Dynasty Warriors: Origins oleh Koei Tecmo dan Omega Force menandakan satu evolusi berani untuk siri hack-and-slash yang digemari ramai, membawa pemain kembali ke era pergolakan Three Kingdoms dengan perspektif baharu.
Dengan menumpukan perhatian kepada satu protagonis dan memadatkan garis masa untuk menyerlahkan detik-detik sejarah penting, game ini menawarkan pengalaman yang lebih intim tetapi tetap sarat aksi.
Dilengkapi mekanik gameplay unik, reka bentuk watak yang diperbaharui, dan jalan cerita yang menggabungkan kisah peribadi dengan epik peperangan kuno, Origins berusaha menghidupkan semula daya tarikan legenda siri ini sambil menarik minat pemain.
Namun, adakah pendekatan ini berjaya memenuhi jangkaan atau terlalu jauh menyimpang daripada formula klasik? Mari kita teliti kekuatan dan kelemahan Dynasty Warriors: Origins.
Perjalanan Seorang Pengembara Melalui Sejarah
Dynasty Warriors: Origins membawa nafas baharu kepada naratif klasik Three Kingdoms dengan menyampaikan kisah yang lebih peribadi, tanpa mengabaikan aksi pantas yang menjadi identiti utama siri ini.
Berbeza daripada game dahulu yang lebih menekankan peristiwa sejarah, kali ini pemain diajak melihat era Three Kingdoms melalui perspektif seorang pengembara—watak yang kehilangan ingatan dan bersikap neutral pada permulaan cerita.

Di awal permainan, pemain mengawal seorang pengembara yang berpindah-pindah di antara tiga faction—Shu, Wei, dan Wu—membantu mereka tanpa terikat kepada mana-mana pihak.
Pendekatan ini membolehkan pemain memahami kerumitan setiap faction tanpa berat sebelah sehingga babak keempat, apabila keputusan besar perlu dibuat untuk menyokong satu faction dan menyertai perjuangan mereka.
Pilihan ini sangat signifikan kerana pemain mungkin terpaksa melawan faction yang pernah dibantu sebelum ini, seperti apabila memilih untuk menyokong Cao Cao dan akhirnya berhadapan dengan Shu, faction yang sebelumnya dibantu.

Kisah menjadi lebih menarik dengan pendedahan tentang masa lalu pengembara tersebut. Sepanjang perjalanan, pemain akan menemui petunjuk-petunjuk tentang kehilangan ingatan watak utama melalui interaksi, kilas balik, dan momen-momen penting dalam cerita.
Penampilan watak misteri yang muncul secara berkala menambah unsur misteri, membantu membimbing pengembara sambil memainkan peranan penting dalam naratif. Menjelang pertengahan permainan, misteri identiti dan sejarah pengembara semakin terbongkar, memberikan keinginan untuk terus menyelami cerita.

Salah satu aspek yang menyerlah adalah kandungan sampingan yang kaya, terutama peluang untuk berinteraksi dengan watak-watak dari pelbagai faction, termasuk pihak musuh. Interaksi ini membawa dimensi tambahan kepada motivasi watak utama seperti Lu Bu, menjadikan mereka lebih daripada sekadar antagonis biasa.
Sebagai contoh, sebelum menyertai Wei, pemain mungkin bertemu dengan Zhuge Liang, yang bertanyakan tentang faction yang bakal dipilih. Peminat kisah Three Kingdoms turut akan menghargai butiran kecil seperti rujukan kepada legenda “Three Visits to the Thatched Cottage,” yang menyuntik elemen keaslian kepada cerita.

