Untuk memperingati ulang tahun ke-45 tayangan anime “Mobile Suit Gundam” di TV, laman web Gundam.info mengumumkan bahawa anime Mobile Suit Gundam: The Origin bakal diadaptasikan menjadi trilogi “filem“.
Tidak trailer dikeluarkan tetapi mereka memuat naik poster rasmi yang anda boleh lihat di atas. Filem pertama bertajuk “Char/Sayla Arc”, filem kedua bertajuk “Kaisen-hen” (The Outbreak of War Arc), dan filem ketiga bertajuk “Loum Arc”.
Lebih mengagumkan lagi, Yoshikazu Yasuhiko, yang merupakan pengarah kepada anime original, bertanggungjawab menyunting setiap episod daripada anime kepada tiga-tiga filem tersebut.
Bagi mereka yang kurang tahu, anime Mobile Suit Gundam: The Origin mula ditayangkan di pawagam Jepun dari 2015 hingga 2018 dengan jumlah total enam episod. Plot anime memfokuskan pada zaman kanak-kanak dan awal dewasa Casval Rem Deikun dan adiknya Artesia (aka Sayla Mass).
Casval Rem Deikun kemudian akan lebih dikenali sebagai Char Aznable, juruterbang mahir dari Zeon yang bertindak sebagai antagonis kepada Amuro Ray, protagonis kepada anime Gundam original.
Seperti saya kata tadi, Yoshikazu Yasuhiko bertindak sebagai ketua pengarah untuk anime Mobile Suit Gundam: The Origin, termasuk menguruskan storyboard. Satu lagi pencapaian beliau yang mungkin ramai tidak tahu ialah Yoshikazu Yasuhiko turut mencipta reka bentuk watak untuk anime pertama Gundam yang bermula pada tahun 1979.
Ketiga-tiga filem Mobile Suit Gundam: The Origin akan mula ditayangkan di Jepun bermula 13 September di Tokyo, dan kemudian pada 25 Oktober di seluruh Jepun. Kami tidak tahu jika filem ini juga akan ditayangkan di Malaysia, tetapi memandangkan baru-baru ini banyak filem Gundam dikeluarkan di negara kita, mungkin ada harapan.
@gamersantaimy
Discussion about this post