Siaran langsung Day of the Devs: Edisi The Game Awards 2025 kini telah berakhir. Seperti tahun lepas, acara kali ini juga padat dengan pelbagai kejutan, khasnya buat para peminat permainan video indie. Di samping mempamerkan judul-judul yang sedia maklum dan mengesahkan tarikh pelancaran rasmi, beberapa permainan video serba baharu turut diperkenalkan buat pertama kalinya kepada dunia.
Bagi yang kurang tahu, Day of the Devs merupakan sebuah inisiatif yang diasaskan bersama oleh Double Fine Productions dan iam8bit sejak tahun 2012 lagi. Tahun demi tahun, mereka konsisten menganjurkan pameran digital bagi memberi platform kepada para pembangun indie untuk mempromosikan hasil karya mereka. Meskipun berstatus organisasi bukan untung yang bergantung pada dana sumbangan, mereka tetap menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menyajikan pameran berkualiti, seperti yang telah berlangsung baru-baru ini.
Berbalik kepada pembentangan itu sendiri, acara kali ini telah menampilkan sebanyak 21 buah permainan video, dengan 7 daripadanya merupakan game yang julung kali dipertontonkan. Berikut adalah judul yang ditayangkan buat pertama kali secara global:
CorgiSpace

- Pembangun: Adam Atomic (Adam Saltsman)
- Penerbit: Finji
Secara am, CorgiSpace menawarkan gameplay yang ringkas dan sesuai untuk sesi permainan yang singkat. Namun, tarikannya terletak pada cara pembangun menggabungkan pelbagai game ke dalam satu pakej yang lengkap. Melalui CorgiSpace, pemain berpeluang menikmati koleksi minigame yang merangkumi pelbagai genre, daripada aksi, pengembaraan, dan arked, sehinggalah kepada roguelike dan teka-teki. Matlamat pembangun adalah untuk menyajikan pelbagai pengalaman bermain dalam satu judul yang tidak memerlukan komitmen masa yang panjang, tetapi masih mampu memberi pengalaman yang mengasyikkan, menjadikannya pilihan ideal untuk pemain kasual.
Frog Sqwad

- Pembangun: Panic Stations
- Penerbit: Skeleton Crew
Dengan meletakkan fokus utama pada multiplayer co-op, Frog Sqwad direka untuk mencipta pengalaman bermain yang riuh dan menyeronokkan bersama rakan-rakan, terselit dengan detik-detik lucu dan kelam-kabut. Kelainan game ini terserlah melalui mekanik berasaskan fizik, yang membolehkan anda bersama sehingga tujuh pemain lain dalam satu skuad berinteraksi dengan persekitaran sebagai seekor katak. Lidah katak yang melekit boleh dimanfaatkan untuk pergerakan platform, penyelesaian teka-teki unik, melambung rakan sepasukan, serta pelbagai lagi aksi spontan yang tidak terduga. Setiap sesi permainan menjanjikan pengalaman yang berbeza, khususnya disebabkan oleh elemen fizik yang memaksa pemain untuk sentiasa beradaptasi dengan persekitaran yang dinamik.
Lucid Falls

- Pembangun: Eldamar Studio
- Penerbit: Eldamar Studio
Beralih ke genre seram psikologi, Lucid Falls mencuri tumpuan melalui kualiti visual dan persekitaran yang begitu atmosfera, hasil pembangunan menggunakan Unreal Engine 5. Game ini mengisahkan watak anda yang terperangkap dalam sebuah mimpi sedar (lucid dream), memaksanya berdepan dengan senario-senario ngeri dan perlu menyelamatkan diri daripada ancaman-ancaman misteri. Di samping menentang makhluk-makhluk ganas melalui sistem combat yang realistik, pemain juga dapat menjelajah dunia permainan dengan menggunakan elemen unik yang membengkokkan realiti, memberikan perasaan seolah-olah benar-benar berada di alam mimpi sambil menyelesaikan pelbagai teka-teki.
Mirria

