Insomniac Games, studio di sebalik francais Marvel’s Spider-Man, telah mengumumkan bahawa Marvel’s Wolverine akan dilancarkan secara eksklusif untuk PlayStation 5 pada musim luruh (September hingga November) 2026.
Seperti namanya, game ini akan mengisahkan tentang Logan, disuarakan oleh pelakon Liam McIntyre (Spartacus). Para pemain akan mengawal Wolverine dalam pemburuan tanpa henti untuk membongkar rahsia masa lalunya yang gelap, dihantui oleh akibat daripada melepaskan ‘raksasa’ di dalam dirinya.

Insomniac berhasrat untuk menyajikan “fantasi Wolverine yang terunggul,” yang dibina di atas asas combat yang pantas, lancar, dan ganas. Tidak seperti aksi hayunan web Spider-Man yang akrobatik, gameplay Marvel’s Wolverine akan bersifat lebih jarak dekat, peribadi, dan brutal. Sebagai senjata hidup, Logan akan menggunakan kuku adamantiumnya yang setajam pisau dan kemarahan yang tidak terkawal untuk “mencacatkan atau mematahkan sesiapa sahaja yang menghalang laluannya,” sambil membina momentum di medan perang melalui serangan-serangan yang ganas.

Pengembaraan ini digambarkan sebagai sebuah “cerita penuh debaran,” yang membawa Logan ke lokasi-lokasi eksotik dan berbahaya. Latar tempat yang telah disahkan termasuklah negara pulau tanpa undang-undang Madripoor, belantara bersalji di Kanada, dan lorong-lorong bandar yang sempit di Tokyo – semuanya berpotensi menjadi medan pertempuran untuk aksi yang binasa.
Walaupun Wolverine sering bekerja sendirian, dia akan bertemu dengan beberapa watak yang dikenali. Mystique yang sukar dikesan dan Omega Red akan muncul, namun peranan mereka sebagai kawan atau lawan masih belum jelas. Logan juga akan berdepan dengan puak musuh yang tidak mengenal belas kasihan, termasuk askar upahan sibernetik yang dikenali sebagai Reavers. Trailer di atas juga berakhir dengan memaparkan prototaip robot ungu ikonik, yang mengusik tentang kehadiran Sentinel, si robot pemburu mutan.









Discussion about this post