Para gamer di seluruh Malaysia boleh menantikan sesuatu acara yang menarik kerana semalam Impulse Gaming telah mengumumkan penganjuran acara Midnight Launch istimewa untuk judul yang amat dinantikan, Ghost of Yōtei. Sambutan ini akan diadakan pada 1 Oktober 2025 dan berlangsung dari jam 11 malam hingga 1 pagi, memberikan peluang terawal kepada peminat untuk mendapatkan game terbaharu ini.
Bagi memastikan peminat dari pelbagai wilayah dapat turut serta, acara ini akan berlangsung serentak di empat cawangan utamanya: Johor Bahru HQ, Ipoh, KL Flagship, dan Autocity Flagship.
Acara pelancaran ini dijanjikan lebih daripada sekadar sesi pembelian, dengan tawaran pelbagai aktiviti bertema yang menarik. Para pengunjung boleh menguji ketepatan dan refleks mereka dalam “Archery Challenge” atau menyerlahkan kreativiti di stesen “Kitsune Mask Painting”, di mana mereka boleh cipta dan membawa pulang cenderahati buatan tangan. Selain itu, satu cabaran eksklusif di dalam game akan membolehkan para pemain membuktikan kemahiran mereka dalam Ghost of Yōtei pada malam pelancaran.
Impulse Gaming juga telah menyediakan ganjaran eksklusif sebagai tanda penghargaan kepada komunitinya yang setia. Setiap peminat yang membuat pra-tempahan game tersebut dan hadir ke acara akan menerima cenderahati istimewa. Di samping itu, semua pengunjung akan dimasukkan secara automatik ke dalam cabutan bertuah untuk berpeluang memenangi barangan edisi terhad, termasuk kemeja-T, beg, dan barangan koleksi lain yang diinspirasikan oleh game tersebut.
Peminat yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Ghost of Yōtei Midnight Launch digalakkan untuk melayari laman Facebook rasmi Impulse Gaming untuk butiran penuh dan maklumat terkini.









Discussion about this post