Kami tahu, mesti ramai antara anda yang suka tengok anime. Mesti ada beberapa perkataan Jepun yang anda selalu dengar apabila menonton anime, betul tidak? Tetapi kalau tidak tahu maksudnya, masalah juga. Jom kami kongsikan beberapa perkataan Jepun yang anda selalu dengari dalam anime!
Tanpa melengahkan masa lagi, ini dia ayat-ayat yang sering didengari dalam manga/ anime!
Daijoubu
Perkataan ini memang anda yang selalu dengar, tidak kiralah dalam anime, game mahupun drama. Daijoubu (だいじょうぶ ) dalam bahasa mudahnya ialah “OK” ataupun “baik”. Kalau dalam anime shounen, setiap kali watak diserang, mereka pasti menjawab bahawa mereka “daijoubu”.
Sugoi
Kalau ada sesuatu yang hebat berlaku, mesti ada sahaja watak yang menyebut perkataan ini. Sugoi (すごい) ini bermaksud hebat. Kadang-kadang perkataan ini juga digunakan sebagai reaksi “Wow”.
Oniisan – Oneesan – Imouto – Otouto
Ketiga-tiga perkataan ini semuanya berkaitan dengan hubungan kekeluargaan. Tetapi Oniisan dan Oneesan juga digunakan untuk seseorang yang lebih tua. Oniisan (おにいさん) bermaksud abang manakala Oneesan (おねえさん) pula bermaksud kakak.
Manakala imouto (いもおと) pula bermaksud adik perempuan dan otouto (おとうと) bermaksud adik lelaki.
Tomodachi – Nakama
Perkataan ini memang cukup popular, lebih-lebih lagi dalam anime seperti One Piece dan Naruto. Tidak dilupakan juga dengan siri Fairy Tail yang terkenal dengan plot armor “nakama power”. Kalau anda ingin tahu, tomodachi (ともだち) dan nakama (なかま) ini bermaksud sahabat atau kawan. Rasanya semua sudah tahu adegan mana yang selalu gunakan perkataan ini.
Doki Doki
Kalau anda pernah layan anime “K-On!” mesti akan dengar perkataan ini dalam lagu ikonik mereka “Fuwa-fuwa time”. Untuk pengetahuan anda, doki doki (ドキドキ) sebenarnya cara penyampaian orang Jepun untuk bunyi degupan jantung. Ia boleh digunakan dalam pelbagai jenis situasi. Contohnya dalam keadaan panik, cemas, gembira mahupun berdebar.
Gomennasai
Sudah buat salah mestilah kena minta maaf. Dalam anime, setiap kali watak bergaduh, mesti mereka akan berbaik semula. Waktu inilah anda akan mendengar perkataan gomennasai (ごめんなさい). Perkataan itu sendiri membawa maksud maaf. Gomen ( ごめん ) juga membawa maksud yang sama tetapi dengan perkataan yang lebih ringkas dan tidak formal.
Oishii – Umai
Rasanya anda juga perah nampak teh berjenama “Oishii” di kedai-kedai. Kalau anda ingin tahu, Oishii (おいしい) atau Umai (うまい), maksudnya sedap. Jadi kalau dengar watak anime kata oishii lepas dia makan, maknanya sedaplah makanan atau minuman tersebut.
Urusai
Bayangkan tengah bertengkar antara satu sama lain, tiba-tiba satu jeritan “urusai!” keluar. Anda mesti jumpa adegan macam itu dalam anime. Senang cerita, urusai (うるさい) bermaksud “Senyaplah!” dalam beberapa situasi. Ia juga boleh membawa maksud menjengkelkan.
Yamete
Satu lagi perkataan yang anda akan dengar semasa menonton anime. Yamete (やめて) maksudnya “berhenti”. Anda juga boleh menyebutnya dengan lebih sopan dengan menambahkan “- kudasai” di belakang perkataan tersebut.
Ini sahaja yang kami boleh kongsikan kepada anda. Ayat apa lagi yang anda selalu dengar dalam anime selain perkataan di atas? Boleh kongsikan kepada kami di ruangan komen!
@gamersantaimy
Discussion about this post