Kojima Productions mengumumkan bahawa sebuah filem animasi dewasa berlatarkan dunia Death Stranding kini sedang dalam pembikinan, dengan penulisan skrip dikendalikan oleh Aaron Guzikowski, penulis di sebalik Raised by Wolves dan Prisoners.
Tidak seperti game aksi-pengembaraan dari 2019, filem ini tidak akan memfokuskan kepada watak utama Sam Porter Bridges. Sebaliknya, ia akan mengetengahkan naratif original dalam dunia pasca-apokalips Death Stranding yang penuh misteri.
Pengumuman ini mencerminkan langkah berani francais ciptaan Hideo Kojima, yang sebelum ini telah memikat pemain dengan dunia sepi yang penuh ancaman ghaib seperti makhluk “BT” serta fenomena “Timefall” yang mempercepatkan proses penuaan.
Dalam temu bual bersama Vogue Japan pada bulan Mei lalu, Kojima pernah mengusik mengenai projek animasi Death Stranding, namun tidak dapat dipastikan sama ada filem animasi dewasa ini adalah projek yang sama atau satu usaha berasingan — berkemungkinan juga wujud sebuah adaptasi anime yang masih belum diumumkan secara rasmi.

Walaupun butiran penuh tentang plot masih dirahsiakan, filem ini dijangka membawa nada yang lebih matang, seiring dengan karya seperti Predator: Killer of Killers atau filem animasi prekuel John Wick.
Menariknya, filem ini digambarkan sebagai “animasi” dan bukan “anime,” menandakan pendekatan yang berbeza daripada gaya Jepun dan menumpukan kepada identiti tersendiri — tidak terikat dengan kisah Sam Porter Bridges, seorang kurier yang cuba menyambung semula Amerika dalam dunia yang telah musnah akibat kejadian yang menghubungkan dunia nyata dengan alam kematian.

Filem animasi ini hanyalah sebahagian daripada beberapa adaptasi Death Stranding yang sedang dirancang. Sebuah lagi projek ialah filem aksi langsung arahan Michael Sarnoski (A Quiet Place: Day One), yang diterbitkan oleh A24. Filem tersebut dijangka lebih hampir dengan cerita asal dari game.
Setakat ini, masih belum ada kepastian sama ada Norman Reedus akan kembali memegang watak Sam dalam mana-mana projek ini. Sementara itu, Death Stranding 2: On the Beach dijadualkan tiba di PlayStation 5 pada 26 Jun, menyambung semula pengembaraan dalam dunia unik hasil imaginasi Kojima.
@gamersantaimy
Discussion about this post