Dalam satu sesi temu bual online baru-baru ini bersama Tomohiko Sho, Produser Dynasty Warriors:Origins, kami berpeluang menyelami dunia menarik di sebalik pembikinan francais ikonik ini.
Dengan pengalaman luas dalam mencipta pertempuran penuh aksi dan naratif yang memikat hati peminat, Tomohiko Sho berkongsi pandangan tentang proses pembangunan, cabaran yang ditempuhi, serta rancangan menarik untuk masa depan game ini.
Dari perbincangan mengenai evolusi mekanik gameplay hingga inspirasi kreatif di sebalik reka bentuk watak, temu bual ini menawarkan perspektif unik tentang seni dan visi yang menghidupkan Dynasty Warriors: Origins.
Langkah Berani Kepada Reka Bentuk Gameplay
Dynasty Warriors: Origins membawa perubahan besar dengan mengambil pendekatan baru yang berani. Jika sebelum ini siri ini memfokuskan kepada kisah pelbagai jeneral, kali ini ia menumpukan kepada perjalanan seorang protagonis sepanjang permainan. Transformasi ini tidak pernah dilakukan sebelum ini dan telah mencetuskan perdebatan hangat di kalangan pasukan pembangunan.
Kredit: Koei Tecmo
Sho menjelaskan:
“Cadangan untuk pendekatan baru ini memang mencetuskan perpecahan dan kontroversi dalam syarikat. Namun, sebagai pasukan pembangunan, kami berusaha menggunakan teknologi moden untuk memberikan pengalaman Dynasty Warriors terbaik sambil kekal relevan dalam pasaran global yang kompetitif.”
Pendekatan lama yang hanya menambah jumlah jeneral tidak lagi sesuai dengan perkembangan industri.
Sho menjelaskan, “Menambah jeneral secara berterusan, merangkumi sejarah panjang dari Yellow Turban Rebellion hingga penyatuan Jin Dynasty, tidak mampu menangkap keunikan dan daya tarikan sebenar cerita Three Kingdoms. Ia juga sukar untuk memberikan pengalaman aksi yang benar-benar memuaskan.”
Kredit: Koei Tecmo
Setelah melalui banyak perbincangan dan meyakinkan pihak eksekutif syarikat, pasukan pembangunan akhirnya bersatu dalam menyokong arah baru ini, dengan fokus kepada mencipta game aksi yang lebih terarah dan penuh impak.
Perubahan Besar pada Watak
Kredit: Koei Tecmo
Selepas bermain Dynasty Warriors: Origins, perubahan besar pada personaliti jeneral jelas kelihatan. Jika sebelum ini watak-watak sering digambarkan dengan sifat yang berlebihan, kali ini mereka lebih realistik, seperti tokoh dari drama sejarah. Sho menjelaskan:
“Terdapat dua sebab utama untuk perubahan ini. Pertama, peningkatan prestasi konsol rumah. Pada masa lalu, disebabkan kekangan perkakasan, kami sering menggunakan ekspresi yang berlebihan, malah gaya anime, untuk menyerlahkan watak. Namun, dengan teknologi konsol moden, kami kini dapat menghasilkan watak dengan ekspresi yang jauh lebih terperinci.”
Faktor kedua adalah keinginan untuk menggambarkan daya tarikan sejarah Three Kingdoms dengan lebih baik kepada pemain di seluruh dunia. Sho berkata:
“Kali ini, kami memberi tumpuan khas kepada dua watak utama, Zhang Jiao dan Dong Zhuo. Zhang Jiao, sebagai pemimpin pemberontakan Yellow Turban, menandakan permulaan kekacauan dalam tempoh Three Kingdoms, manakala Dong Zhuo adalah tokoh penting dalam sejarah ini. Jika kami terus menggunakan penggambaran yang berlebihan dan bersifat komedi, kedalaman dan keseriusan cerita akan hilang. Oleh itu, kami menggambarkan mereka dengan lebih tepat dari sudut sejarah, menjadikan naratif lebih mengasyikkan dan menghormati latar sejarah.”
Kredit: Koei Tecmo
Beberapa watak, termasuk Zhang Jiao, Dong Zhuo, serta tokoh utama seperti Liu Bei, Sun Jian, dan Cao Cao, telah mengalami perubahan ketara dari segi penampilan.
