Beberapa tahun belakangan ini, terdapat banyak syarikat game Jepun yang telah mengembangkan pengaruh mereka di Asia Tenggara dan SEGA adalah salah satu daripadanya, dengan penubuhan syarikat mereka di Singapura sehinggalah pameran-pameran yang diadakan di konvensyen game seperti Comic Fiesta, Thailand Game Show, Indonesia Comic Con dan banyak lagi.
Aktif selama lebih 60 tahun, SEGA merupakan salah satu syarikat gaming yang terkenal di dunia, membentuk masa silam dengan konsol-konsol mereka daripada 1980 – 2000. Bukan setakat itu sahaja, mereka juga terkenal dengan pelbagai francais seperti siri Sonic, siri Like a Dragon dan siri Persona oleh ATLUS.
Kami telah berpeluang untuk menemu bual Yoshiniro Akiyama, Pengarah Urusan SEGA Singapore semasa kami membincangkan kehadiran SEGA di Asia Tenggara dan masa depannya.
Kalau anda ingin tahu, Yoshinori Akiyama merupakan veteran dalam industri ini dengan lebih 20 tahun, di mana kerjayanya bermula di PlayStation dalam perhubungan penerbit selama lebih daripada 6 tahun sebelum dihantar ke Hong Kong untuk jualan dan pengurusan saluran, di mana dia banyak terlibat dalam perniagaan Asia tenggara. Selepas Hong Kong, dia kembali ke pasukan perhubungan penerbit di Shanghai, bekerjasama dengan syarikat gergasi China seperti Perfect World, Tencent dan miHoYo.
Pada 2020, Akiyama kembali ke Jepun dan sertai SEGA pada Julai 2022 sebagai Ketua Jualan di Asia, tempat beliau menyelia jualan konsol PC, termasuk muat turun di rantau ini. Pada Oktober 2022, Akiyama telah dilantik sebagai Pengarah Urusan SEGA Singapura apabila ia ditubuhkan.
Penubuhan di Singapura dan budaya pengurusan
SEGA Singapore telah ditubuhkan pada 2022, sejurus selepas pandemik COVID-19 dan sudah tentunya memberikan cabaran untuk membentuk pasukan-pasukan baru.
Apabila ditanya mengenai kesusahan semasa menubuhkan SEGA Singapore, Akiyama memberitahu bahawa “Mengupah bakat dan membina pasukan dengan budaya yang betul boleh menjadi sangat mencabar. Kami mahu mendapatkan pasukan yang berpengalaman dalam menguruskan berbilang platform game SEGA serta mindset yang betul. Sepanjang tempoh kami mengambil pekerja, terdapat pelbagai penstrukturan semula di kalangan syarikat teknologi dan gaming yang besar. Jadi, kami cukup bernasib baik dan diberkati untuk memiliki pasukan semasa yang kami miliki.”
“Mengimbangi PnL (Untung dan Rugi) sambil mengorak langkah ke arah kejayaan adalah satu seni. Nombor sentiasa datang dengan kos. Terdapat pelbagai kos yang terlibat untuk menubuhkan pejabat baharu, dan dengan kenaikan sewa di Singapura, ia adalah sangat mahal. Ini boleh menjadi agak mencabar untuk pengembangan dan penempatan semula jadi kami berhati-hati tentang perbelanjaan kami sambil memastikan kami meluaskan kehadiran kami di Asia Tenggara.”
Budaya boleh mempamerkan perubahan ketara di seluruh rantau dan SEGA, sebuah syarikat Jepun yang meneroka dalam mewujudkan pejabat di Singapura berkemungkinan menghadapi beberapa konflik budaya.
Apabila bercerita tentang budaya kerja, Akiyama mengatakan bahawa “Ibu Pejabat SEGA terletak di Jepun dan mempunyai sejarah yang kaya dengan budaya Jepun dan pasaran tempatan. Sementara itu, pasukan saya di sini, pernah bekerja dengan syarikat Amerika seperti Activision dan Twitch, jadi pemikirannya agak berbeza. Kami menghabiskan hampir setahun untuk menyesuaikan minda itu daripada kedua-dua pasukan saya dan ibu pejabat.”
