Selepas pendedahan pertama, Koei Tecmo dan pembangun Gust telah berkongsi pelbagai maklumat baharu, serta gameplay untuk Atelier Karia: The Night Kingdom & the Guide of Memories. Maklumat baharu ini termasuk info mengenai watak-watak permainan, sistem combat yang ditambah baik, dan mekanik pemakanan yang unik.
Game ini membawa kita kembali ke benua Aladiss, yang merupakan latar bagi tajuk sebelum ini iaitu Atelier Yumia: The Alchemist of Memories & the Envisioned Land. Dalam babak baharu ini, sejenis wabak misteri yang dikenali sebagai “mana withering” mula merosakkan wilayah Ligneus. Bagi mencari penawar dan membongkar kebenaran, pemain perlu mengembara ke sebuah dunia bawah tanah yang mempunyai teknologi dan budaya tersendiri.

Kisah berpusat kepada Karia, seorang alchemist yang hilang ingatan dan hanya mengingati namanya sendiri. Dia bekerjasama dengan sebuah pasukan penjelajahan yang dianggotai oleh Servio Lektor, seorang pakar biologi, dan Fina Rozen, seorang pahlawan mahir. Sepanjang perjalanan, protagonis dari game sebelum ini iaitu Yumia Liessfeldt, hadir sebagai mentor Karia untuk membantunya mengasah kemahiran alkimia sambil Karia berusaha mencari ingatannya yang hilang.

Walaupun alkimia kekal menjadi fokus utama, Atelier Karia membawakan kelainan besar: Karia mempunyai abiliti untuk memakan barangan dan bahan yang ditemui atau dihasilkan olehnya. Mekanik “culinary exploration” membolehkan Karia memakan bahan mentah atau barangan sintesis untuk meningkatkan kebolehannya secara sementara serta mengubah penampilan fizikalnya. Sebagai contoh, memakan bahan berasaskan haiwan tertentu boleh membuatkan Karia tumbuh telinga haiwan secara sementara dan mendapat kelebihan combat khusus.

Untuk crafting, pemain akan menggunakan cauldron yang tersembunyi di dalam dunia bawah tanah. Sistem sintesis pula dibina berasaskan penyambungan “mana pieces” daripada pelbagai bahan yang dipilih. Dengan menyambungkan kepingan ini, pemain boleh mengubah ciri serta kesan akhir barangan tersebut, lantas membolehkan customization dilakukan mengikut kreativiti masing-masing.

Pihak pembangun juga telah mengemas kini sistem combat hibrid yang diperkenalkan dalam Atelier Yumia. Sistem baharu ini menggabungkan aksi dengan menu arahan strategik. Pemain perlu sentiasa peka untuk parry serangan musuh secara real-time, di samping berupaya untuk menghentikan combat seketika pada bila-bila masa. Menghentikan masa akan membuka menu arahan, membolehkan pemain memilih skill atau barangan yang ingin digunakan.

Barangan yang dihasilkan juga jauh lebih berguna ketika meneroka overworld. Dalam Atelier Karia, pemain boleh menggunakan peralatan sintesis untuk memusnahkan dinding, membersihkan laluan yang terhalang, dan pergi ke kawasan yang sebelum ini sukar dimasuki untuk mencari harta karun tersembunyi. Barangan ini juga boleh digunakan untuk menyelesaikan teka-teki persekitaran, mengumpul bahan-bahan, serta menaik taraf base camp supaya berfungsi dengan lebih cekap.
Atelier Karia: The Night Kingdom & the Guide of Memories akan diekluarkan pada awal tahun 2027. Ia akan tersedia untuk PlayStation 5, Xbox Series X|S, PC melalui Steam, dan Nintendo Switch 2.




![[Khabar Angin] God of War Laufey Mungkin Dilancarkan Awal 2027](https://cdn.gamersantai.com/2026/06/GOD-OF-WAR-LAUFEY_2027_FI-75x75.jpg)




Discussion about this post