Selepas hampir 15 tahun sejak pelancaran asal, Tales of Graces f kembali sebagai edisi remastered, membolehkan peminat baru dan lama menikmati semula salah satu siri kegemaran dalam francais Tales.
Kami baru-baru ini berpeluang bertemu dengan Yuki Ishikawa, Produser Tales of Graces f Remastered, dan Yusuke Tomizawa, Produser Umum bagi siri Tales, untuk membincangkan motivasi di sebalik remaster ini, ciri unik yang boleh diharapkan oleh peminat, serta bagaimana edisi remastered ini memberi impak kepada masa depan francais.
Keputusan untuk Remaster Berbanding Remake
Yusuke Tomizawa memulakan temu ramah dengan menjelaskan mengapa Tales of Graces f kembali sebagai remaster dan bukan remake penuh. Bagi pasukan, fokusnya adalah pada kelajuan dan keaslian, dengan tujuan membawa klasik ini ke platform moden tanpa pembangunan yang panjang. Tomizawa menjelaskan.
“Alasan kami memilih remaster adalah kerana kami ingin membawa game ini dengan cepat serta tepat ke platform moden.”
Beliau menambah bahawa remake penuh akan memakan lebih banyak masa, dan mereka mahu peminat dapat merasai semula game ini dengan pantas, tanpa perubahan besar pada pengalaman asal.
Dengan begitu banyak tajuk yang diminati dalam siri Tales, ramai tertanya-tanya mengapa pasukan memilih Graces f untuk remaster. Tomizawa menyatakan bahawa Graces f menonjol baik dari segi kualiti grafik dan peranannya dalam sejarah siri ini.
“Dari semua siri Tales, kami memilih Tales of Graces f demi memastikan kualiti,” katanya, sambil menekankan bahawa grafik dan UI game ini sesuai untuk dikemas kini dan dipelihara. Beliau juga berkongsi bahawa permintaan berterusan daripada peminat untuk remaster Graces f, terutamanya semasa acara ulang tahun ke-10 di Jepun, menjadikan keputusan ini tepat.
Memodenkan Pengalaman Sambil Menghormati Masa Lalu
Apabila mengimbas semula tentang game ini, ‘accessibility’ adalah keutamaan pasukan. Yuki Ishikawa berkongsi bahawa mereka mahu membantu pemain baru menyesuaikan diri dengan dunia RPG kompleks dalam Tales of Graces f. Beliau menyebut beberapa ciri utama yang direka untuk memudahkan pemain.
“Terdapat dua fungsi baru yang memenuhi keperluan pengguna baru… Satu adalah pilihan untuk memuat turun semua kandungan tambahan dari versi asal. Satu lagi adalah penunjuk event seterusnya, yang membantu pemain mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk maju.”
Ciri ini, bersama pilihan untuk melihat sama ada acara sampingan atau musuh penting berada berhampiran, menjadikan gameplay lebih mesra pemain, terutama bagi mereka yang kurang familiar dengan kerumitan siri Tales.
Penambahan lain untuk meningkatkan aksesibiliti ialah Grade Shop, yang kini tersedia dari awal game, bukannya di pertengahan jalan. Ciri ini memberi pemain kebebasan untuk menyesuaikan pengalaman mereka dengan membuka skil dan item menggunakan ‘grade point’ yang juga sudah diberikan. Ishikawa menyatakan:
“Pemain boleh melaraskan kesukaran dengan mengawal berapa banyak experience point yang mereka peroleh… memberikan kelonggaran kepada pemain veteran dan baru untuk menyesuaikan gameplay mereka.”
Pasukan dengan berhati-hati menyeimbangkan game untuk menampung ciri ini, membolehkan pemain memilih bila untuk menggunakan pilihan dari Grade Shop tanpa ia memberi kesan yang berlebihan pada pengalaman.
Pilihan penggantian yang fleksibel membolehkan pemain melaraskan ‘experience point’ mereka—mereka boleh menggandakan, menjadikannya lima kali ganda, atau bahkan mematikan sepenuhnya. Fleksibiliti ini melangkaui experience point: beberapa statistik utama, seperti HP masih kekal sama, manakala elemen lain boleh dihidupkan atau dimatikan mengikut kehendak.