- Pembangun: Carl Burton
- Penerbit: Mografi
Bagi penggemar genre teka-teki, Mirria merupakan judul baharu yang memikat hati melalui pengalaman penjelajahan yang penuh atmosfera, direka untuk memberikan keselesaan maksimum kepada pemain. Berlatarkan sebuah dunia misteri yang seakan-akan berada di persimpangan antara alam nyata dan fantasi, anda ditugaskan untuk membongkar rahsia melalui siasatan dan serpihan memori yang mengandungi petunjuk-petunjuk penting. Walaupun sesuai untuk pemain kasual, Mirria menawarkan gameplay yang mengasyikkan dan menghiburkan, terutamanya melalui suasana penjelajahan dunia yang penuh misteri.
Scramble Knights Royale

- Pembangun: Funktronic Labs
- Penerbit: Funktronic Labs
Seperti yang digambarkan oleh namanya, Scramble Knights Royale sememangnya membawakan genre battle royale, tetapi dengan pelbagai elemen segar yang diilhamkan terutamanya daripada siri game klasik, The Legend of Zelda. Seramai 32 pemain akan menyertai sebuah pengembaraan epik dalam sebuah arena gergasi yang terdiri daripada gugusan pulau, lengkap dengan pekan, dungeon untuk diterokai, serta misi-misi dengan daya tarikan gaya retro. Oleh itu, selain daripada bertarung secara langsung dengan pemain lain, anda juga boleh melakukan pelbagai aktiviti untuk menguatkan watak seumpama bermain dalam sebuah permainan pengembaraan. Ini memastikan setiap perlawanan terasa segar dan tidak membosankan.
Un:Me

- Pembangun: Historia
- Penerbit: Shueisha Games
Un:Me boleh dikatakan sebagai antara game paling memukau yang ditampilkan sepanjang acara ini, malah menjadi kegemaran kami secara peribadi. Selain kualiti produksinya yang amat mengagumkan bagi sebuah game indie, konsep seram psikologinya berjaya disampaikan dengan begitu berkesan melalui trailer. Watak utama ditempatkan di sebuah hospital yang penuh dengan kejadian aneh, makhluk misteri, dan situasi di mana dia seakan-akan mula hilang kewarasan. Trailer yang dipaparkan hanya menimbulkan lebih banyak tanda tanya, dan elemen misteri yang begitu pekat ini berpotensi menjadi ramuan utama bagi sebuah naratif yang amat menarik.
Virtue and a Sledgehammer
- Pembangun: Deconstructeam, Selkie Harbour
- Penerbit: Devolver
Gandingan dua pembangun yang berbakat, ditambah pula dengan sokongan Devolver sebagai penerbit, sememangnya sudah cukup untuk menarik minat ramai terhadap game ini. Namun, Virtue and a Sledgehammer benar-benar tampil dengan keistimewaannya yang tersendiri. Pada luaran, ia kelihatan seperti sebuah game aksi-pengembaraan biasa dengan gaya visual retro ala PS1, khususnya pada rekaan wataknya. Akan tetapi, trailer-nya mengandungi banyak mesej tersirat yang cuba disampaikan. Asas game ini adalah sebuah pengalaman berunsurkan naratif mengenai seseorang yang tidak lagi dapat meneruskan kehidupan di tempat dia membesar. Namun, penceritaan ini dipersembahkan secara lebih dramatik melalui kehadiran robot dan sebilah tukul besar yang bukan sahaja berfungsi sebagai senjata, tetapi juga sebagai alat bantu pergerakan untuk pemain.
Selebihnya di bawah ialah senarai game indie menarik lain yang turut dipamerkan dalam acara tersebut:
- Unshine Arcade
- Astromine
- Awaysis
- Beastro
- Big Hops
- Demon Tides
- Dogpile
- Find Your Words
- Into the Fire
- Moomintroll: Winter’s Warmth
- ROCKBEASTS
- SOUNDGRASS
- Stretchmancer
- The Dungeon Experience









Discussion about this post