Koei Tecmo dan pembangun Team NINJA telah mengumumkan bahawa demo untuk Fatal Frame II: Crimson Butterfly REMAKE akan dilancarkan pada 5 Mac.
Mereka turut mendedahkan kolaborasi istimewa bersama Silent Hill f. Kerjasama ini akan membawakan kandungan kostum percuma yang boleh dimuat turun bagi kedua-dua game, di mana butiran lanjut mengenai ‘crossover’ ini akan dikongsikan dalam masa beberapa minggu lagi.

Pelancaran penuh Fatal Frame II: Crimson Butterfly REMAKE akan menyusul sejurus selepas demo tersebut, iaitu pada 12 Mac untuk PlayStation 5, konsol Xbox Series X|S, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam.
Sebuah Klasik Diberi Nafas Baharu
Bagi mereka yang baru mengenali francais, game ini mengisahkan pasangan kembar Mio dan Mayu, yang tersesat masuk ke Kampung Minakami; sebuah tempat yang terperangkap dalam kegelapan malam abadi dan dipenuhi dengan roh-roh yang berdendam.
Satu-satunya pertahanan mereka ialah Camera Obscura, sebuah peranti antik yang mampu menangkap dan mengurung entiti ghaib.

Walaupun setia kepada versi PlayStation 2, remake ini memperkenalkan pengembangan naratif yang lebih luas. Antaranya termasuk pengakhiran serba baharu yang diiringi lagu tema “Utsushie,” hasil gubahan veteran siri ini, Tsuki Amano. Kisah latar kampung tersebut juga telah diluaskan melalui “Broken Spirit Stone.”
Ditemui sepanjang pengembaraan, item-item ini membolehkan pemain menyelami masa lampau pelbagai watak, membuka cerita sampingan baharu yang mendedahkan lagi tragedi Minakami.

Kisah-kisah ini akan membawa pemain ke lokasi-lokasi yang belum pernah dilihat sebelum ini.
Persekitaran baharu termasuklah Umbral Mound, sebuah tapak pengebumian yang tersembunyi di dalam rimbunan buluh tebal dan diikat ketat dengan tali, serta Eikado Temple, sebuah dewan yang diterangi cahaya lilin dan menempatkan sepasang patung kembar yang terikat dengan tali suci.

Versi ‘remake’ ini mempertingkatkan tahap kesukaran agar setanding dengan gameplay moden. Semakin mendalam pemain merungkai misteri ini, roh-roh akan menjadi semakin agresif.
Musuh kini boleh memasuki status yang diselubungi “crimson malice,” di mana sayap akan tumbuh pada tubuh mereka, nyawa pulih dengan pantas, dan serangan dilakukan dengan lebih kerap serta lebih kuat.

Untuk terselamat daripada ancaman ini, sistem upgrade telah dirombak sepenuhnya. Pemain boleh mengumpul Prayer Bead untuk menguatkan Camera Obscura, meningkatkan statistik seperti kelajuan ‘reload’ dan mata fokus.
Bagi mereka yang ingin bereksperimen dengan ‘build’ yang berbeza, “Reversion Bead” boleh ditemui semasa eksplorasi untuk menetapkan semula semua upgrade yang telah dibuka.

Pilihan taktikal juga telah dikemas kini melalui penapis kanta baharu yang melakukan Special Shot:
- The Paraceptual Filter: Membuka tembakan “Blinding”, yang ‘stun’ sasaran buat sementara waktu, memberikan kita peluang untuk melarikan diri.
- The Radiant Filter: Membuka tembakan “Purging”. Serangan berisiko tinggi dengan ganjaran tinggi ini mengorbankan ‘willpower’ (nyawa) Mio untuk melakukan damage yang besar ke atas roh.

Eksplorasi kekal menjadi asas utama gameplay. Remake ini memperkenalkan quest sampingan baharu melibatkan Twin Dolls yang direka bentuk berdasarkan Shrine Maiden di kampung tersebut. Patung-patung ini bertindak sebagai pelindung daripada malapetaka dan tersebar di seluruh peta.
Pemain mesti mengambil gambar patung-patung ini secara berpasangan di dalam bingkai yang sama untuk membasmikan emosi yang terperangkap di dalamnya. Kejayaan menyelesaikan set ini akan membuka item baharu di Point Exchange.

Selain itu, Photo Mode baharu turut diperkenalkan, membolehkan pemain menghentikan seketika aksi permainan dan menghasilkan imej menyeramkan sendiri menggunakan pelbagai bingkai, pelekat, dan kesan visual.









Discussion about this post