Penerbit game Cygames (yang terkenal dengan judul-judul popular seperti Granblue Fantasy dan Uma Musume) telah memperkenalkan CygamesEdge, sebuah label baharu yang memfokuskan kepada projek game berskala kecil, sederhana dan lebih eksperimental.
Bersama pelancaran label ini, Cygames turut mengumumkan judul sulungnya: Where the Seeds Fall, sebuah game vertical action-adventure yang dibangunkan bersama studio ZEREO. Game ini akan dikeluarkan secarfa digital pada 5 November 2026 bagi PlayStation 5, Nintendo Switch 2, dan PC melalui Steam.
Apakah itu CygamesEdge?
Walaupun Cygames cukup sinonim dengan game RPG besar dan judul-judul live-service, CygamesEdge diwujudkan bagi memberi ruang kepada pembangun untuk mencuba pelbagai idea baharu tanpa terikat dengan kitaran pembangunan yang panjang seperti judul blockbuster.

Di bawah moto “Stay on the edge,” label ini berlandaskan tiga teras utama:
- Kepantasan dan Fleksibiliti: Memastikan saiz pasukan kekal kecil dan tangkas bagi mempercepatkan proses daripada fasa konsep sehingga ke pelancaran game.
- Inovasi dan Teknologi: Menguji alatan produksi moden serta mekanik game baharu.
- Kebebasan Kreatif: Meneroka genre dan gameplay unik tanpa perlu mengambil jalan selamat.
Cygames turut mengesahkan bahawa label ini bukan sahaja akan menghasilkan judul secara in-house, malah bersedia bekerjasama dengan studio indie luar melalui sokongan dana, bantuan teknikal, serta jaringan penerbitan secara global.
Where the Seeds Fall

Judul pertama di bawah label ini, Where the Seeds Fall, merupakan sebuah game platformer berasaskan naratif yang memberi fokus kepada momentum, pergerakan turun ke bawah, dan keberanian mengambil risiko.
Wabak berbahaya yang dikenali sebagai Blight telah memusnahkan permukaan Bumi, memaksa saki-baki manusia membina kehidupan di atas dahan pokok gergasi, World Tree. Dalam kelompok masyarakat ini, kepercayaan karut menebal dan kanak-kanak misteri yang dipanggil “Fell Children” disisihkan kerana dianggap membawa malapetaka.

Pemain akan mengawal seorang askar. Selepas bertemu dengan seorang Fell Child, dia mengingkari arahan pihak atasan dan bertekad untuk melindungi kanak-kanak tersebut dengan memulakan perjalanan berbahaya menurun pokok gergasi itu ke permukaan bumi yang musnah.
Matlamat utama lota adalah untuk turun ke bawah. Pemain perlu merentasi runtuhan, peka terhadap tiupan angin, serta melakukan lompatan tepat merentasi jurang yang tinggi.

Bagi mengelakkan kejadian jatuh yang boleh membawa maut, game ini menampilkan mekanik menarik berkaitan kuntum bunga khas yang tumbuh di sepanjang dahan pokok. Pemain boleh mengambil dan melempar kuntum bunga ini ke lokasi pendaratan sebelum melompat. Kuntum tersebut akan mengembang menjadi kelopak bunga besar untuk menyerap impak pendaratan .
Tanpa memanjangkan jalan cerita secara meleret, Where the Seeds Fall menawarkan kempen naratif yang boleh diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga jam. Selepas tamat, pemain boleh menguji kemahiran mereka melalui variasi peta yang lebih susah, sistem ranking skor, serta mod time trial.









Discussion about this post