Diumumkan pada Jun tahun ini, Call of Duty: Black Ops 6 direka berdasarkan segala ciri-ciri kegemaran daripada siri Black Ops dengan beberapa tambahan baharu untuk memberi pengalaman yang boleh memuaskan hati peminat lama dan baharu. Studio Treyarch berhasrat untuk mencipta Black Ops terbaik yang pernah ada, bukan sekadar kata-kata kosong, tetapi untuk bantu melakar masa depan Call of Duty secara keseluruhan.
Kebetulan, kami sempat mencuba Black Ops 6 menerusi Early Access Beta yang diadakan pada hujung minggu lepas. Sebelum ketibaan game secara rasmi, kami ingin berkongsi pendapat dan juga menjelaskan beberapa perkara.
Tanpa melengahkan masa, berikut adalah previu kami bagi Call of Duty: Black Ops 6 versi Beta.
Mekanik Baru – Omni-movement
Omni-movement ialah mekanik gameplay baharu dalam Call of Duty: Black Ops 6, di mana ia membolehkan pemain melakukan semua jenis pergerakan dengan lancar dalam semua arah sekaligus. Sebagai contoh, anda boleh berlari ke kiri, kanan dan ke belakang, manakala biasanya dalam game first person shooter, anda hanya berlari ke hadapan.
Bukan sahaja sprint atau berlari, ini termasuk Diving (berlari kemudian Jump Dive), dan Sliding.
Ini menjadikan rentak permainan lebih pantas dan banyak pergerakan dari segi skill, bukan sahaja mengejutkan musuh, malah membuat mereka keliru sehingga sukar untuk sasar.
Terdapat beberapa peta yang memaparkan kawasan air seperti kolam dan ya, Omni-movement turut boleh diaplikasikan untuk membantu anda keluar dari air dengan cepat dan menyelam.
Scorestreak
Setelah pemain memperoleh cukup banyak kill dan mata, mereka boleh mengaktifkan scorestreak. Ini adalah abiliti istimewa yang memberikan akses kepada alatan dan senjata berkuasa, seperti UAV yang memaparkan musuh pada mini map, atau Counter UAV yang melumpuhkan mini map musuh.
Pilihan lain ialah Scout Pulse, yang mendedahkan lokasi musuh. Untuk pilihan yang lebih maut, anda boleh memanggil helikopter untuk membunuh musuh, namun helikopter ini hanya berada di medan perang selama lebih kurang 3 minit.
Kegemaran peribadi saya ialah kereta boleh letup dan peluru berpandu kawalan jauh. RC-XD sangat comel dan berkesan untuk mengalih perhatian musuh, tetapi memerlukan kemahiran memandu yang cekap.
Hellstorm membolehkan pemain menyeru peluru berpandu yang boleh diarahkan pada sasaran tertentu, menyebabkan area damage yang besar.
Game Mode
Semasa mencuba beta, kami dapat mengalami empat mode yang ditawarkan. Berikut adalah butirannya:
Domination: Matlamat domination adalah untuk menguasai semua area pada peta, terdapat sekurang-kurangnya 3 titik kontrol: A, B dan C, di mana anda mendapat mata tertentu secara berterusan dengan mengawal titik ini. Semakin banyak titik yang dikawal, semakin banyak mata yang diperolehi.
Hardpoint: Seperti Domination, tetapi hanya ada satu titik kontrol pada satu masa, dan pemain mesti berada di dalam untuk mendapatkan mata. Pemain boleh melihat di mana titik kontrol seterusnya akan berada, jadi ada sedikit strategi di mana pemain boleh membahagikan pasukan untuk mengawal kawasan itu terlebih dahulu.
Team Deathmatch: Ini adalah mode tradisional yang dikenali oleh ramai peminat shooter. Matlamatnya adalah untuk mendapatkan mata dengan membunuh pemain lain. Tempoh respawn sangat cepat, jadi anda boleh segera respawn selepas dibunuh.
Kill Order (HVT): HVT a.k.a High Value Target. Dalam mode ini, seorang pemain daripada setiap pasukan akan ditetapkan secara rawak sebagai HVT yang mesti dilindungi. Kemudian pemain juga perlu memburu HVT daripada pasukan musuh. HVT tidak boleh segera dibunuh, tetapi akan mengalami status down, dan pasukan boleh menghidupkan HVT untuk menghalang pasukan musuh daripada mendapat mata.
Peta
Untuk beta pertama yang kami cuba, terdapat sekurang-kurangnya empat peta yang boleh dinikmati. Berikut adalah butirannya:
Derelict – Train Graveyard
Derelict ialah peta yang terletak jauh di pergunungan Appalachian, yang menampilkan tanah perkuburan kereta api yang tersembunyi di dalam hutan yang rimbun. Pemain mesti menavigasi melalui kereta api, pokok-pokok dan runtuhan yang ditinggalkan.
Tidak seperti peta lain, Derelict lebih mudah tanpa laluan tersembunyi. Oleh kerana saiznya yang kecil, pemain berkemungkinan akan menghadapi musuh dengan kerap, menjadikannya peta yang pantas dan sangat adrenalin.
