Dibangunkan oleh studio Dimps, Dragon Ball: The Breakers ialah game “anime asymmetrical multiplayer” pertama yang termasuk dalam kategori sama seperti Dead by Daylight, Friday The 13th, Identity V dan sebagainya. Walaupun Ujian Beta Tertutup (CBT) hanya dibuka untuk PC, game ini akan dikeluarkan pada PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC, dengan keserasian untuk PlayStation 5 dan Xbox Series X|S, pada tahun 2022. Dijemput oleh Bandai Namco Asia untuk cuba, inilah preview saya untuk Dragon Ball: The Breakers versi CBT!
*Ujian beta dicuba bersama controller Xbox One di PC*
Jalan cerita
Buat masa ini, Breakers tidak mempunyai cerita rasmi tetapi temu bual akan datang dengan penerbit Ryosuke Hara akan menjawab beberapa soalan tentang naratif. Buat masa ini, berikut ialah sinopsis rasmi:
“Protagonis adalah orang awam biasa, yang tiba-tiba terperangkap dalam fenomena duniawi. Orang awam ini mendapati diri mereka berada dalam ‘Temporal Seam’, sebuah dunia di mana masa dan tempat bercampur-campur.
Tidak seperti wira terkenal dari Dragon Ball, para “Survivor” ini tidak memiliki kuasa luar biasa, tetapi beberapa cara untuk bertahan hidup disediakan oleh Time Patroller, sebuah organisasi terkenal dari Siri Xenoverse. Dengan bantuan daripada Time Patroller, setiap Survivor mesti mencari jalan untuk menghentikan penjahat terkenal Dragon Ball, dan melarikan diri dari Temporal Seam.”
Maklumat tambahan: Game ini berkongsi universe yang sama seperti Dragon Ball Xenoverse dan save data daripada Dragon Ball Xenoverse 2 dapat digunakan sebaik sahaja Dragon Ball: The Breakers dikeluarkan secara rasmi.
Gameplay Asas untuk Beta
Dalam game ini, pemain dibahagikan kepada dua pihak: satu Raider akan lawan dengan tujuh Survivor, di mana setiap pihak cuba mencapai objektifsendiri. Matlamat Raider adalah untuk menggunakan kuasa mereka yang luar biasa mereka untuk menghapuskan semua Survivor, manakala matlamat Survivor adalah untuk mengaktifkan Super Time Machine demi melarikan diri dari Temporal Seam.
Semasa bermula, kita akan disambut oleh menu Create a Character untuk customize sama ada watak lelaki atau perempuan mengikut citarasa. Ini termasuk nama, muka, warna kulit, jenis badan, pakaian dan sebagainya. Malangnya, aspek customization tidak begitu in-depth dan agak basic buat masa ini. Memang lebih kurang sama seperti DB: Xenoverse.
Selesai sahaja itu, kami kemudian diangkut ke hab utama yang dibahagikan kepada Training, Shop, Character Creation dan Spirit Siphon. Lebih lanjut mengenai sistem ini akan dijelaskan kemudian di bawah.
Dengan menekan X (controller Xbox), anda membuka menu “matchmaking” dan boleh memilih untuk bermain sebagai Survivor atau Raider, serta level/peta. Malangnya, beta hanya mempunyai peta Cell, jadi itu sahaja yang saya cuba.
Masalah kecil yang saya hadapi ialah tempoh masa semasa queue terlalu lama untuk menjadi Raider. Jelas sekali ini masih beta terpilih, jadi ramai yang tak dapat menyertai. Selain itu, Cell pasti akan menjadi pilihan lebih popular berbanding manusia yang lemah. Ia mengambil masa sekitar 5-6 pusingan bermain Survivor sebelum saya sempat merasai Cell.
Masuk sahaja perlawanan, gameplay-nya hampir sama seperti mana-mana game asymmetrical tetapi dengan gaya pertempuran dan mekanik Dragon Ball. Berikut ialah aliran pusingan:
Search Phase>Defense Phase>Escape Phase
Memandangkan setiap fasa adalah berbeza untuk Raider dan Survivor, saya akan menerangkan setiap satu secara berasingan.
Apakah yang Survivor perlu lakukan?
Matlamat Survivor adalah untuk melarikan diri dari Temporal Seam dengan mengaktifkan Super Time Machine sambil mengelakkan Raider.
