Nexon Games mengumumkan bahawa Blue Archive, RPG taktikal gacha percuma yang cukup popular, akan dilancarkan secara rasmi di platform Steam pada Selasa, 24 Jun 2025.
Sebelum ini hanya tersedia di iOS dan Android sejak tahun 2021, versi PC ini bakal memperkenalkan dunia Kivotos kepada pengguna desktop dengan kawalan yang telah dioptimumkan, grafik yang lebih tajam, serta lakonan suara penuh dalam bahasa Korea untuk jalan cerita utama versi global, lengkap dengan terjemahan Bahasa Inggeris yang telah ditambah baik.
Dalam Blue Archive, pemain akan mengambil peranan sebagai “Sensei,” seorang penasihat kepada kelab penyiasatan “Schale,” yang ditugaskan untuk membimbing para pelajar di bandar akademi besar dikenali sebagai Kivotos.
Game ini menggabungkan elemen pertempuran taktikal masa nyata dengan watak bergaya chibi, jalan cerita yang kuat, serta sistem gacha untuk pengumpulan pelajar.
Pemain boleh membentuk pasukan dengan pelajar yang memiliki peranan tersendiri seperti tank, healer dan DPS, serta mengawal skil dan posisi mereka dalam pertempuran separa automatik.
Cerita disampaikan dalam format visual novel, menggabungkan humor ringan dengan emosi, sambil mendalami hubungan antara Sensei dan para pelajarnya.

Versi Steam akan menyajikan kandungan yang sama seperti versi mobile, lengkap dengan seni visual bergaya anime, reka bentuk chibi yang comel, dan ilustrasi 2D yang memikat untuk babak cerita.
Ciri sosial seperti sistem serupa guild dan acara bermusim juga tersedia, membolehkan pemain bekerjasama atau bersaing dalam misi khas dan serbuan.

Bagi memeriahkan pelancaran, Nexon turut mengadakan acara khas “Doki Doki Heart Milestone” di mana pemain boleh memperoleh ganjaran dalam game seperti Pyroxene dan tiket berdasarkan jumlah wishlist yang dicapai di Steam.
Peminat digalakkan menambahkan Blue Archive ke dalam wishlist mereka di laman Steam untuk mengikuti perkembangan terkini serta membantu membuka lebih banyak ganjaran. Namun, perlu diingatkan bahawa fungsi pre-download tidak disediakan.

Untuk bermain versi Steam, pemain perlu log masuk menggunakan akaun Nexon. Walaupun tiada fungsi cross-play secara terus, kemajuan dalam game boleh diselaraskan antara versi Steam dan mobille dengan menghubungkan akaun Nexon.
Ciri pembelian dalam aplikasi masih dikekalkan seperti dalam versi asal, termasuk sistem gacha, pembelian stamina dan barangan kosmetik.

Disebabkan kandungan imej dan dialog yang agak sugestif, versi Steam Blue Archive diklasifikasikan untuk pemain dewasa sahaja. Pemain disarankan menyemak garis panduan umur di Steam sebelum mula bermain.

Jangan lepaskan peluang untuk menyertai dunia Kivotos bersama ribuan pemain lain apabila Blue Archive dilancarkan di Steam pada 24 Jun 2025!
@gamersantaimy
Discussion about this post