Sempena Tokyo Game Show 2026 (TGS 2026) yang akan berlangsung dari 17 hingga 21 September 2026 di Makuhari Messe, Jepun, SEGA dan ATLUS bakal membuka antara booth terbesar mereka setakat ini, lengkap dengan playable demo, zon pengalaman interaktif, serta pelbagai cenderahati eksklusif untuk para pengunjung.
Sama ada anda merancang untuk terbang ke Jepun atau menonton siaran langsung dari rumah, inilah segala yang disediakan oleh SEGA dan ATLUS untuk acara tahun ini.

Game action-adventure STRANGER THAN HEAVEN daripada Ryu Ga Gotoku Studio akan menerima pameran besar-besaran sebelum pelancarannya pada 15 Januari 2027. Pengunjung boleh meneroka Walkthrough Museum, menonton persembahan di ruang teater eksklusif, serta mencuba playable demo game ini.
SEGA turut menawarkan kipas tangan bertema kepada pengunjung, manakala mereka yang menunjukkan bukti pre-order boleh membawa pulang analog stick cover istimewa. Pengunjung yang mencuba demo dan menghadiri sesi teater juga akan menerima lanyard eksklusif.
ATLUS pula membawa Persona 4 Revival, sebuah remake bagi Persona 4 yang dijadualkan keluar pada 18 Februari 2027. Peminat boleh mencuba game ini di kiosk demo serta bergambar di sudut foto yang menampilkan Teddie dan para Persona dalam game.
ATLUS juga menyediakan beg beli-belah kolaborasi P4R bersama Metaphor: ReFantazio, cermin mata kertas, set pelekat, serta botol air koleksi ATLUS lengkap dengan pemegangnya.
SEGA juga mengembalikan nostalgia arked melalui Crazy Taxi: World Tour. Booth ini akan menampilkan set demo bergaya arked serta sudut foto bertemakan Devolada Yellow Jack.
Pengunjung boleh mendapatkan pelindung matahari berbentuk tanda bumbung Crazy Taxi, pelekat logo bagi mereka yang meletakkan game ini dalam senarai wishlist, pelekat foto media sosial, serta buku nota Crazy Money selepas mencuba demo.
Bagi peminat Sonic, anda boleh mencuba Sonic Racing: CrossWorlds. Pemain yang mencuba demo ini akan menerima poster kolaborasi edisi terhad yang memaparkan kolaborasi bersama EVANGELION dan Godzilla.
Selain itu, game spin-off party co-op iaitu SONIC PICO PARK turut mempunyai zon demo sendiri dengan lapan rekaan kipas tangan watak untuk dikumpul.
Bagi peminat genre fantasi dan strategi, Total War: WARHAMMER 40,000 menampilkan playable demo dan aktiviti fizikal “Hammer Challenge”.
Terbuka kepada pengunjung berumur 18 tahun ke atas yang telah memasukkan game ini ke dalam wishlist, peserta berpeluang memenangi rantai kunci dog tag akrilik, tuala tradisional Jepun tenugui, kemeja-T, dan pelekat.
Sementara itu, peminat Metaphor: ReFantazio boleh menguji kemahiran mereka dalam minigame “Trials of the Blade” untuk memenangi poskad dan sapu tangan Homo Tenta.
Booth SEGA juga menjadi pentas untuk beberapa rakan kerjasama antarabangsa.
Remedy Entertainment akan menyediakan sesi demo khas (18 tahun ke atas) bagi game action-RPG terbaharu mereka, CONTROL Resonant, serta mengedarkan kemeja-T dan tote bag berjenama sebelum ia dilancarkan pada 24 September 2026.
SHIFT UP pula membawa demo Stellar Blade Complete Edition bersama fail plastik peringatan, manakala WB Games akan mempamerkan playable build bagi LEGO Batman: Legacy of the Dark Knight (lengkap dengan hadiah minifigure Batman retro) berserta tayangan video LEGO Harry Potter Collection.
Peminat bola sepak boleh mencuba EA SPORTS FC 27 daripada Electronic Arts di kiosk yang disediakan dan membawa pulang kipas tangan serta pelekat rasmi.
Antara tarikan game lain yang boleh dimainkan termasuklah LOLLIPOP CHAINSAW NEW PROJECT (tajuk tentatif) daripada DRAGAMI GAMES, Farming Simulator 25: Beans & Alpacas Expansion daripada GIANTS Software, Kalanoro daripada New Tales, serta empat judul daripada Arc System Works (DEMONS’ NIGHT FEVER, DAVE THE DIVER: COMPLETE EDITION, Qliphah in Providence’s Shadow, dan Absolum).
Pameran video turut menampilkan Clair Obscur: Expedition 33 daripada Kepler Interactive dan Stupid Never Dies daripada GPTRACK50.
Peminat dan pengumpul barang dari Malaysia yang berkunjung ke sana boleh singgah di kedai cenderahati rasmi SEGA/ATLUS.
Barisan barang kali ini menampilkan replika sebenar apron Junes Store Apron daripada Persona 4 Revival, plat akrilik P4R dengan cetakan foil, serta kemeja-T STRANGER THAN HEAVEN.
Turut dijual ialah patung mainan plushie SEGA Cooro bagi siri Like a Dragon yang menampilkan Ichiban Kasuga, Joongi Han, dan Tianyou Zhao, di samping beg sandang Sonic the Hedgehog serta baju SONIC PICO PARK.



Jadual pentas lanjut serta pautan siaran langsung digital boleh didapati melalui portal rasmi TGS 2026 oleh SEGA.









Discussion about this post