Interaksi sampingan ini berjaya menggabungkan naratif baharu permainan dengan elemen klasik Three Kingdoms, memberikan gabungan yang unik antara tradisi dan penceritaan moden.
Watak-watak yang sebelum ini dilihat satu dimensi kini diberikan lebih kedalaman, menjadikan pengalaman bermain lebih dinamik, bermakna, dan memuaskan.
Pertempuran Masih Penuh Aksi, Tetapi Kini Lebih Taktikal
Sistem pertempuran Dynasty Warriors: Origins kekal pantas, dan ganas, membolehkan pemain meneroka pelbagai pendekatan taktikal. Sama ada menggabungkan serangan dalam kombo atau bereksperimen dengan kombinasi senjata berbeza, pemain diberikan kebebasan untuk menyesuaikan gaya permainan mereka.
Kelancaran pergerakan dan pertempuran menjadikan setiap pertembungan terasa dinamik, memaksa pemain untuk berfikir pantas dan menyesuaikan strategi mengikut perubahan situasi di medan perang.
Sama ada menahan gelombang musuh atau bertarung dengan bos yang kuat, sistem memastikan aksi kekal mendebarkan, menuntut refleks yang pantas serta perancangan strategik.

Kemahiran khas dan keupayaan unik memainkan peranan penting dalam mengubah arus pertempuran, memberikan peluang kepada pemain untuk keluar dari situasi sukar dengan cara yang kreatif.
Gabungan kemahiran ini dengan kesedaran situasi—seperti mematahkan serangan hendap sambil melindungi sekutu atau menumpukan perhatian pada musuh utama—menjadikan setiap pertempuran unik dan tidak mudah diduga.
Variasi ini memastikan aksi kekal segar dan mencabar, memberikan peluang kepada pemain untuk mencuba pelbagai taktik. Sama ada fokus kepada crowd control, single-target damage, atau pergerakan defensif, sistem menawarkan pelbagai fleksibiliti.

Namun, sifat pertempuran yang pantas kadangkala boleh terasa sedikit keterlaluan, terutamanya bagi pemain baharu. Dengan pelbagai musuh yang perlu dikalahkan, kombo yang perlu disambungkan, nyawa yang perlu dipantau, dan objektif yang perlu dicapai, mudah untuk merasa tertekan dalam kekacauan pertempuran.
Bagi pemain baharu, rahsianya adalah dengan memberi tumpuan kepada objektif utama yang dipaparkan di skrin dan mengutamakan matlamat tersebut. Sama ada menewaskan musuh tertentu atau melindungi sekutu, fokus kepada misi adalah kunci untuk berjaya.

Cabaran lain yang sering ditemui adalah serangan hendap atau musuh yang menyerang dari belakang, terutamanya ketika melindungi sekutu. Gagal melindungi watak atau objektif penting boleh menyebabkan misi gagal, jadi kewaspadaan amat diperlukan.
Saya sendiri pernah terlepas satu tugas kritikal dan terpaksa mengulang misi dari awal. Nasib baik, Dynasty Warriors: Origins menyediakan sistem checkpoint, membolehkan pemain memulakan semula misi dari titik tertentu tanpa perlu mengulang keseluruhan bahagian.
Sistem Customization Watak Lebih Bersifat RPG
Dynasty Warriors: Origins memperkenalkan sistem customization watak yang luas, memberikan kebebasan kepada pemain untuk menyesuaikan kebolehan dan gaya permainan watak mereka.
Salah satu elemen utama dalam sistem ini ialah “side quest”, yang menawarkan peluang besar untuk meningkatkan level watak, mendapatkan senjata rare, dan mengeratkan hubungan dengan watak-watak lain.
Sangat penting untuk menyelesaikan misi-misi sampingan ini sebelum memasuki Chapter 4, kerana pilihan untuk menyokong salah satu faction pada penghujung Chapter 3 akan mengunci anda ke dalam jalan cerita yang berbeza.
Bagi mereka yang ingin menerokai semua kandungan permainan, saya amat menyarankan untuk save kemajuan sebelum membuat keputusan tersebut.

Misi-misi sampingan ini melibatkan pelbagai tugasan, daripada melatih askar hingga menghapuskan kumpulan perompak. Selain ganjaran material, misi ini juga memberikan peluang untuk membina hubungan dengan watak-watak penting dalam game.
Dengan melabur komitmen ke dalam hubungan ini, anda dapat membuka acara khas, dan apabila tahap hubungan dengan watak tertentu meningkat, anda berpeluang menerima ganjaran seperti kemahiran senjata unik atau alat istimewa.
Game ini turut memperkenalkan tiga cabaran daripada pelbagai watak, di mana menyelesaikan cabaran tersebut akan memberikan anda Skill Point untuk meningkatkan dan membuka keupayaan baharu dalam Skill Tree watak tersebut.