Daripada segi pertumbuhan dan matlamat SEGA di Asia Tenggara, Akiyama menekankan kepentingan game mobile di rantau ini, dengan menyebut Hatsune Miku: Colorful Stage! serta menyatakan lebih banyak tajuk mobile akan datang. Walaupun pasaran konsol dan PC masih merupakan sebahagian besar perniagaan SEGA, syarikat itu mempamerkan cita-citanya untuk memasuki pasaran mobile global dan mengembangkan perniagaan mobile untuk menjangkau khalayak pemain mobile yang lebih luas di seluruh dunia.
SEGA berbanding penerbit lain
Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Akiyama merupakan seorang veteran industri yang telah bekerja selama 17 tahun dengan Sony Interactive Entertainment (SIE), yang turut dikenali sebagai PlayStation. Melihat kerjayanya itu, kami bertanya kepada Akiyama tentang perbezaan dalam budaya kerja antara dua syarikat gaming besar, SIE dan SEGA. Akiyama menjawab ringkas, “Platform melawan penerbit”.
“SIE juga membangun dan menerbitkan game, tetapi cara syarikat platform bekerja apabila dibandingkan dengan penerbit game tulen berfikir dan bekerja adalah sangat berbeza. SEGA mempunyai banyak pengalaman dalam perniagaan platform pada 90-an, dan kami menerimanya untuk pembangunan dan penerbitan game lebih baik, yang membuatkan kami unik berbanding syarikat gaming yang lain.”
Selain daripada pengalaman dalam perniagaan playform, Akiyama turut menjelaskan perbezaan antara SEGA dan syarikat lain, dengan kelajuan merupakan salah satu daripada kekuatan SEGA. Dia menghuraikan SEGA pantas dan agresif, membuat keputusan dengna lancar berbanding penerbit lain di seluruh dunia. “Mungkin ia kesan Sonic,” kata Akiyama secara berjenaka.
Dengan sejarah lebih daripada 60 tahun, SEGA memiliki IP yang begitu banyak dan Akiyama memberitahu bahawa syarikat itu akan menggunakan aset mereka untuk pelbagai bidang dan transmedia seperti merchandise, filem, anime, kolaborasi game dan banyak lagi, dengan cara yang sentiasa membuka peluang kepada penerbit.
Kegembiraan daripada peminat
Sejak tahun lalu, SEGA telah membuatkan kehadirannya diketahui di seluruh Asia Tenggara dengan membuat kemuncula di pameran dengan konvesyen gaming wilayah untuk peminat kunjungi dan alami demo untuk game yang akan datang. Melihat usaha aktif mereka untuk meningkatkan kehadiran mereka, kami tertanya-tanya bagaimana sambutan terhadap pelbagai pameran yang telah mereka anjurkan.
“Maklum balasnya sangat positif,” kata Akiyama. “Kami telah sertai empat acara di empat buat negara berbeza antara Oktober sehingga Disember dan kami telah mempunyai lebih 5000 orang yang mencuba game kami, seperti Sonic Superstars, Persona 3 Reload dan Like a Dragon: Infinite Wealth, sebagai contoh.”
“Kami melakukan tinjauan semasa acara itu dan beribu-ribu pengguna mengambil bahagian. Majoriti komen adalah tentang bagaimana mereka menghargai SEGA berada di sini. Seperti yang anda ketahui, tidak banyak syarikat gaming Jepun akan menyertai acara di Asia Tenggara, mungkin Thailand Game Show, tetapi tidak di Comic Fiesta Malaysia, Indonesia Comic Con, atau sebagainya. Oleh itu, ramai peminat datang kepada kami dan mengambil gambar dan berkongsi penghargaan mereka untuk SEGA. Saya rasa maklum balas pada umumnya baik dan kami juga menghargai peminat yang datang ke acara tersebut.”