Sho menjelaskan, “Salah satu matlamat utama kami kali ini ialah meneroka aspek cerita dan watak dalam Three Kingdoms yang tidak begitu diterokai dalam siri sebelumnya. Sebelum ini, skop permainan meliputi tempoh sejarah lebih 50 tahun, tetapi penampilan dan suara watak kekal sama sepanjang tempoh tersebut, yang kurang realistik.”
Sho menambah:
“Kali ini, kami memendekkan garis masa daripada Yellow Turban Rebellion hingga Battle of Red Cliffs, dengan fokus pada fasa awal cerita Three Kingdoms. Pada masa ini, Liu Bei, Cao Cao, Sun Jian, dan yang lain masih muda, penuh semangat, dan belum sepenuhnya membentuk cita-cita mereka. Mereka sedang berada dalam perjalanan mengejar matlamat dan membentuk keperibadian masing-masing.”
Untuk mencerminkan hal ini, pasukan pembangunan menyesuaikan penampilan dan keperibadian watak agar selaras dengan era tersebut.
Kredit: Koei Tecmo
Sho turut berkongsi bahawa cabaran terbesar dalam reka bentuk watak ialah Zhang Jiao dan Dong Zhuo. “Kedua-dua watak ini hampir direka semula sepenuhnya, meninggalkan gambaran lama mereka.”
“Perubahan besar ini memerlukan masa dan usaha yang banyak, bukan sahaja untuk mengubah penampilan tetapi juga mentakrifkan semula keperibadian dan peranan mereka, supaya sesuai dengan struktur naratif baharu dan suasana sejarah.”
Sho menambah, “Walaupun perubahan pada Liu Bei tidak sebesar Zhang Jiao dan Dong Zhuo, ia tetap mencabar. Dalam garis masa permainan ini, Liu Bei digambarkan sebagai pemuda yang masih ragu-ragu dengan matlamat masa depannya, jauh berbeza daripada Liu Bei yang matang dan tenang dalam game terdahulu.”
Pasukan pembangunan dengan teliti menyesuaikan penampilannya untuk mencerminkan keadaan mental Liu Bei pada tahap ini dalam hidupnya.
Kredit: Koei Tecmo
Watak-watak lain sebahagian besarnya mengekalkan reka bentuk asal mereka dari game dahulu, dengan hanya beberapa penyesuaian kecil pada butiran, menjadikan perubahan mereka kurang ketara.
Sistem Medan Perang yang Lebih Strategik
Kredit: Koei Tecmo
Dalam Dynasty Warriors: Origins, pemain yang mencuba demo mendapati bahawa sistem medan perangnya mempunyai banyak persamaan dengan Dynasty Warriors 5, terutamanya pada tahap kesukaran yang lebih tinggi, di mana melindungi jeneral daripada terbunuh menjadi sesuatu yang amat penting. Sho menjelaskan:
“Dalam game ini, peningkatan kesukaran bukan hanya terletak pada aspek aksi, seperti kriteria penilaian yang lebih ketat, tetapi juga dalam keseluruhan cabaran pertempuran, termasuk risiko jeneral terkorban, seperti yang telah disedari oleh ramai pemain.”
Sho menegaskan bahawa keseimbangan ini tidak akan diubah. “Dynasty Warriors bukan sekadar game aksi biasa, tetapi game aksi yang turut menggabungkan unsur strategi dan taktik.”
Kredit: Koei Tecmo
Beliau menambah, “Pemain perlu memberi perhatian kepada faktor seperti moral dan semangat bertempur. Mereka tidak boleh hanya fokus kepada pertempuran kecil, sebaliknya harus memahami gambaran keseluruhan medan perang dan membuat keputusan berdasarkan situasi yang lebih luas.”
Sebagai komander, pemain perlu menyesuaikan tindakan mereka, membuat keputusan pantas, dan mengurus pertempuran dengan cekap, sekali gus mengurangkan risiko jeneral terbunuh walaupun dalam tahap kesukaran yang lebih tinggi.
Kredit: Koei Tecmo
Dalam Dynasty Warriors: Origins, memastikan semua jeneral kekal hidup sepanjang satu peringkat kempen tidak memberikan ganjaran khas seperti gelaran atau pencapaian tertentu. Sho menjelaskan, “Tiada ganjaran atau pencapaian khusus diberikan untuk mengekalkan semua jeneral hidup.”
“Namun, dalam New Game+, terdapat beberapa medan perang yang akan mencetuskan tugas tertentu, dan menyelesaikannya boleh memberikan ganjaran istimewa seperti senjata atau kuda berkualiti tinggi.”
