Bila sebut saja pasal Virtual Reality atau VR, anda mesti membayangkan betapa seronoknya jika dapat membuat sesuatu di dunia realiti menggunakan teknologi tersebut. Sejak beberapa tahun ini, pelbagai media telah mula mengaplikasikan teknologi ini dalam medium mereka. Penonton televisyen juga pasti menunggu masa untuk VR digunakan dalam rancangan kegemaran mereka, terutama peminat anime. Kini, Bandai Namco menyatakan bahawa mereka ingin membantu peminat anime untuk menjadikan impian tersebut sebagai kenyataan.
Baru-baru ini, Anime News Network telah berkongsi berita mengenai HTC telah membuat rancangan bekerjasama dengan Bandai Namco Pictures untuk membawa anime ke VR. Rancangan ini akan dihasilkan melalui pelbagai platform VR HTC, dan jika ianya berhasil, mungkin ini adalah kejayaan baru untuk teknologi tersebut. HTC juga menyatakan dalam beberapa bulan akan datang, mereka akan menambahkan pelbagai kandungan untuk penonton menikmati anime melalui dunia VR dan boleh berinteraksi secara maya.
Presiden dan CEO Bandai Namco Pictures, Ozaki Masayuki menyatakan kerjasama ini hasil dari gabungan anime asal bersama kemampuan dan kecanggihan teknologi HTC sebagai platform Virtual Reality. Mereka akan cuba menghasilkan sebuah pengalaman baru untuk peminat anime yang akan melangkaui batasan fizikal antara manusia dan anime, seolah-olah mereka sedang berada di dunia tersebut.
Selain itu, kerjasama ini akan memberi makna besar untuk IP anime Bandai Namco. Mereka juga sedang membawa Battle Spirit dan Welcome to Demon School, Iruma kun ke alam VR. Mungkin ini akan menjadi antara siri anime VR pertama diuji sebelum Bandai Namco dan HTC membuka tawaran pelesenan untuk siri lain.
Ini bukanlah kali pertama anime memasuki dunia VR, kerana genre isekai telah menghasilkannya terlebih dahulu di Sword Art Online. Funimation juga pernah cuba membawa peminat anime untuk menonton filem hebat melalui VR di pawagam semasa pandemik COVID-19 tahun lalu.
Dengan teknologi Virtual Reality yang semakin banyak digunakan sekarang, tak mustahil selepas ini kita semua boleh layan anime kegemaran di VR. Mesti ada anime yang anda teringin dijadikan VR kan? Anda boleh kongsikan dengan kami anime apa yang anda mahu berada di VR dalam ruang komen.
Sumber: Anime News Network
@gamersantaimy
Discussion about this post