SCUD – Military Outpost
SCUD ialah peta yang ditetapkan di markas tentera padang pasir yang telah dimusnahkan oleh serangan. Peta ini mempunyai pelbagai titik perlindungan, seperti parit, menara satelit yang rosak dan bangunan-bangunan kecil.
Tidak seperti Derelict, SCUD menawarkan laluan tersembunyi yang membolehkan pemain membuat serangan mengejut ke atas musuh, menambah elemen strategik pada gameplay.
Skyline – Resort Rooftop
Bosan bertarung di peta mainstream? Apa kata kita menikmati pemandangan luar bandar dari atas bumbung resort mewah? Peta ini menampilkan penthouse yang indah dengan akses ke ruang istirahat, dapur, gim dan kolam renang, serta kawasan tersembunyi di bawah resort.
Ini adalah medan pertempuran sepenuhnya, jadi berhati-hati dengan musuh yang boleh muncul dari mana-mana tanpa diduga.
Rewind – Shopping Plaza
Jika anda mencari lebih banyak aktiviti daripada sekadar pemandangan, Liberty Shopping Plaza ialah tempat untuk pergi. Buat huru-hara di pusat beli-belah dalam peta unik ini, menampilkan dua lorong luar yang disambungkan oleh pelbagai laluan dan sekitar pelbagai kedai.
Walaupun kira-kira 50% daripada peta berada di luar, kebanyakan pertempuran akan berlaku di dalam pusat membeli-belah.
Customization Senjata
Seperti biasa, terdapat ciri Gunsmith untuk pemain customize senjata mereka, dan setiap senjata mempunyai customization sendiri, seperti mengurangkan recoil, ADS (Aim Down Sight) yang lebih pantas, Scope yang lebih besar, dan sebagainya, dengan menukar stok senjata, underbarrel, grip, optik, dan lain-lain.
Kritikan saya ialah; walaupun kita sepatutnya dapat melihat berapa banyak attachment yang telah dibuka dalam kategori tertentu sebagai ciri QoL, kita kini perlu klik dan membuka kategori attachment itu untuk melihat sama ada kita telah membuka mana-mana daripadanya.
Ciri ini sangat membantu untuk pemain baru, tetapi jika anda peminat Call of Duty, saya rasa ia tidak akan menjadi masalah, kerana akhirnya anda akan mengumpul segala-galanya.
Bukan sahaja tentang senjata, pemain juga boleh menggunakan alat taktikal, seperti bom tangan, dan item sokongan seperti Assault Pack untuk bekalan tambahan, Trophy System untuk menghalang bom musuh, Neurogas yang berfungsi sebagai perangkap gas beracun, dan Acoustic AMP untuk menguatkan tapak kaki musuh.
Selain itu, terdapat juga perk yang berfungsi seperti skill pasif.
Perk terbahagi kepada tiga kategori iaitu Enforcer, Recon dan Strategist. Apabila pemain melengkapkan tiga bonus daripada kategori yang sama, mereka mengaktifkan status yang menyediakan buff tambahan. Terdapat juga sistem dipanggil Wildcards, yang menawarkan buff tambahan.
Dalam beta, terdapat dua jenis: Overkill, yang membolehkan pemain melengkapkan sebarang senjata non-melee di slot Primer dan Sekunder, dan Perk Greed, yang membolehkan pemain memakai perk tambahan.
Unsur Kemajuan
Kemajuan dalam game ini berfungsi seperti battle pass, di mana pemain boleh membuka pelbagai ganjaran semasa naik level, termasuk senjata, lencana, buff, skor, charm dan juga skin.
Boleh disamakan juga sebagai sistem ganjaran, tiada apa yang terlalu serius, kecuali ganjaran level 4, yang membolehkan pemain mengubahsuai loadout mereka. Selebihnya tidak begitu penting dan dipenuhi oleh kosmetik.
Pendapat
Secara keseluruhan, Call of Duty: Black Ops 6 versi beta sangat menyeronokkan dan huru-hara pada masa yang sama. Walaupun mode dan peta amat terhad, gameplay cukup menarik hingga membuatkan saya bermain selama 6 jam.
Gameplay senjata terasa sangat realistik dan memuaskan, dan sistem Omni-movement menjadikan game ini lebih pantas dan lebih adrenalin, dengan musuh yang muncul dalam pelbagai posisi. Malah temponya sangat pantas sehingga setiap perlawanan boleh diselesaikan dalam masa lebih kurang 10 minit.
Bagi pemain yang masih tidak pasti dan belum pre-order, Black Ops 6 sekali lagi akan mengadakan beta umum yang boleh diakses oleh semua orang secara percuma pada 6 – 9 September untuk platform PlayStation 5, Xbox Series dan PC.
Bagi mereka yang menanti versi rasmi, Call of Duty: Black Ops 6 akan dikeluarkan pada 25 Oktober untuk Xbox One, Xbox Series, PlayStation 4, PlayStation 5, dan juga PC. Anda boleh melayari laman web rasmi di SINI untuk mendapatkan maklumat lanjut.
@gamersantaimy
Discussion about this post