Square Enix mengumumkan bahawa Kingdom Hearts Collection [I ~ III] akan dilancarkan di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan Nintendo Switch 2 pada 8 Oktober 2026. Koleksi bundle besar ini mengumpulkan keseluruhan “Dark Seeker Saga“, membolehkan pemain mengikuti perjalanan Sora bermula dari Destiny Islands sehinggalah ke pertarungan kemuncak menentang kuasa kegelapan.
Bagi pemain yang hanya mahu mendapatkan game tertentu sahaja, Square Enix mengesahkan bahawa ketiga-tiga koleksi dalam bundle ini juga boleh dibeli secara berasingan.
Pre-order kini dibuka. Sekiranya anda ingin melihat sendiri prestasi game ini di Nintendo Switch 2 sebelum membelinya, demo percuma untuk Kingdom Hearts III + Re Mind sedia untuk dimuat turun sekarang di Nintendo eShop.
Pemain yang membeli Kingdom Hearts III + Re Mind atau bundle penuh Collection [I ~ III] juga akan menerima skin Keyblade eksklusif mengikut platform masing-masing:
- Nintendo Switch 2: “Long Night”
- PlayStation 5: “Midnight Blue”
- Xbox Series X|S: “Phantom Green”
- Steam: “Dead of Night”
Apa yang Terkandung dalam Koleksi Ini?
Bagi mereka yang kurang mengenali francais ini, Kingdom Hearts ialah siri aksi-RPG yang telah lama bertapak dan sangat-sangat terkenal. Siri ini menyatukan watak-watak popular Disney dan Pixar dengan watak-watak daripada siri Final Fantasy, lalu menjadi sebuah jalan cerita serba baharu oleh pengarah Tetsuya Nomura.
Berikut adalah kandungan yang ada di dalam setiap satu daripada tiga koleksi tersebut:
1. Kingdom Hearts HD 1.5 + 2.5 ReMIX

Pakej ini mengandungi empat game dan dua ringkasan jalan cerita dalam bentuk sinematik:
- Kingdom Hearts Final Mix: Game pertama yang memulakan francais ini, remastered dengan visual berdefinisi tinggi, kawalan yang dikemas kini, serta runut bunyi yang digubah semula.
- Kingdom Hearts Re:Chain of Memories: Berlatarkan sejurus selepas game pertama, sekuel ini membawa Sora, Donald, dan Goofy ke dalam sistem combat berasaskan kad di Castle Oblivion.
- Kingdom Hearts 358/2 Days (HD Remastered Cinematics): Kompilasi sinematik yang memfokuskan kepada Roxas, watak yang mempunyai kaitan rapat dengan Sora, diceritakan menerusi cutscene berdefinisi tinggi.
- Kingdom Hearts II Final Mix: Game bernombor kedua, membawa trio utama mengembara merentasi dunia Disney seperti dunia Tron dan juga The Nightmare Before Christmas.
- Kingdom Hearts Birth by Sleep Final Mix: Sebuah prekuel yang mengimbau kisah lampau memfokuskan kepada tiga pemakai Keyblade berbeza (Terra, Ventus, dan Aqua) sebelum perjalanan Sora bermula.
- Kingdom Hearts Re:Coded (HD Remastered Cinematics): Filem sinematik yang mengikuti versi digital Sora dalam usahanya membaiki simulasi komputer yang telah rosak.
2. Kingdom Hearts HD 2.8 Final Chapter Prologue

Koleksi ini menjadi persediaan sebelum bermulanya klimaks saga ini:
- Kingdom Hearts Dream Drop Distance HD: Sora dan Riku menduduki peperiksaan Mark of Mastery dalam satu pengembaraan di alam mimpi.
- Kingdom Hearts 0.2 Birth by Sleep -A fragmentary passage-: Sebuah game pendek yang dibangunkan khusus untuk koleksi ini, mengisahkan tentang perjuangan Aqua untuk bertahan hidup di Realm of Darkness. Kisah ini membawa terus kepada permulaan game utama ketiga.
- Kingdom Hearts χ Back Cover (movie): Filem berdefinisi tinggi yang meneroka sejarah purba para Keyblade Master.
3. Kingdom Hearts III + Re Mind

Babak terakhir ini membawa Dark Seeker Saga ke kemuncaknya. Sora mengembara bersama Woody, Buzz, Rapunzel, Baymax, dan ramai lagi untuk menyelamatkan dunia daripada kegelapan. Expansion Re Mind yang disertakan sekali menambah pertarungan bos yang sangat mencabar, mod foto, serta babak cerita tambahan yang menjelaskan pengakhiran game ini.
![Kingdom Hearts Collection [I ~ III] – Bundle Lengkap Bakal Tuju Ke PS5, Xbox Series X|S & Nintendo Switch 2!](https://cdn.gamersantai.com/2026/06/Kingdom-Hearts-Collection-I-III_FI-750x375.jpg)








Discussion about this post