Sho menambah:
“Walaupun pemain boleh berusaha untuk memastikan semua jeneral selamat, tiada ganjaran tambahan diberikan. Kami menggalakkan pemain menjadikannya sebagai cabaran peribadi untuk meningkatkan pengalaman gaming mereka.”
Sho turut berkongsi pandangannya mengenai sistem pertempuran, “Pada tahap kesukaran normal, pertahanan dan mengelak serangan sama-sama efektif jika digunakan dengan betul.”
“Namun, sesetengah pemain merasakan bahawa mengelak lebih berkuasa kerana ia memerlukan masa yang tepat untuk menghindari serangan, menjadikannya sedikit lebih mencabar. Oleh itu, kami telah memperkukuh mekanik mengelak serangan.”
Kredit: Koei Tecmo
Beliau menambah:
“Dalam mod easy, pemain boleh bergantung kepada pertahanan, tetapi pada tahap kesukaran normal, pertahanan tidak semestinya mampu menyekat semua serangan, jadi mengelak menjadi lebih penting. Sistem ini membolehkan pemain baharu menikmati game aksi sambil memberikan cabaran yang lebih seimbang kepada pemain berpengalaman.”
Fokus Pada Battle of Red Cliffs
Sho memilih Battle of Red Cliffs sebagai fokus utama dalam Dynasty Warriors: Origins kerana ia merupakan titik penting dalam sejarah Three Kingdoms.
“Pertempuran ini memainkan peranan besar, dan saya mahu menjadikannya sebagai kemuncak cerita untuk menarik perhatian pemain, terutama mereka yang kurang tahu dengan kisah ini. Ia adalah antara pertempuran paling terkenal, menjadikannya latar yang sempurna untuk memperkenalkan pemain baru kepada dunia Dynasty Warriors.”
Kredit: Koei Tecmo
Ketika ditanya mengenai kemungkinan kesinambungan game ini, Sho menjelaskan:
“Kami sememangnya berharap dapat menghasilkan lebih banyak karya, tetapi segalanya bergantung kepada penerimaan pasaran. Jika Dynasty Warriors: Origins berjaya, kami akan memiliki sumber untuk membangunkan sekuel.”
Pada mulanya, Sho merancang untuk memusatkan cerita Dynasty Warriors: Origins pada Battle of Hulao Gate. Namun, beliau mengakui:
“Sebagai peminat Three Kingdoms, saya mahu menumpukan game ini pada pertempuran tersebut sahaja. Tetapi sebagai penerbit, saya sedar bahawa menghadkan cerita kepada Hulao Gate akan mengehadkan jumlah watak yang boleh dimainkan serta mengurangkan pilihan pemain.”
“Selain itu, Battle of Red Cliffs adalah antara peristiwa paling ikonik dalam sejarah Three Kingdoms. Dengan meluaskan garis masa, kami dapat menampilkan lebih banyak momen bersejarah yang penting.”
Kredit: Koei Tecmo
Sho turut menekankan kepentingan memasukkan protagonis original ke dalam naratif yang lebih luas, “Dengan menyertakan Battle of Red Cliffs, kami dapat membenamkan protagonis ke dalam keseluruhan kisah Three Kingdoms. Jika hanya tertumpu pada Hulao Gate, ini akan menyukarkan kami untuk mencapai tahap penceritaan yang lebih mendalam.”
Cabaran Berhadapan dengan Lu Bu
Kredit: Koei Tecmo
Sho menjawab kebimbangan mengenai kesukaran menentang Lu Bu dalam demo:
“Dalam versi ini, pemain tidak perlu mengalahkan Lu Bu untuk menyelesaikan peringkat. Kehadirannya lebih kepada Easter egg, menawarkan cabaran tambahan. Mungkin saya sepatutnya menambah satu baris yang menjelaskan, ‘Anda tidak perlu mengalahkan Lu Bu!’”
Beliau kemudian menjelaskan niatnya. “Dalam game sebelum ini, Lu Bu sentiasa digambarkan sebagai watak yang sangat kuat, sering menjadi musuh paling sukar dalam setiap bab. Saya mahu mengembalikan imej menggerunkan itu dalam Dynasty Warriors: Origins, supaya pemain lama kembali merasakan cabaran berhadapan dengan Lu Bu yang hampir mustahil untuk ditewaskan.”
