Cuti sekolah pun sudah bermula, sudah tentu keluarnya pelbagai filem menarik di pawagam nanti. Antara filem yang akan ditayangkan nanti adalah Migration, sebuah filem animasi yang dihasilkan oleh Illumination, studio sama yang menghasilkan Minions, Despicable Me, Sing dan Super Mario Bros. The Movie! Kami telah berpeluang untuk menonton filem tersebut lebih awal. Jadi kalau anda ingin tahu best atau tidak filem ini, teruskan baca review kami ini!
Kalau anda ingin tahu, Migration merupakan filem aksi-komedi yang memaparkan sebuah keluarga itik melewa “Mallard” yang terdiri daripada bapa Mack (Kumail Nanjiani), ibu Pam (Elizabeth Banks) serta anak-anak mereka Dax (Caspar Jennings) dan Gwen (Tresi Gazal). Tidak dilupakan juga pakcik mereka, Uncle Dan (Danny DeVito).
Sebelum kami teruskan dengan ulasan filem ini, jom kami ceritakan sedikit dengan filem pendek “Mooned” yang ditayangkan sebelum bermulanya Migration. Untuk pengetahuan anda, “Mooned” memaparkan villain Vector daripada Despicable Me. Seperti biasa, rakan Minion kita turut muncul dalam filem tersebut. Agak kelakar juga melihat segala percubaan Vector untuk kembali ke Bumi setelah terperangkap di Bulan. Ditambah pula dengan kehadiran Minion yang tidak bersahaja itu, anda pasti akan terbihur dengan pembukaan filem ini.
Tamat sahaja filem pendek tersebut, ia terus bersambung dengan filem Migration, di mana Mack, bapa kepada keluarga Mallard menceritakan kisah “seram” kepada anak-anaknya sebelum tidur. Selepas itu, kita diperkenalkan kehidupan keluarga Mallard yang aman di tasik mereka sehinggalah datangnya sekumpulan burung lain yang singgah di tasik tersebut untuk berehat sebelum berangkat semula untuk menuju ke destinasi mereka, Jamaica.
Keluarga Mallard yang selama ini terperap di tasik itu mendengar kisah yang menakjubkan mengenai dunia luar, akhirnya membuatkan mereka memulakan pengembaraan yang tidak dijangka. Adakah mereka akan sampai ke destinasi mereka? Kenalah tonton filem ini apabila ia ditayangkan nanti.
Plot filem ini sangat straightforward dan memang sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga pada waktu cuti ini. Ia penuh jenaka serta visual filem yang menawan. Babak keluarga ini terbang di awangan sememangnya cantik, ditambah pula dengan skor muzik oleh John Powell, ia mengingatkan kami kepada How to Train Your Dragon. Sememangnya babak yang menarik.
Sudah tentu setiap rancangan tidak berjalan lancar kepada keluarga itik itu. Ada sahaja masalah yang berlaku sepanjang perjalanan. Walaupun begitu, mereka telah bertemu dengan pelbagai burung dan itik lain yang membantu mereka sepanjang perjalanan. Pertemuan mereka dengan cef jahat, memberikan sedikit ketegangan kepada mood cerita serta membuatkan ikatan keluarga Mallard semakin rapat.
Memandangkan mereka tidak pernah keluar daripada kepompong mereka, melalui migrasi ini, mereka secara tidak langsung belajar sesuatu yang baharu tentang diri mereka. Bapa kepada keluarga itu, Mack merupakan seseorang yang penakut dan kini lebih berani untuk mencuba sesuatu yang baharu. Sayangnya ahli keluarga yang lain tidak menunjukkan banyak perubahan yang ketara yang watak mereka. Walaupun begitu, Dax juga kelihatan lebih matang setelah berlakunya kemalangan yang tidak diingini.
Bercerita tentang visual filem, ia sangat berwarna-warni malah membawa kita ke pelbagai persekitaran yang berbeza. Daripada tasik yang biasa, rumah terbiar yang dihuni bangau gila, langit biru yang luas dan bandar yang sibuk. Ini termasuk juga burung-burung lain yang anda akan jumpai dalam filem ini. Melihat portfolio Illumination sebelum ini, memang tidak pelik jika filem ini juga mempunyai visual yang menawan.
Lakonan suara setiap watak juga sesuatu yang wajar dipuji. Masing-masing membawa watak dengan baik. Walaupun begitu, kami begitu suka dengan persembahan oleh Carol Kane sebagai bangau gila, Erin. Meremang juga mendengar suaranya itu, ia memberikan rasa creepy pada watak dengan baik. Sungguh sesuai dengan Erin yang kelihatan seperti orang jahat walaupun dia sebenarnya baik sahaja…atau pun tidak. Tidak dilupakan juga dengan Awkwafina yang membawa watak chump, ketua samseng yang membela nasib burung merpati di bandar.
Kami perasan bahawa watak-watak manusia dalam filem ini seperti tidak bercakap langsung. Bunyi yang sering dikeluarkan hanyalah dengusan sahaja, walaupun begitu masih ada beberapa perkataan yang disebut oleh cef jahat yang muncul. Bersuara atau tidak, ia langsung tidak menjejaskan penceritaan filem ini, jadi kami tiada masalah mengenainya.
Kesimpulan
Migration merupakan sebuah filem yang menyeronokkan untuk ditonton seisi keluarga. Ianya penuh dengan jenaka dan pengembaraan yang hebat menuju ke destinasi yang dibayang-bayangkan. Ia membuatkan kami sendiri ingin keluar mengembara yang meneroka dunia baru. Jadi jangan lepaskan peluang untuk tontonnya di pawagam pada 28 Disember ini!
Untuk membaca ulasan lain daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
The Review
Migration
PROS
- Visual dan animasi yang hebat daripada Illumination
- Penceritaan yang straightforward, menyeronokkan & penuh jenaka
- Skor muzik yang seronok didengar
CONS
- Kurang perkembangan pada watak-watak lain
- Kadang-kadang penceritaannya seperti dilengah-lengahkan
Discussion about this post