Sony Interactive Entertainment dan Kojima Productions mengesahkan bahawa Death Stranding 2: On the Beach akan dilancarkan ke platform PC. Pemain PC pun tidak perlu menunggu lama, kerana game ini akan tiba di Steam dan Epic Games Store pada 19 Mac 2026.
Pengumuman ini dibuat kurang daripada setahun selepas pelancaran game tersebut di PlayStation 5 pada Jun lalu. Bagi memastikan peralihan ke PC berjalan lancar, Kojima Productions telah bekerjasama dengan Nixxes Software; studio yang terkenal dengan kualiti PC port hebat seperti Spider-Man dan Ghost of Tsushima.
Dalam sekuel ini, Sam Porter Bridges mengembara melepasi United Cities of America. Misinya kali ini? Menghubungkan benua Australia ke Chiral Network.
Walau bagaimanapun, rupa bumi kali ini lebih mencabar. Selain ancaman biasa daripada Mule dan BT, pemain perlu mengharungi dunia yang dilanda bencana alam termasuk gempa bumi, ribut pasir, dan kebakaran hutan.
Sistem “Social Strand System” turut kembali. Mekanik multiplayer ini membolehkan pemain membantu satu sama lain secara tidak langsung dengan membina struktur, meninggalkan bekalan, dan membina laluan yang akan muncul dalam dunia pemain lain.

Nixxes membawakan pelbagai penambahbaikan teknikal untuk versi PC. Game ini akan menyokong semua teknologi upscaling dan frame-generation utama, termasuk NVIDIA DLSS, AMD FSR, dan Intel XeSS. Pemain dengan spesifikasi PC tinggi juga boleh menikmati framerate tanpa had dan resolusi 4K sepenuhnya.
Antara ciri menarik bagi port ini adalah sokongan ultrawide. Walaupun versi PlayStation 5 akan menerima mod “Ultra Widescreen” 21:9 untuk gameplay dan cutscene, pemain PC boleh menikmati pengalaman dengan sokongan 32:9 “Super Ultra Widescreen”.

Game ini menyokong DualSense wireless controller, membawakan ciri haptic feedback dan adaptive trigger yang sama seperti di PS5. Dari segi audio pula, ia menyokong 3D Audio melalui Dolby Access, DTS Sound Unbound, dan Windows Sonic.
Dengan log masuk ke akaun PlayStation Network, pemain boleh mengakses overlay khas PlayStation untuk menjejaki Trophy dan berhubung dengan rakan-rakan. Mereka yang menghubungkan akaun juga akan menerima ganjaran digital eksklusif, termasuk patch beg galas yang unik dan sut khas yang diinspirasikan oleh logo klasik PlayStation.

Semasa siaran State of Play, Hideo Kojima turut mengacah bahawa “mod dan ciri baharu” kini sedang dibangunkan untuk kedua-dua versi PC dan PS5. Walaupun butirannya masih dirahsiakan buat masa ini, Kojima Productions menjanjikan penambahan ini akan menawarkan “cabaran dan ganjaran baharu” semasa pelancaran. Maklumat lanjut dijangka akan didedahkan pada bulan depan.









Discussion about this post