Razer Kishi adalah gamepad telefon pintar seterusnya daripada Razer, berikutan produk Junglecat yang semakin tua. Jika dilihat pada gambar, Razer Kishi nampaknya direka untuk menjadi salah satu gamepad paling premium di pasaran. Rekaannya amat kukuh, dan ia mempunyai lebih banyak butang daripada pesaingnya, serta mempunyai aplikasi yang boleh berfungsi sebagai game launcher.
Masalah terbesar yang diselesaikan oleh Kishi adalah keserasian telefon, kerana berbanding gamepad Junglecat yang hanya berfungsi dengan segelintir telefon pintar, Kishi dapat digunakan ke pelbagai jenis telefon pintar Android dan iOS, asalkan telefon anda mempunyai port USB-C.
Malangnya, isu utama Kishi tetap adalah keserasian, daripada segi permainan video. Walaupun Kishi akan berfungsi pada banyak telefon pintar, Kishi hanya boleh berfungsi pada sebilangan game tertentu, dan anda tidak boleh bermain game yang tidak ada dalam senarai. Anda patut memuat turun dahulu aplikasi Razer Kishi untuk melihat jika game kegemaran anda disokong. Sekiranya disokong, Razer Kishi pasti menawarkan pengalaman “mobile gaming” yang paling rapat dengan konsol.
Reka bentuk dan keselesaan
Razer Kishi terdiri daripada gamepad kiri dan kanan, yang dihubungkan dengan getah elastik dan plat penahan yang disesuaikan di belakang telefon. Ini memastikan gamepad terpasang dengan ketat ketika disambungkan ke telefon. Jika tidak digunakan, setiap bahagian boleh digabungkan sehingga menjadi kotak comel. Razer Kishi mempunyai badan plastik, dan kerana itu, ia sangat ringan. Saya tidak rasa berat yang melampau apabila dipasang pada telefon pintar, dan dengan mudah boleh masuk ke dalam poket apabila tidak digunakan.
Separuh kiri Razer Kishi mempunyai ‘analog thumbstick‘ yang diletakkan di bahagian atas dan D-pad di bawah, serta butang ‘home‘, butang ‘function‘, satu trigger dan satu bumper. Separuh kanan mempunyai trigger dan bumper yang sama, ‘analog thumbstick‘ yang diletakkan lebih bawah, butang ‘function‘ lain dan empat butang yang menggunakan skema X, Y, A dan B.
Sebelah kanan Kishi mempunyai ruang kecil untuk pembesar suara, serta penyambung USB-C untuk menyambungkan gamepad, dan port USB-C lain di bawah untuk mengecas telefon semasa bermain. Razer Kishi disambungkan ke telefon melalui penyambung USB-C yang disebutkan di atas, dan sepatutunya sesuai dengan kebanyakan telefon pintar. Antara peranti yang kami uji ialah Vivo Nex 3 dan Realme X2 Pro yang cukup tebal dan panjang. Apabila Kishi dipasang pada telefon, ia rasa sangat kuat dan kukuh serta tidak pernah rasa longgar atau berisiko untuk tergelincir. Di situ, anda tidak perlu risau.
Pengalaman semasa gaming
Sebilangan besar gamepad telefon pintar meminta anda untuk menetapkan semula kawalan pada pergerakan-pergerakan di paparan. Untuk Kishi, anda tidak perlu buat semua itu. Game yang serasi dengan Razer Kishi mempunyai skema kawalan tersendiri yang berfungsi dengan gamepad tersebut, jadi anda hanya perlu memasangnya dan boleh terus bermain.
Senarai permainan yang serasi boleh didapati dengan memuat turun aplikasi “Razer Kishi“, dan ia termasuk game popular seperti:
- Dead Trigger
- Bully: Anniversary Edition
- Dead Effect
- Rules of Survival
- Secret of Mana
- Soul Knight
- ARK: Survival Evolved
- Final Fantasy IX
- Limbo
- Metal Slug
- Asphalt 8: Airborne
- Need for Speed Most Wanted
- Real Racing 3
dan lain-lain.