Untuk membuat Super Time Machine muncul, setiap Survivor mesti memasukkan “Power Key” kepada “Startup System”. Terdapat satu Power Key yang tersembunyi di setiap kawasan (Peta Cell mempunyai 6 kawasan) di mana Survivor mesti mencari dan memasukannya di lokasi tertentu.
Malangnya, bukan itu sahaja yang mereka perlu buat. Untuk mengaktifkan Super Time Machine, para Survivor mesti membetulkan/melindungi Startup System, yang muncul di tengah-tengah peta. Lebih banyak Power Key yang dimasukkan, lebih banyak masa akan dikurang untuk mengaktifkan/mempertahankan Startup System.
Jika Startup System berjaya diaktifkan, Super Time Machine akan membetulkan Temporal Seam dan membenarkan Survivor melarikan diri.
Jangan risau jika Startup System dimusnahkan, kerana pusingan masih belum tamat! Beberapa suar akan muncul pada peta untuk menyeru sejumlah Escape Time Machine di mana setiap pemain perlu cuba melarikan diri secara solo… atau dengan Survivor lain. Jika Survivor gagal melarikan diri atau had masa tamat, maka ia akan Game Over.
Item
Item dengan pelbagai kegunaan boleh ditemui semasa kita looting peti bekalan atau memecahkan objek di sekeliling peta. Senjata boleh digunakan untuk menembak Raider, kenderaan membantu pemain bergerak lebih pantas dan Radar membantu mencari item seperti Power Key. Item boleh dibahagikan ke dalam kategori berikut:
- Item yang diaktifkan apabila anda mengutipnya: Ini terdiri daripada Change Power, yang meningkatkan tahap “Dragon Level” (juga akan dijelaskan kemudian di bawah). Anda tidak dapat mengutip Charge Power setelah mencapai had maksimum.
- Item yang disimpan dalam slot khas: Termasuk Dragon Ball dan pelbagai jenis radar. Setelah diperoleh, radar boleh digunakan dengan menekan butang L3.
- Item yang perlu diaktifkan untuk digunakan: Termasuk item seperti Barrier Recovery Device dan Rocket Launcher. Anda boleh membawa sehingga dua jenis item ini pada satu masa. Item akan dipakai terus ke tangan dan belakang anda.
- Zeni: Boleh digunakan untuk membeli item seperti Power Charge atau Barrier Recovery daripada mesin layan diri semasa dalam perlawanan.
- Radar: Mengumpul pelbagai jenis radar akan menggabungkan fungsinya. Jika mempunyai Dragon Radar, Rescue Radar dan Power Key Radar, anda mempunyai radar lengkap dengan semua fungsi, lantas membuatkan misi mencari barang lebih mudah.
Skill & Dragon Change
Skil boleh digunakan untuk membantu Survivor memburu item dengan lebih cekap dan melarikan diri daripada Raider dengan lebih mudah. Contohnya Saiyan Pod Remote membolehkan kita pergi di mana-mana sahaja atas peta dalam sekelip mata. Skil lain, seperti Change membolehkan kita berubah menjadi objek rawak mengelak Raider, manakala Solar Flare akan membutakan Raider buat sementara waktu. Setelah digunakan, skil hanya akan tersedia semula selepas tempoh cooldown, jadi gunakannya pada waktu yang paling sesuai!
Sekarang, saya akan jelaskan perkara yang semua orang akan suka.. iaitu bertukar kepada Z-Warrior! Survivor boleh menggunakan sehingga tiga Transphere (sejenis badge), yang mengandungi roh pahlawan-pahlawan super aka Goku, Vegeta, Piccolo dan lain-lain. Dragon Change pada asasnya membolehkan Survivor memperoleh abiliti dan penampilan Z Fighter tersebut buat sementara waktu.
Abiliti ini boleh diaktifkan dengan mengumpul sejumlah Power Change.
Walaupun sebagai Goku, Raider masih dapat mengalahkan Survivor dengan mudah tetapi nasib baik, anda masih boleh menang jika semua Survivor bekerjasama. Ini adalah salah satu aspek yang saya anggap tidak seimbang dalam game. Bayangkanlah – kita Cell, jadi sepatutnya tiada satu manusia yang boleh membunuhnya sedangkan Gohan pun bergelut dengan Cell dan hampir mati.
