Entri pertama dalam siri Dragon’s Dogma asalnya dilancarkan pada tahun 2012 dan neraih populariti sebagai aksi-RPG yang unik berkat aksi dan pertempuran yang menarik, serta sistem unik yang membuatkan pemain berasa seolah-olah mereka ditemani oleh Pawn, makhluk misteri daripada dunia lain. Dragon’s Dogma 2 cuba mengikut jejak game pertama dengan meningkatkan lagi elemen tersebut untuk mencipta dunia fantasi yang benar-benar mengasyikkan bagi pengembaraan di masa hadapan.
Kami sempat mencuba game ini di Tokyo Game Show 2023, dan berikut adalah preview awal kami untuk Dragon’s Dogma 2.
Kami bermain demo Dragon’s Dogma selama kira-kira 15 minit dan jika anda belum pernah bermain game ini sebelum ini, ia pasti akan mengingatkan anda semua seperti siri Monster Hunters kerana sistem pertempurannya yang terasa berat dan tepat daripada segi pergerakan.
Satu lagi perkara yang mungkin mempengaruhi pengalaman ini adalah mungkin kerana saya bermain sebagai kelas Fighter yang terasa seperti Tank dengan pergerakan yang lebih perlahan berbanding Thief atau Archer.
Seterusnya, saya dapat meneroka dunia dengan 4 parti: masing-masing dengan peranan khusus sendiri seperti Support dan ada yang bertarung daripada jarak jauh. Seperti game pertama, teman ini dipanggil sebagai Pawn.
Saya pernah mencuba game pertama dan pada masa itu, dunia terasa agak kosong, tetapi dalam sekuelnya, kini ada lebih banyak perkara untuk dilihat dan berinteraksi. Saya juga sangat suka apabila pemain boleh melawat sekumpulan NPC, dengan sesetengah daripada mereka akan bersikap mesra atau bermusuhan (nasib baik, mereka tidak mengajak saya berlawan).
Satu-satunya aduan saya dengan aspek eksplorasi ialah betapa mudahnya watak kita menjadi letih yang secara tidak langsung menghalang penerokaan dan pergerakan. Bukan itu sahaja, untuk menghentikan “aksi berlari” juga agak mengelirukan, kerana watak saya masih berlari sehinggalah saya berhenti seketika untuk ulang semula pergerakan (barulah boleh berjalan macam biasa).
Daripada segi pertempuran: seperti yang dinyatakan tadi, saya bermain sebagai Fighter yang terasa perlahan dan lebih kurang sama seperti bermain dengan Heavy Weapon dalam Monster Hunter. Kita boleh melakukan beberapa serangan asas dan mempunyai akses kepada empat skil tambahan.
Kelas saya tidak mahir melawan musuh yang terbang di udara seperti Harpy (tetapi kebetulan itu sahaja musuh yang saya jumpa).
Di penghujung demo, saya dapat melawan sejenis raksasa lembu gergasi yang bertindak sebagai Boss, dan sejujurnya, pertarungan ini agak sukar. Sama seperti Monster Hunter, watak kita dengan mudah boleh dijatuhkan oleh serangan raksasa yang luas dan damage tinggi: jadi seeloknya anda memikirkan strategi dan membawa peralatan yang cukup dan sesuai sebelum mana-mana pertarungan besar.
Buat masa sekarang, Dragon’s Dogma 2 tidak mempunyai tarikh keluaran tetapi Capcom mengesahkan bahawa game ini akan dikeluarkan di PS5, Xbox Series X/S, dan PC melalui Steam. Baca segala liputan kami tentang game ini di SINI!
Segala liputan kami tentang Tokyo Game Show disampaikan bersama kerjasama Predator Gaming.
@gamersantaimy
Discussion about this post