Kredit: Koei Tecmo
Sho turut berkongsi pengalamannya sendiri menentang Lu Bu:
“Jangan pandang rendah pada saya! Saya dikenali sebagai salah seorang pemain aksi terbaik di Koei Tecmo. Kali pertama saya mencuba demo ini, saya tewas kepada Lu Bu dalam percubaan pertama. Tetapi pada percubaan kedua, saya berjaya menewaskannya. Saya juga mencabar diri saya pada tahap kesukaran lebih tinggi, kalah lagi, tetapi akhirnya berjaya selepas percubaan kedua.”
Beliau menambah, “Lu Bu bukan direka untuk menjadi bos yang mustahil ditewaskan. Dalam game ini, anda hanya perlu mengalahkannya dalam jalan cerita Cao Cao dan Liu Bei. Kami tidak menjadikannya sebagai musuh yang tidak terkalahkan.”
“Jika pemain menetapkan kesukaran ke tahap paling mudah dan memberi tumpuan kepada pertahanan, Lu Bu sebenarnya tidak akan memberikan terlalu banyak kerosakan. Ia lebih terkawal daripada yang disangka.”
Kata-Kata Akhir
Kredit: Koei Tecmo
Sho menjelaskan:
“Rekaan protagonis dalam Dynasty Warriors: Origins berbeza daripada watak lain kerana dia adalah seorang individu tanpa nama yang mengalami amnesia, bertindak sebagai avatar bagi pemain moden dalam dunia Three Kingdoms. Kami mahu penampilannya mencerminkan estetik moden tetapi tetap serasi dengan latar sejarah.”
Beliau menambah:
“Kostumnya direka tanpa warna yang dikaitkan dengan mana-mana puak untuk mengelakkan kekeliruan, kerana pada awal permainan, dia tidak terikat dengan mana-mana pihak. Dari segi pelakon suara, kami memilih Jun Fukuyama kerana gaya lakonannya sepadan dengan visi kami untuk watak ini.”
Kredit: Koei Tecmo
Sho turut berkongsi bahawa pada mulanya, beliau membayangkan protagonis yang lebih matang dan berkarisma. Namun, beliau tidak begitu menyukai reka bentuk awalnya.
Pada mulanya, beliau membayangkan seorang watak yang lebih tenang dan berusia, tetapi selepas perbincangan dengan pasukan—terutamanya pasukan CG—beliau akhirnya bersetuju dengan rekaan semasa, menyedari bahawa ia lebih sesuai dengan dunia permainan dan akan lebih mudah diterima oleh pemain.
Melihat ke hadapan, Sho menyatakan bahawa jika ada sekuel, beliau mungkin mempertimbangkan untuk menggabungkan maklum balas pemain dengan memperkenalkan sistem penyesuaian watak, termasuk pilihan untuk bermain sebagai lelaki atau wanita.
Beliau menekankan bahawa pasukannya telah memberikan usaha terbaik dalam menghasilkan Dynasty Warriors: Origins, dan beliau yakin ia akan menjadi salah satu entri paling menarik dalam siri ini.
Kredit: Koei Tecmo
Sho berharap game ini bukan sahaja akan menarik perhatian peminat lama Three Kingdoms tetapi juga mereka yang baru mengenali kisah ini, terutamanya di Jepun dan wilayah China Besar. Beliau berharap pemain akan mendalami sejarah yang kaya ini dan terus menyokong game tersebut.
Dengan gabungan elemen klasik dan inovasi baharu, Sho tidak sabar untuk melihat bagaimana pemain akan menikmati pengalaman yang telah mereka cipta.
Game ini akan dilancarkan pada 17 Januari 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
Dahulu, saya membesar seperti mana-mana kanak riang lain iaitu bersama komik, game, dan anime (Kreko, Utopia, Gempak, cd anime yang dijual kat kedai). Mula-mula, niat nak masuk bidang animasi sebab bersemangat, tapi terus tukar ke bidang game development sewaktu lanjut pelajaran.
Entah bagaimana, saya kini berada dalam dunia journalism, dan memang jatuh cinta dengan industri ini. Banyak yang saya belajar, dan banyak yang saya ingin kongsi kepada awak semua di luar sana.
Untuk hubungi saya, sila lawat mana-mana halaman media sosial yang diberi. Terima kasih kerana membaca penulisan, dan membenarkan saya berkembang maju. Sehingga kita berjumpa lagi!
Discussion about this post