Acara kolaborasi di Asia Tenggara
Acara gaming serantau bukanlah satu-satunya tempat di mana SEGA mewujudkan kehadirannya kerana kami telah melihat syarikat itu bekerjasama dengan jenama di Filipina, menjadikan kafe Persona 5 Tactica sebagai realiti dan menyapa peminat dengan acara pelancaran Like a Dragon: Infinite Wealth.
Dengan Filipina menganjurkan pelbagai acara istimewa, Akiyama menjamin bahawa SEGA bukan fokus kepada satu negara sahaja tetapi juga melihat peluang di negara-negara lain dalam Asia Tenggara.
“Filipina adalah pasaran penting bagi kami dan sentiasa ada keutamaan perniagaan. Acara yang berlaku di Filipina cuma rasa sesuai untuk pasaran tetapi kami bukan sahaja tertumpu pada Filipina. Katakan mungkin jika kami mengadakan acara Sonic, kami mungkin melakukannya di Singapura, Thailand atau Malaysia mengikut kesesuaian.”
Persona 3 Reload dan tajuk akan datang
Semasa beberapa minggu pertama pelancaran Persona 3 Reload, salinan fizikal game untuk versi Asia Tenggara telah tersilap dengan penghantaran game dalam bahasa lain, di mana peminat menerima versi bahasa Cina dan bukanlah versi bahasa Inggeris seperti yang dijanjikan.
Apabila kami bertanya jika Akiyama mempunyai sebarang komen mengenai situasi tersebut, dia menyatakan “Ia adalah aturan yang teruk daripada kami, itu sudah pasti. Kami cuba sekurang-kurangnya memberikan kod game kepada peminat, sebelum menyediakan barangan fizikal untuk ditukar di peruncit. Untuk itu, kami memohon maaf atas apa yang berlaku dan berharap pengguna boleh mendapatkan salinan fizikal mereka secepat mungkin. Kami cuba yang terbaik untuk menambah stok secepat yang kami boleh.”
Selain daripada pelepasan tajuk baharu seperti Persona 3 Reload dan Like a Dragon: Infinite Wealth, SEGA turut mempunyai pelbagai game akan datang yang akan dilancarkan pada tahun ini. Antara tajuk game tersebut adalah Unicorn Overlord, game taktikal RPG baharu oleh ATLUS dan Vanillaware dan Shin Megami Tensei V: Vengeance, edisi game RPG 2021, yang diperbaharui yang akan tersedia di pelbagai platform kali ini.
Apabila bertanya jika ada maklumat baharu yang ingin dikongsinya mengenai game tersebut, Akiyama hanya tersenyum dan berkata “Kami membangunkan game dan kualitinya kelihatan baik. Itu yang saya agak pasti dan ini sahaja yang boleh saya katakan buat masa ini. Sila nantikan berita terkini. Maklumat lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.”
Masa depan SEGA di Asia Tenggara
Seperti yang kami nyatakan, SEGA Singapore telah ditubuhkan hampir setahun tetapi mereka telah bekerja keras dalam meluaskan kehadiran syarikat di serantau Asia Tenggara. Apabila bertanya mengenai pasaran Asia Tenggara, Akiyama berkata:
“Kami melihat potensi besar dalam pasaran Asia Tenggara, dan kami tidak melakukan banyak perkara di rantau ini pada masa lalu. Kami hanya, anda tahu, sebuah syarikat berusia setahun sebagai SEGA Singapore tetapi kami akan melibatkan diri dan menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, pengalaman yang lebih baik untuk pengguna di Asia Tenggara. Sila nantikan semua berita yang akan kami umumkan dalam masa terdekat.”
Dengan ini, tamatlah sesi temu bual kami kali ini. Terima kasih banyak-banyak kepada Akiyama kerana sudi untuk menjawab soalan-soalan kami dan kami turut panjangkan penghargaan tersebut kepada SEGA Singapore atas peluang temu ramah ini.
Untuk mendapatkan segala berita mengenai SEGA daripada kami, boleh klik pautan ini.
@gamersantaimy
Discussion about this post