Sony Interactive Entertainment dan Santa Monica Studio secara rasmi mengumumkan God of War Laufey, game seterusnya dalam francais aksi popular berkenaan.
Didedahkan semasa State of Play, game ini mengalihkan tumpuan kepada Laufey (lebih dikenali sebagai Faye): seorang pahlawan Frost Giant yang hebat merangkap isteri kepada Kratos.
Game ini sedang dibangunkan secara eksklusif untuk PlayStation 5. Walaupun tarikh pelancaran belum diumumkan, pendedahan ini turut disertai showcase berdurasi 20 minit yang menjelaskan latar naratif, barisan watak, serta mekanik combat.
Bangkit di Alam Kematian Para Dewa
Dalam God of War (2018), kematian Faye menjadi pencetus yang menggerakkan perjalanan Kratos dan Atreus untuk menyemadikan abu jasadnya. Namun, God of War Laufey mendedahkan bahawa upacara tersebut sebenarnya hanyalah permulaan kepada konflik baharu.
Rakaman gameplay bermula tepat pada upacara pengebumian tersebut… selari dengan permulaan game 2018. Bagaimanapun, Faye tiba-tiba terjaga di satu dimensi asing yang dipanggil Everywhen.
Menyedari kematiannya kini menggugat rancangan untuk melindungi Kratos dan Atreus, Faye perlu mencari jalan pulang. Demi menyelamatkan insan tersayang, beliau harus bertarung melalui alam kematian para dewa ini: sebuah tempat di mana dewa-dewa kejam dan makhluk mitologi daripada pelbagai budaya saling bersaing merebut kuasa.
Sekutu Unik dan Pertembungan Mitologi Asing
Everywhen ialah dimensi berbahaya tempat bertembungnya pelbagai mitologi dunia. Menerusi gameplaytersebut, Faye dilihat berdepan dewa-dewa luar daripada mitologi Norse, termasuk Sekhmet (dewi singa Mesir) dan Begtse (dewa pelindung Tibet-Mongolia).
Faye tidak akan menempuh bahaya ini bersendirian. Sebaik sahaja bangkit, beliau disertai dua rakan yang unik:
- Phranque (disuarakan oleh Jack Quaid): Kiub jeli kosmik berhati mulia yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi makhluk-makhluk di Everywhen.
- Rue (disuarakan oleh Perlina Lau): Penjaga reben sakti yang bertanggungjawab memastikan sebilah pedang berkuasa tidak jatuh ke tangan yang salah.
Pelakon Deborah Ann Woll kembali menyumbang suara dan melakonkan watak Faye, membawakan semula watak yang pernah dimainkannya dalam flashback God of War Ragnarok.
Gabungan Era Yunani dan Norse
Dalam combat, playstyle Faye jauh berbeza daripada aksi Kratos. Santa Monica Studio menggabungkan kelancaran dan pergerakan lincah dari era Yunani dengan elemen penceritaan serta hubungan watak dari era Norse yang moden.
Menggunakan sebilah pedang legenda yang dikawal menerusi reben Rue, Faye boleh bertukar antara serangan darat dan udara tanpa menghentikan rentak aksi.
Malah, sebagai “Golden Hand of the Jotnar”, kebolehan magik Faye dipertingkatkan dalam alam ini. Beliau mampu memukul musuh dengan impak kuat sehingga memisahkan roh daripada jasad secara fizikal. Pemain kemudian boleh menyerang roh tersebut secara terus atau melontarkannya ke arah musuh lain untuk mencipta kombo yang kreatif.
Pengarah dan Hala Tuju Kreatif
God of War Laufey diarahkan oleh Ariel Lawrence, manakala Ketua Kreatif Santa Monica Studio, Cory Barlog, bertindak sebagai penyelia projek ini.
Pihak pembangun menekankan bahawa walaupun Kratos kekal sebagai tokoh utama masa depan francais ini, game spin-off ini memberikan peluang unik untuk meneroka sejarah dan sisi kemanusiaan seorang pahlawan legenda yang sebelum ini hanya wujud di sebalik tabir dalam siri utama.
Lebih banyak maklumat terperinci mengenai alam Everywhen serta mekanik gameplay bakal dikongsi dalam beberapa bulan akan datang.









Discussion about this post