Supermassive Games menjadi sangat terkenal selepas membangunkan beberapa game “choice-based” seram. Bermula dengan game PS4 eksklusif, Until Dawn, studio tersebut telah beralih kepada pelantar-pelantar berbeza dengan game “The Dark Pictures Anthology“. Selepas pelancaran permainan pertama dalam siri iaitu Man of Medan pada Ogos 2019, Supermassive Games kini bersiap untuk mengeluarkan sekuelnya. Diberi nama “Little Hope“, game ini telah menerima trailer baru beberapa hari lepas dan kami sekarang mempunyai gambaran yang lebih luas tentang game seram seterusnya dalam The Dark Pictures Anthology.
Pertama kali didedahkan di penghujung Man of Medan, saya telah menerima maklumat baru tentang The Dark Pictures Anthology: Little Hope. Walaupun permainan pertama berlaku di atas kapal hantu, Little Hope memperkenalkan pemain kepada ahli sihir. Jalan cerita kali ini diilhamkan oleh abad ke-17 dan “The Witch”, “Season of the Witch”, “Blair Witch” dan lain-lain. Berlangsung di Andover, Massachusetts, pemain akan mendapati diri mereka terperangkap dan terpencil di bandar Little Hope, ketika empat pelajar kolej dan profesor mereka harus melepaskan diri daripada makhluk-makhluk misteri yang tidak berhenti mengejar mereka..
The Dark Pictures Anthology: Little Hope akan bermula dengan The Curator, yang berperanan sebagai pencerita dalam permainan ini. Dia akan memberitahu pemain tentang sejarah sebuah bandar kecil bernama Little Hope. Semasa dia bercakap, kami mendapat gambaran ringkas tentang watak-watak yang akan kami kawal kali ini. Wataknya terdiri daripada:
- Taylor
- Andrew
- Daniel
- Angela
- John (Profesor)
Seperti bandar-bandar lain di zaman lama Amerika, Little Hope pernah melalui era “witches“. Ini menyebabkan penduduk menuduh orang-orang yang tidak bersalah atas alasan bersubahat dengan ahli sihir. Malah, beberapa ketua bandar sanggup melakukan perbuatan-perbuatan keji untuk menghentikan penyebaran “witches“.
Selepas penerangan ini, pemain akan kembali ke zaman moden untuk menjelajah bandar Little Hope. The Curator menjelaskan bahawa perbuatan jahat dan kejam yang berlaku telah membangkit sebuah kuasa jahat. Tugas jatuh kepada pemain untuk memastikan setiap watak hidup (kalau boleh) dan terselamat daripada ancaman bahaya ini. Pemain bukan sahaja harus melarikan diri, mereka juga perlu memahami maksud peristiwa ini.
Apa yang membuatkan The Dark Pictures Anthology unik adalah terdapat pelbagai cara untuk anda bermain. Setiap keputusan yang pemain buat mempunyai “butterfly effect” yang bermaksud mana-mana watak boleh mati pada bila-bila masa dan jalan cerita pun boleh berubah. Ini mengharuskan pemain untuk membuat pilihan yang betul agar semua terselamat. Walaupun game ini dapat dimainkan secara single-player, ia juga mempunyai fungsi co-op atas talian di mana anda dan rakan dapat memainkan watak yang berbeza dalam satu masa yang sama sambil melalui pengalaman yang berbeza ketika bekerjasama untuk bertahan hidup. Siri ini juga dilengkapi mod “Movie Night“, di mana lima pemain boleh mengawal satu watak berbeza. Satu pemain boleh menggunakan hanya satu watak, dan anda harus memberi controller kepada rakan anda bila giliran watak mereka muncul.
Jadi apakah yang membezakan Little Hope dan Man of Medan? Kedua-dua game ini mempunyai sistem sinematik yang sama, cuma sistem kamera di Little Hope adalah lebih canggih di mana Little Hope mempunyai transisi yang lebih lancar daripada watak ke watak. Selain itu, kelajuan semasa berjalan kaki juga diubah agar sesuai dengan persekitaran semasa. Yang paling menarik ialah UI yang direka khas untuk membantu pemain. UI baru akan mengandungi info dalam bentuk teks dan amaran QTE untuk memandukan pemain ke arah yang betul.
“Kami gembira dengan reaksi pemain dan kejayaan Man of Medan sebagai permainan pertama untuk The Dark Pictures Anthology. Kami menghargai maklum balas daripada komuniti dan pasukan masih komited untuk memastikan setiap ansuran baru memberikan pengalaman seram yang lebih mendebarkan. Dengan babak berikutnya, Little Hope, ia membawa kisah seram yang baru dan lebih menakutkan kepada antologi.” – Pete Samuels, Ketua Pegawai Eksekutif Supermassive.
The Dark Pictures Anthology: Little Hope akan dikeluarkan pada pertengahan tahun 2020 untuk pelantar PS4, Xbox One dan PC. Tarikh rasmi masih belum diumumkan tetapi selepas penambahan-penambahan di atas, saya sendiri pun tidak sabar untuk tunggu ia keluar.
@gamersantaimy
Discussion about this post