Sejak mencetuskan fenomena dalam industri manga pada akhir tahun 2024, manga Kagurabachi hasil karya Takeru Hokazono kini secara rasminya telah mengakhiri “Part 1” bagi naratifnya.
Berita ini disajikan dalam bab 112. Selain menjadi pengakhiran kepada story arc yang paling mendebarkan setakat ini, bab tersebut mengesahkan bahawa bab 112 adalah “titik noktah” bagi “Part 1”.
Selalunya berita seperti ini ditemani oleh tempoh rehat yang panjang, tetapi berita baik buat komuniti; anda tidak perlu menunggu lama atau berdepan dengan tempoh hiatus yang menyeksakan. Shueisha memberi jaminan bahawa “Part 2” akan diterbitkan serta-merta dalam edisi Weekly Shonen Jump seterusnya pada minggu ini.
Bagi yang ingin tahu apa yang terjadi dalam Part 1, berikut adalah ringkasan (mengandungi spoiler):
Kisahnya berpusat pada Chihiro Rokuhira, seorang pemuda yang asalnya menjalani kehidupan tenang di bawah bimbingan bapanya, seorang tukang besi legenda. Namun, dunianya hancur sekelip mata selepas bapanya dibunuh dengan kejam oleh sekumpulan sorcerer elit yang dikenali sebagai Hishaku.
Kumpulan tersebut turut merampas enam bilah Enchanted Blade yang memiliki kuasa luar biasa.

Pedang-pedang ini asalnya ditempa dengan tujuan untuk menamatkan sebuah perang besar.
Namun, di bawah kawalan Hishaku, senjata-senjata ini kini mengancam untuk mengheret negara kembali huru-hara. Demi menuntut bela dan menjaga legasi bapanya, Chihiro tampil membawa pedang ketujuh yang selama ini menjadi rahsia, iaitu Enten.

Perjalanannya meredah dunia gelap dan organisasi jenayah memaksa Chihiro berhadapan dengan watak-watak licik seperti pengedar senjata, Sojo, serta Sazanami Clan yang merupakan dalang di sebalik lelongan bawah tanah pedang-pedang curi tersebut.

Sepanjang fasa pertama, kita dapat melihat evolusi Chihiro daripada seorang pemuda yang hanya mahu membalas dendam kepada seorang pelindung. Walaupun berjaya merampas semula beberapa bilah pedang selepas beberapa pertarungan yang menguji ketahanan fizikal dan mentalnya, kemenangan Chihiro masih pahit.
Kuasa dunia kini telah beralih, dan Chihiro kini bersiap sedia untuk menghadapi konflik yang jauh lebih besar menentang pengaruh sebenar Hishaku dalam Part 2 nanti.









Discussion about this post