Aplikasi ini memberitahu anda game apa yang boleh dimainkan, dan memudahkan kita masuk Google Play Store untuk memuat turun. Walaupun skema kawalan sangat bagus, kelemahan Kishi adalah ia tidak serasi dengan kebanyakan game popular, termasuk yang biasa kita main. PUBG Mobile, Call of Duty: Mobile, dan Mobile Legends: Bang Bang tidak boleh dimainkan pada Kishi, dan tidak ada cara untuk kita membuat skema kawalan sendiri. Di sini, mungkin ada beberapa gamer yang hampa.
Agak mengecewakan apabila tahu Kishi hanya berfungsi pada game-game tertentu, kerana jika anda peminat pada game seperti PUBG Mobile, anda tidak boleh menggunakan gamepad ini. TETAPI! Pengguna masih boleh berharap kerana ia mungkin adalah masalah yang bakal diselesaikan. Banyak game baru sedang ditambahkan ke aplikasi Razer Kishi, dan ada kemungkinan besar Razer membolehkan pengguna untuk membuat skema kawalan sendiri. Jika itu berlaku, Kishi akan menjadi alat permainan pertama dalam wishlist semua orang. Saya harus memberitahu bahawa Razer Kishi juga boleh berfungsi dengan perkhidmatan penstriman tertentu seperti Google Stadia, Microsoft Project xCloud dan Nvidia GeForce Now.
Kadang-kala, skema kawalan untuk game boleh menjadi agak mengelirukan, kerana tidak ada tutorial atau panduan. Anda harus bermain sedikit untuk mengetahui apa yang dilakukan oleh setiap butang. Syukurlah, banyak tutorial dalam permainan sebenarnya diubah suai untuk mencerminkan perubahan skema kawalan. Di samping itu, beberapa fungsi penting dalam permainan tidak mempunyai butang. Saya menguji Rules of Survival dan mendapati tidak ada butang untuk menukar senjata. Ia sedikit membimbangkan dan memerlukan pengguna untuk menyentuh skrin demi melakukan pergerakan tersebut.
Itu sahaja untuk masalah utamanya. Bagi beberapa game lain yang saya uji, kawalannya memang sempurna. Semasa bermain ARK: Survival Evolved, saya sendiri boleh lupa yang saya sedang bermain di telefon pintar kerana pengalamannya seperti bermain di konsol. Apatah lagi bila digunakan pada game lumba seperti Asphalt. Dengan fitur gyroscope, perasaan memandu kereta membuatkan saya terasa seperti benar-benar memegang stereng. Ciri-ciri seperti ini yang menunjukkan betapa bagusnya Razer Kishi apabila ia berfungsi dengan lancar.
Selain isu di atas, Razer Kishi berfungsi dengan bagus. Kami menguji beberapa game, dan ia menunjukkan nilainya untuk memiliki sebuah gamepad yang kuat dan teguh untuk bermain. Saya benar-benar cengkam bahagian pemegang gamepad, dan menekan butang ala-ala “button smashing”, tanpa perlu risau ia akan rosak.
Pendapat
Razer Kishi menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh gamepad telefon pintar sebelumnya, tidak kira dari Razer atau dari syarikat lain. Ia mempunyai dua joystick untuk permainan serba boleh, senarai besar untuk telefon yang serasi dengannya, dan sambungan “plug-and-play” yang bermaksud anda tidak perlu mengubah suai kawalan untuk setiap game.
Walau bagaimanapun, senarai game yang benar-benar berfungsi dengan Kishi agak terhad, dan banyak game kegemaran anda mungkin tidak disokong. Sekiranya anda boleh bermain game dalam senarai Kishi dengan selesa, ia adalah satu pembelian yang bagus, kerana dapat meningkatkan pengalaman gaming ketika anda menggunakannya. Jika berminat, anda boleh membeli Razer Kishi daripada laman web Razer pada harga RM369 untuk Android atau RM469 untuk iOS. Itu sahaja untuk ulasan saya! Selamat ber-gaming!
@gamersantaimy
Discussion about this post