Tapi tidak mengapa, saya kongsi triknya. Transpheres mempunyai 3 tahap berbeza, dan lebih tinggi tahap itu, lebih hebatlah kuasa Z Fighter. Tahap 1 dan 2 tidak dapat memberi damage yang berkesan jika Cell mencapai evolusi “Perfect” tetapi jika anda dan Survivor lain berjaya mengecas Dragon Change sehingga tahap 3, maka anda mempunyai peluang untuk menang besar. Bayangkan jika ketujuh-tujuh Survivor berjaya mengecas sehingga tahap 3.. memang Cell pun tidak dapat buat apa-apa.
Secara peribadi, saya pernah mengalami perkara ini dan percayalah apabila saya kata sistem ini masih tidak seimbang.
Dragon Ball
Antara banyak-banyak item OP untuk membantu Survivor melarikan diri, Dragon Ball adalah paling hebat dan boleh ditemui semasa meneroka.
Setelah 7 Dragon Ball ditemui, Shenron boleh diseru untuk menunaikan hajat. Hajat ini boleh terdiri sama ada untuk meningkatkan kuasa Power Change, atau meningkatkan kuasa semua Survivor (bukan upgrade yang besar jika anda memilih untuk kuatkan semua Survivor. Tahap 4 Dragon Change atau nama rasminya Ultimate Dragon Change hanya boleh diperolehi dengan Shenron dan memberikan kuasa yang sepadan dengan evolusi terakhir Raider.
Radier juga boleh seru dan membuat hajat ke Shenron, sama ada untuk sembuhkan nyawa atau meningkatkan evolusi ke satu lebih tinggi.
Apakah yang Raider perlu lakukan?
Raider mungkin bersendirian dan terpaksa menentang pasukan yang terdiri daripada tujuh Survivor, tetapi dia mempunyai kuasa yang terlebih cukup untuk menumpaskan sesiapa sahaja yang menghampirinya.
Objektif utama Raider adalah untuk menghalang Survivor daripada melarikan diri, dan meningkatkan tahap Evolusi mereka untuk menjadi semakin. Jika Raider membunuh semua Survivor, dia akan serta menang.
Evolusi & Skil
Seperti saya kata tadi, Raider akan berevolusi sepanjang perlawanan. Sebagai contoh dalam beta, Cell bermula sebagai larva dan perlu mengisi “Evolution Bar” untuk mencapai 1st Form, 2nd Form dan Perfect Form dengan mengalahkan/menyerap Survivor dan NPC.
Dengan setiap evolusi, Raider memperoleh lebih banyak kuasa dan skil baru yang terdiri daripada mengesan Survivor dengan Ki Detection, hingga ke skil hebat seperti Perfect Kamehameha.
Buru Survivor sehingga menang
Setiap kali tahap evolusi meningkat, Raider dapat memusnahkan satu kawasan pilihan di peta, untuk menghalang Survivor daripada mencari Power Key. Mana-mana kawasan yang dimusnahkan tidak boleh diakses, lalu mengurangkan kawasan untuk Survivor melarikan diri serta memudahkan kita untuk memburu mereka.
Ganjaran & aspek Replayability
Anda boleh memperoleh ganjaran tidak kira sama ada anda menang atau kalah, tetapi akan memperoleh lebih banyak ganjaran apabila bermain dengan baik. Ganjaran termasuk:
- Experience point: Untuk meningkatkan level Survivor/Raider. Masing-masing mempunyai bonus sendiri semasa naik level. Raider juga boleh memperoleh skill point untuk menambahbaik skil mereka.
- Super Warrior Spirit: Boleh digunakan untuk Training di hab utama.
- Zeni: Mata wang yang digunakan dalam game ini. Berguna untuk membeli item daripada Shop atau untuk mendapatkan Transphere daripada Spirit Siphon.
Hab utama
Kembali ke topik Hab Utama, saya kini boleh menerangkan dengan lebih mudah kerana anda sudah faham mekanik dan sistem penting di atas.
Training: Merupakan adalah Hyperbolic Time Gym yang berfungsi sebagai kemudahan latihan di mana anda boleh menghabiskan Super Warrior Spirit untuk melatih skil dan Super Attack anda. (Hanya tersedia untuk Survivor sahaja.) Setiap Transphere mempunyai Super Attack sendiri, jadi anda tidak dapat unlock serangan untuk watak yang tidak dimiliki.
