Pada lewat malam tadi, Koei Tecmo dan pembangun Gust telah mengumumkan Atelier Yumia: The Alchemist of Memories & the Envisioned Land, entri terbaru dalam francais Atelier. Akan tersedia pada 21 Mac 2025, game ini bakal dikeluarkan untuk Nintendo Switch, PlayStation 5, PlayStation 4, PC melalui Steam dan buat pertama kalinya dalam sejarah francais, Xbox Series X|S dan Xbox One.
Untuk meraikan pengumuman, sebuah trailer penuh maklumat telah dimuat naik, untuk menjelaskan tentang jalan cerita, watak dan gameplay yang menanti pemain dalam pengembaraan ajaib baharu ini.
Dalam dunia di mana ‘alchemy’ telah menjadi tabu dan dianggap jahat, Atelier Yumia: The Alchemist of Memories & the Envisioned Land mengikuti pengembaraan Yumia Liessfeldt ketika dia berusaha untuk mengungkap kebenaran di sebalik kejatuhan Aladissian Empire—yang ketika dahulu berkembang pesat dengan ‘alchemy’—dan sejarahnya yang hilang.
Game ini membawa pemain dalam perjalanan menerokai tema memori, di mana kita bermain sebagai Yumia Liessfeldt, seorang ahli alkimia muda yang kehilangan ibunya dalam kemalangan ketika masih muda. Pemain harus berusaha untuk mempelajari seni ‘alchemy’ terlarang sambil membongkarkan niat sebenar ibu Yumia yang menyembunyikan identitinya sebagai seorang ahli alkimia.
Sepanjang perjalanan, Yumia menyertai ‘Aladiss Research Team’ di mana dia bertemu Vikto von Duerer dan adik perempuannya, Isla von Duerer. Lama-kelamaan, mereka turut disertai oleh pelbagai teman lain termasuk seorang wanita misteri, seorang demi-human pemalu, dan seorang bekas pengembara penuh pengalaman.
Pengembaraan Yumia akan membawanya ke benua yang musnah, dan walaupun menghadapi misteri masa lalunya, dia perlu mencipta jalan sendiri jika ingin merungkai misteri di sebalik malapetaka yang memusnahkan Aladiss.
Mengikut gameplay ikonik Atelier, pemain akan mempunyai pelbagai aksi dan item yang boleh digunakan sepanjang pengembaraan, membolehkan mereka meneroka dunia luas yang terdiri daripada biom berbeza sambil mengumpul bahan yang boleh digunakan untuk sintesis dan mencipta bahan item baharu yang boleh digunakan dalam penerokaan dan pertempuran.
Cuma, entri kali ini menampilkan beberapa tambahan baru. Kini anda boleh mencipta item tanpa perlu kembali ke ‘base’ dengan penggenalan ciri “Simple Synthesis”, dan buat pertama kali dalam siri, pemain akan dapat membina, dan menghiasi ‘base’ mereka dengan ciri “Building” serba baharu.
Untuk menghidupkan dunia Atelier Yumia, Koei Tecmo dan Gust bekerjasama dengan artis Benitama untuk mencipta visual utama dan reka bentuk semua watak. Pakar dalam mencipta ilustrasi dan reka bentuk watak untuk pelbagai game fantasi, Benitama menggabungkan rujukan untuk mencipta gaya berasaskan monokrom, bagi memberikan kesan bergaya dan comel sambil menonjolkan daya tarikan siri Atelier.
Untuk maklumat lanjut tentang Atelier Yumia: The Alchemist of Memories & the Envisioned Land, sila layari laman web rasmi di SINI.
@gamersantaimy
Discussion about this post