Remaster Tales of Graces f juga mengambil langkah untuk memastikan ‘accessibility’ di seluruh dunia, menggabungkan pelbagai kandungan yang boleh dimuat turun termasuk kostum ikonik dari siri asal serta ciri yang lama ditunggu-tunggu oleh peminat: audio Inggeris untuk semua skit, termasuk yang sebelum ini hanya tersedia dalam versi Jepun. Dengan kerjasama subsidiari Bandai Namco di seluruh dunia, pasukan pembangunan memastikan ciri tambahan ini boleh dinikmati oleh pemain di pelbagai rantau.
Ciri baru lain, dan salah satu kegemaran peribadi pasukan, adalah penyertaan sari kata untuk adegan selepas pertarungan. Game asal termasuk dialog dinamik antara watak, tetapi interaksi ini sukar diikuti tanpa terjemahan. Dengan remaster ini, mereka telah menambah sari kata dalam pelbagai bahasa, membolehkan pemain di seluruh dunia menghargai sepenuhnya dan memahami interaksi ini.
Bagi muzik dalam remaster, Ishikawa mendedahkan satu ciri baru yang menarik.
“Di bawah pilihan Digital Deluxe, pemain boleh mengakses ciri Battle Background Music yang membolehkan mereka menambah lagu-lagu dari game Tales lain ke dalam Tales of Graces f. Ini bermakna anda boleh menikmati muzik yang dikenali semasa adegan pertempuran, memperkayakan pengalaman gameplay.”
Menjaga Nostalgia
Peminat sering memuji sistem pertempuran, yang dianggap salah satu yang terbaik dalam siri Tales. Ishikawa menerangkan lebih lanjut.
“Dalam game lain, pertarungan mungkin terdiri daripada tiga aksi mudah, tetapi dalam Tales of Graces f, pemain boleh menekan butang secara berturut-turut untuk mencapai serangan kompleks atau serangan tambahan. Dengan menggabungkan ini dengan arahan joystick, kami membolehkan pemain melakukan tindakan yang lancar dan memuaskan. Selain itu, sistem pertarungan membolehkan pemain mengelak serangan lawan dengan lancar sambil membolehkan ahli pasukan lain pulih dan mencipta peluang untuk serangan balas.”
Bagi pemain baru yang mengalami Tales of Graces f buat kali pertama, Ishikawa mengesyorkan memberi tumpuan kepada dua aspek utama: ekspresi emosi watak yang realistik dan kedalaman sistem pertarungan berasaskan aksi. Pasukan memberikan perhatian besar untuk memastikan elemen-elemen ini bukan sahaja tetap setia kepada asal tetapi terasa lebih menarik dalam remaster.
Yuki Ishikawa menerangkan proses pemikiran, menyatakan bahawa pasukan memulakan dengan menilai ciri dari game asal, membincangkan elemen gameplay yang paling berjaya dan penambahan yang boleh meningkatkan kepuasan pemain, terutamanya berkenaan dengan pertarungan. Mereka juga menganalisis standard dalam RPG dan menyesuaikannya agar sesuai dengan dunia Graces f, memastikan ciri-ciri ini unik untuk sebuah game Tales.
Memastikan piawaian kualiti tinggi, terutamanya untuk PC, turut adalah matlamat utama pasukan pembangunan. Remaster ini menyokong gameplay pada 120 FPS dan termasuk fungsi untuk kawalan mouse dan keyboard. Matlamatnya, menurut Ishikawa, adalah untuk memastikan bahawa Tales of Graces f mencapai kualiti yang sama seperti tajuk baru-baru, seperti Tales of Arise, sambil mengekalkan daya tarikan asal yang digemari oleh peminat.
Cabaran Semasa Pembangunan
Membawa Tales of Graces f ke konsol moden bukanlah tanpa cabaran. Membincangkan kerumitan pembangunan, Ishikawa menyatakan bahawa pasukan menghadapi cabaran yang besar dalam proses remaster.
“Dari awal, kami memikirkan segala tetapan, pilihan, dan ciri untuk mengelakkan komplikasi yang tidak perlu di kemudian hari. Perbincangan kami tertumpu pada apa yang membuat tajuk asal ini menyeronokkan dan bagaimana kami boleh meningkatkan pengalaman itu.”
Membawa Tales of Graces f dari PS3 ke platform moden juga menimbulkan pelbagai isu, terutamanya kerana reka bentuk asalnya dalam enjin milik Namco. Ishikawa menjelaskan bahawa menampung pelbagai platform memerlukan ujian dan pengoptimuman berkala. Keserasian bahasa juga memperkenalkan masalah yang tidak dijangka: menyesuaikan gelembung teks untuk memuatkan pelbagai bahasa kadangkala menyebabkan teks bertindih dengan muka watak.