Kecekapan senjata juga menjadi salah satu aspek penting dalam sistem customization. Dengan menguasai pelbagai jenis senjata, anda dapat membuka kemahiran senjata eksklusif yang menambah menggalakkan pemain untuk bereksperimen dengan gaya permainan berbeza.
Terdapat sembilan jenis senjata unik yang boleh dipilih, setiap satunya menawarkan mekanik dan gaya pertempuran tersendiri. Pilihan senjata ini merangkumi senjata klasik seperti Sword dan Spear, serta senjata unik seperti Gauntlet, Polearm, dan Crescent Blade.
Secara peribadi, saya suka menggunakan Spear, yang digabungkan dengan kemahiran tertentu untuk melontarkan musuh ke udara, diikuti dengan serangan pantas yang mampu melumpuhkan mereka buat seketika.

Kemahiran senjata ini menyediakan sistem perkembangan yang dinamik, memberikan peluang untuk menyesuaikan strategi pertempuran berdasarkan cabaran dan jenis musuh yang dihadapi. Kombinasi fleksibiliti ini dengan elemen taktikal gameplay menjadikan setiap pertempuran lebih menarik.
Pendapat
Secara keseluruhan, Dynasty Warriors: Origins membawa nafas baharu kepada siri yang digemari ramai ini dengan menggabungkan penceritaan yang lebih intim, pertempuran yang dinamik, dan elemen strategi dalam satu pengalaman memukau.
Game ini menyajikan pendekatan segar terhadap kisah epik Three Kingdoms, memberi fokus bukan hanya pada peristiwa sejarah, tetapi juga pada perjalanan peribadi seorang pengembara. Pemain diberi kebebasan untuk memilih faction yang mereka sokong dan membentuk naratif mengikut keputusan mereka.

Gabungan penceritaan yang menarik dengan gameplay yang mencabar menjadikan game ini satu pengembaraan yang seronok, sesuai untuk peminat lama dan pendatang baharu.
Walaupun tahap kesukarannya kadangkala terasa mencabar, ia menawarkan fleksibiliti untuk menaikkan level watak, memperbaiki kebolehan, dan menyesuaikan tetapan, memastikan ia boleh dinikmati oleh pemain dengan pelbagai tahap kemahiran.
Dengan semua ciri-ciri ini, Dynasty Warriors: Origins menyerlah sebagai salah satu entri paling berani dan menghiburkan dalam francais.

Game ini akan dilancarkan pada 17 Januari 2025 untuk PlayStation 5, Xbox Series, dan PC melalui Steam. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi.
@gamersantaimy
The Review
Dynasty Warriors: Origins
Secara keseluruhan, Dynasty Warriors: Origins membawa nafas baharu kepada siri yang digemari ramai ini dengan menggabungkan penceritaan yang lebih intim, pertempuran yang dinamik, dan elemen strategi dalam satu pengalaman memukau. Game ini menyajikan pendekatan segar terhadap kisah epik Three Kingdoms, memberi fokus bukan hanya pada peristiwa sejarah, tetapi juga pada perjalanan peribadi seorang pengembara. Pemain diberi kebebasan untuk memilih faction yang mereka sokong dan membentuk naratif mengikut keputusan mereka.
PROS
- Game ini membawa jalan cerita serba baharu, menyimpang daripada kisah biasa Three Kingdoms dengan menumpukan pada perjalanan peribadi protagonis original
- Gameplay boleh ubah suai! Pelbagai jenis senjata (sembilan jenis) dan Skill Tree membolehkan pemain mencuba pelbagai gaya permainan
- Pertempuran pantas yang membolehkan pelbagai strategi menggunakan kemahiran, kombo, dan kombinasi senjata
- Misi Sampingan membantu menyerlahkan kisah unik setiap watak
CONS
- AI sekutu terlalu lemah berbanding AI musuh yang terlalu kuat, menyebabkan ketidakseimbangan
Discussion about this post