HoYoverse mengumumkan bahawa fasa closed beta seterusnya untuk game simulasi kehidupan kosmik Petit Planet dijadualkan bermula pada 21 April.
Dikenali sebagai “Stardrift Test,” ujian kali ini terbuka untuk pemain di platform PC, iOS, dan Android. Walaupun pendaftaran telah mula dibuka di laman web rasmi, pihak studio masih belum mengesahkan bilakah tempoh tamat ujian tersebut.
Dalam Petit Planet, pemain memegang peranan sebagai “Planet Tender.” Berbeza dengan game popular mereka yang lain seperti Honkai: Star Rail, judul ini lebih memfokuskan kepada pengalaman santai.
Anda akan diberikan sebuah planet kecil sendiri di dalam “Starsea”; satu ruang angkasa luas di mana dunia-dunia kecil akhirnya akan berhubung untuk membentuk galaksi yang besar.

Gameplay sangat dipengaruhi oleh genre “cozy.” Anda boleh menghabiskan masa dengan berkebun, memancing, mencari barang di tepi pantai, atau memasak. Ada fokus besar pada aspek customization, membolehkan pemain menghias lanskap planet dan rumah mengikut cita rasa dan gaya tersendiri.
Dunia ini dikuasakan oleh tenaga “Luca,” iaitu nadi kehidupan yang mengalir dalam segala perkara. Sambil menjaga planet dan membina hubungan sesama watak, tenaga ini akan membantu planet anda berkembang, mengubah bentuk lanskap secara fizikal, serta membuka kawasan baharu untuk diterokai.
Apa yang Baharu dalam Stardrift Test?

Fasa beta ini memperkenalkan banyak kandungan baharu. Yang paling menarik, sekumpulan “Neighbor” baharu akan diperkenalkan buat pertama kali. Teman-teman berbulu yang comel ini mempunyai personaliti dan latar belakang cerita tersendiri.
Pemain boleh menjemput mereka untuk tinggal di planet dan membina persahabatan melalui perbualan harian serta memberi hadiah.

Sistem “Starsea Voyage” juga telah dinaik taraf. Pemain kini boleh menaiki kenderaan bersama “Neighbor” untuk meneroka pelbagai “Islet”; iaitu lokasi-lokasi kecil yang tersebar di dalam peta yang menawarkan sumber alam dan rahsia yang unik.
Bagi mereka yang mencari pengalaman komuniti, “Galactic Bazaar” berfungsi sebagai pusat sosial utama dalam game ini. HoYoverse bakal menambah lebih banyak aktiviti di sini untuk ujian April nanti, antaranya:
- Tempat Lepak Sosial: Ruang untuk minum kopi atau berehat di tepi unggun api bersama pemain lain.
- Permainan Mini: Gerai meramal nasib dan aktiviti tarian berkumpulan.
- Interaksi Pemain: Pengenalan sistem lelongan, di mana pemain berkemungkinan boleh berdagang barangan dan koleksi unik.

Cara untuk Sertai
Jika ingin mendapatkan tempat di Starsea, anda boleh melayari laman web rasmi Petit Planet untuk mendaftar minat.









Discussion about this post