Shop: Anda boleh membelanjakan Zeni dan Token TP (mata wang lain) untuk membeli pelbagai jenis barang seperti kosmetik, emote, skil dan banyak lagi. Ia juga mempunyai halaman “Recommended” yang membolehkan anda mencari tawaran dan promosi istimewa.
Spirit Siphon: Anda boleh membelanjakan Zeni, Token TP dan tiket untuk mendapatkan Transphere yang mengandungi roh Z Fighter.
Character Creation: Anda boleh mengedit watak pada bila-bila masa dan sebanyak mana yang mahu di sini.
Visual, Grafik, & Aspek Teknikal
Jika anda menjangkakan grafik AAA, mungkin ada yang akan kecewa. Secara keseluruhan, satu-satunya cutscene yang ada adalah semasa opening yang memang kaw-kaw cantik. Sebaik sahaja bermain, saya hanya melihat model dan aset yang kurang memuaskan sedangkan ini adalah game untuk generasi baru. Persekitaran seperti gunung, tasik, rumah-rumah -tiada satu yang terlalu mengagumkan.
Kalau boleh, saya ingin puji tetapi tiada apa yang [secara visual] yang menarik perhatian saya. Dalam aspek ini, mereka boleh mencontohi Tales of Arise di mana saya rasa diri seolah-olah kena isekai di dunia mereka tetapi DB: The Breakers tidak memberi impak seperti itu. Ia hanya seperti game anime tipikal.
*Saya menggunakan grafik maksimum pada PC saya jadi isu grafik pastinya bukan kerana sistem saya*
Untuk kawalan dan animasi, aksi watak agak kekok dan ada kalanya janggal. Ini sangat berbeza dengan sistem pertempuran DBZ: Kakarot yang sangat “smooth”, jadi jangan harapkan kualiti yang sama di sini juga.
Untuk perkara yang saya harap mereka boleh tambah ialah ciri voice chat atau proxy chat. Ini adalah game berasaskan kerjasama tetapi kita tiada ciri atau sistem untuk menyampaikan maklumat dan arahan khusus lantas menjadikan peranan Survivor lebih sukar. Saya tahu ramai boleh pakai Discord dan seumpamanya, tetapi ia terasa “lengkap” jika game ada ciri sendiri.
Berita baik! Saya tidak jumpa satu bug pun dalam game jadi itu adalah petanda yang bagus.
Pendapat
Semasa menulis review, ternyata Dragon Ball: The Breakers terasa amat berbeza daripada game Dragon Ball tipikal di mana ia menggunakan aksi pantas dan serangan anime yang hebat untuk mengalahkan musuh. Kali ini, mereka menggabungkan genre asymmetrical yang terus mengubah formula dan memberikan perspektif yang berbeza kepada pemain.
Mana-mana peminat anime pasti tahu betapa hebatnya Cell tetapi dalam game klasik DB, saya sentiasa tahu bahawa wira-wira yang kuat seperti Goku dan Vegeta akan menyelamatkan keadaan. Ini menjadikan imej setiap antagonis kelihatan “kurang bahaya”. Walau bagaimanapun, bermain sebagai manusia yang lemah menentang antagonis-antagonis ini memperkenalkan perspektif baru dan menambah sesuatu yang unik untuk dialami oleh pemain.
Bagi mereka yang mencari game anime yang cantik secara visual, ia tidak begitu menepati syarat dan mungkin ada yang akan kata gameplay-nya terasa agak “membosankan”. Namun, Dead by Daylight dan Identity V berjaya berkembang begitu besar selepas bertahun-tahun dan telah mengumpul ramai peminat. Untuk hal ini, saya rasa kita hanya perlu menunggu kemas kini untuk kandungan baharu supaya benar-benar dapat menikmati game ini.
Secara keseluruhan, Dragon Ball: The Breakers ialah contoh bagus untuk sebuah IP anime terkenal yang mencuba melakukan sesuatu yang unik dan bukannya menggunakan gaya sama berulang kali. Manu tahu? Mungkin selepas mengambil risiko ini, game ini boleh jadi lebih popular daripada siri Xenoverse.
Maka, tamatlah preview saya untuk Dragon Ball: The Breakers yang akan keluar untuk PlayStation 4, Xbox One, Nintendo Switch dan PC pada tahun 2022. Untuk segala liputan kami tentang DB: The Breakers, sila tekan pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post