap dan digilap yang pasti akan disukai oleh peminat bola keranjang.
Kesimpulannya, NBA 2K26 merupakan satu lonjakan kualiti yang jelas berbanding NBA 2K25, walaupun ia mungkin belum cukup untuk memuaskan hati para pengkritik yang inginkan perubahan revolusioner. Bagi pemain biasa mahupun peminat tegar, game ini menyajikan pengalaman bola keranjang yang memuaskan.
Game ini tersedia di PlayStation 5, Xbox Series X|S, Switch 2, PlayStation 4, Xbox One, Switch, dan PC (Steam). Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
The Review
NBA 2K26
NBA 2K26 menyerlah melalui gameplay-nya yang jauh lebih lancar dan responsif, serta naratif MyCareer yang diperbaharui. Namun, ia masih dibayangi oleh mod MyNBA yang diabaikan dan isu-isu lama seperti kustomisasi watak yang terhad. Secara keseluruhannya, ia adalah satu peningkatan yang kukuh dan pilihan yang mantap jika pengalaman di gelanggang menjadi keutamaan anda.
PROS
- Shot Meter yang diperbaharui lebih responsif dan lebih mudah dikuasai
- Gameplay terasa lebih pantas dan realistik
- Jalan cerita MyCareer menambah perkembangan pra-NBA yang bermakna
- MyCity direka semula menjadi lebih padat dan mudah diakses
- Peningkatan visual yang kecil tetapi memberi impak
CONS
- MyNBA terasa diabaikan tanpa sebarang ciri baharu yang besar atau bermakna
- Customization pemain MyCareer masih lemah berbanding game sukan lain









Discussion about this post