“Proses porting sememangnya sukar,” jelasnya. “Kami perlu menyesuaikan banyak platform game, yang merupakan satu cabaran. Tambahan pula, game asal dibina ketika era Namco menggunakan enjin asal mereka. Ini bermakna proses porting sahaja tidak mencukupi; kami perlu mengoptimumkan dan menguji secara berkala.”
Ishikawa menjelaskan.
“Sebagai contoh, apabila watak bertutur dalam bahasa berbeza, saiz gelembung dialog mungkin perlu dilaraskan. Jika sesuatu bahasa memerlukan lebih ruang untuk dialog, ini boleh mengaburkan wajah watak, yang mengganggu pengalaman pengguna. Pasukan kami perlu kembali dan menyesuaikan format supaya gelembung dialog kelihatan menarik dan berfungsi dengan berkesan.”
Dalam menghasilkan edisi remaster ini, pasukan bertekad untuk mengekalkan sebanyak mungkin kandungan asal, bukan sahaja atas sebab nostalgia tetapi juga untuk menghargai pengalaman peminat. Walaupun kebanyakan elemen telah dipelihara, beberapa ciri terpaksa dihapuskan disebabkan kekangan teknikal.
Ishikawa menjelaskan.
“Arah umum game ini adalah untuk memasukkan segala-galanya dari versi asal. Kami mahu memastikan apa sahaja yang peminat nikmati dalam judul sebelumnya dapat disimpan di sini. Walau bagaimanapun, beberapa kostum DLC tidak disertakan kerana perjanjian kolaborasi yang sudah tamat tempoh. Selain itu, game asal mempunyai online ranking berdasarkan ciri PlayStation 3, yang tidak dapat direalisasikan dengan teknologi hari ini.”
Menyiapkan Diri Untuk Ulang Tahun Ke-30
Dalam konteks ulang tahun ke-30 Tales akan datang, remaster Tales of Graces f menandakan komitmen baru untuk mengekalkan legasi siri ini. Yusuke Tomizawa menekankan bahawa judul terkini, seperti Tales of Arise dan sekuelnya, Beyond the Dawn, menunjukkan dedikasi pasukan terhadap konsistensi dalam keluaran.
Namun, beliau juga mengakui bahawa menghasilkan remaster semakin rumit. Remaster Graces f ini berfungsi sebagai titik permulaan untuk remaster berkualiti tinggi pada masa depan, menandakan komitmen kepada lebih banyak keluaran yang dapat dinikmati peminat seiring pertumbuhan francais ini.
Apabila ditanya tentang kemungkinan remaster untuk judul lain dalam siri Tales, Ishikawa menyuarakan rasa cintanya terhadap Abyss dan menyatakan keinginan untuk melihat remaster bagi klasik lain seperti Legendia, Phantasia, Eternia, dan Xillia.
“Ia adalah detik yang menggembirakan bagi pasukan untuk dapat menghasilkan remaster. Terdapat banyak karya yang kami harapkan dan nantikan. Kami tidak boleh menyatakan yang mana akan datang selepas ini, tetapi ini bukanlah pengakhirannya, jadi saya harap peminat akan terus menantikan.”
Memandang Ke Hadapan
Temu ramah diakhiri dengan ucapan terima kasih oleh Ishikawa kepada peminat, baik yang baru mahupun lama. Sebagai seorang pelajar sekolah menengah, Ishikawa sendiri pernah bermain Graces f dan kini merasa puas hati dapat menghasilkan versi remastered untuk generasi pemain yang seterusnya.
Sebagai penutup, Ishikawa menyampaikan ucapan terima kasih kepada peminat:
“Terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bagi. Sebagai seorang pembangun dan peminat besar siri Tales, saya amat menghargai semua yang bermain game ini. Tales of Graces f asal dikeluarkan pada 2009, dan pada masa itu, saya adalah seorang pelajar sekolah menengah yang bermain buat pertama kalinya. Kini, saya berbesar hati dapat menyumbang kepada francais ini dan menyediakan pengalaman yang bermakna bagi peminat di seluruh dunia.”
Beliau menambah:
“Terima kasih kepada para peminat atas sokongan berterusan. Projek ini adalah untuk anda, dan saya harap anda menikmati setiap saat dalam remaster ini.”
Tales of Graces f Remastered akan dilancarkan untuk PS5, Xbox Series X|S, PS4, Xbox One, Nintendo Switch, dan PC (Steam) pada 17 Januari 2025. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post