Guerrilla Games telah memberi kemaskini untuk Horizon Forbidden West di acara Gamescom 2021 pagi ini dan akhirnya mengesahkan bahawa permainan ini akan dilancarkan pada 18 Februari 2022. Setelah kesimpulan Zero Dawn, Aloy akan meneruskan pengembaraannya ke Forbidden West sambil melawan dinosaur robot di lokasi baru dalam dunia pasca-apokaliptik ini. Apa yang bakal terjadi? Saya pun masih tidak tahu tetapi harapkan lebih banyak info dalam masa terdekat.
Semasa pengumuman pertama, Horizon Forbidden West pada awalnya dijangka akan keluar pada hujung tahun 2021 dan sepatutnya memasuki “peringkat akhir pembangunan” pada bulan Jun lalu. Malangnya, permainan ini ditunda ke tahun 2022. Berita ini pun tidaklah begitu mengejutkan memandangkan industri permainan masih dilanda wabak COVID-19 . Itu tidak menghalang popularitinya kerana Horizon Forbidden West berjaya menjadi permainan yang paling banyak ditonton dalam masa sehari semasa acara State of Play. Ternyata ramai yang tidak sabar untuk melihat pengembaraan Aloy yang seterusnya. Selain itu, dia juga akan menjadi watak crossover untuk permainan RPG popular Genshin Impact. Untuk maklumat lanjut tentang topik itu, anda boleh baca artikel ini.
Bagi mereka yang bimbang jika Forbidden West hanya eksklusif untuk PS5 sahaja, jangan risau kerana ia telah disahkan bahawa pembangunan dan pengujian dilakukan sambil memikirkan tentang prestasi PS4 pada bulan Jun lalu. Ini bermaksud pemain PS4 pun akan berpeluang mencuba permainan walaupun tidak dapat upgrade ke PS5. Pada masa yang sama, Guerilla Games membuat pengumuman mengejut dengan memberi kemas kini percuma untuk Horizon Zero Dawn di PlayStation 5.
Sekali lagi saya ingatkan, Horizon Forbidden West akan dilancarkan untuk PS4 dan PS5 pada 18 Februari 2022. Untuk segala liputan kami tentang acara gamescom 2021, sila tekan pautan ini.
Sumber – gamescom 2021
@gamersantaimy
Discussion about this post