Lebih sedekad selepas The Witcher 3: Wild Hunt menggemparkan dunia, satu pengembaraan baharu akan hadir tidak lama lagi menerusi expansion akan datang, Songs of the Past.
Karolina Kuzia-Rokosz selaku Creative Vision Director menjelaskan bahawa untuk menarik Geralt keluar daripada kedamaian yang susah diperolehnya itu, mereka memerlukan dorongan naratif yang benar-benar kuat.

“Saya tahu pada penghujung expansion kedua, Blood and Wine, ia terasa seperti Geralt telah pun bersara. Dia menetap di estet Corvo Bianco yang indah — siapa yang tidak mahu kehidupan seperti itu?” ujar Kuzia-Rokosz.
“Namun dari sudut penceritaan, jika anda membuat keputusan untuk bersara, anda memerlukan alasan yang sangat kukuh untuk kembali. Kali ini, alasan tersebut ialah sahabat karib Geralt sendiri.”

Dandelion memerlukan Geralt menemaninya pulang ke tanah airnya bagi menyelesaikan urusan peribadi, dengan keyakinan bahawa kehadiran temannya itu amat penting untuk menjayakan misi peribadi.
Walaupun idea ini telah lama dirangka di CD PROJEKT RED, pelbagai komitmen berterusan di studio tersebut telah menangguhkannya sehinggalah peluang yang tepat akhirnya tiba. Pembangunannya direalisasikan melalui kerjasama dengan Fool’s Theory, sebuah studio yang dihuni ramai veteran daripada game asal tersebut.
Kuzia-Rokosz menyamakan kolaborasi ini seperti pertemuan semula keluarga atau rakan sekolah yang mesra, menyatukan pasukan-pasukan yang yakin bahawa Dandelion layak menerima lebih banyak “screen time” sebagai salah seorang tokoh terpenting dalam kehidupan Geralt.
Sisi Matang Dandelion dan Hubungan ‘Bromance’ Bersama Geralt
Tanpa mengubah watak bard kegemaran ramai ini secara drastik, Songs of the Past menunjukkan sisi peribadi Dandelion bagi meneroka konflik dalaman, takdir, serta pilihan susah yang perlu dihadapinya. Perubahan ini dapat dilihat melalui rekaan visual baharunya yang telah didedahkan dalam siaran langsung baru-baru ini.
“Dia tidak lagi memakai pakaian dengan warna-warna terang yang biasa kita lihat. Sebaliknya, pakaiannya sekarang menggunakan tona bumi yang lebih pudar kerana dia mahu berhubung semula dengan keluarganya,” jelas Kuzia-Rokosz.
Hubungan Dandelion dengan keluarganya telah terputus selama bertahun-tahun, dan penampilannya yang lebih matang ini mencerminkan perubahan hidup yang serius ketika dia pulang ke rumah.

Inti utama expansion ini memfokuskan pada dinamik antara sang bard dengan sang Witcher. Seperti yang dinyatakan oleh Kuzia-Rokosz, Dandelion adalah antara segelintir individu yang mampu menembusi ‘perisai’ emosi Geralt, serta menonjolkan sifat terbaik dan adakalanya yang paling mencabar dalam diri Geralt.
“Kami sering katakan bahawa kita sudah mempunyai terlalu banyak kisah cinta. Sekarang tiba masanya untuk sebuah bromance,” kata Kuzia-Rokosz.
“Maksud saya, sebuah persahabatan sejati dan matang antara dua lelaki dewasa yang masing-masing mempunyai keunikan serta perbezaan tersendiri, namun tetap sanggup meredah api demi satu sama lain.”
Pelakon suara Geralt, Doug Cockle menambah sambil ketawa:
“Kadang-kadang secara harfiah.”

Hubungan mereka bukanlah persahabatan biasa; ia turut melibatkan keberanian menghadapi kenyataan pahit. Menjadi seorang sahabat sejati dalam kisah ini bermakna berani meluahkan kebenaran yang susah diterima dan bertindak menyelamatkan rakan daripada kesilapan diri sendiri, walaupun usaha itu mungkin tidak disukai pada awalnya.
Pendekatan Doug Cockle Menghidupkan Sisi Manusiawi Geralt
Bagi Doug Cockle, melakonkan semula Geralt of Rivia bukan lagi sekadar watak biasa, sebaliknya sudah menjadi sebahagian daripada dirinya selepas lebih dua dekad memegang watak tersebut.
“Saya sentiasa teruja untuk kembali membawa watak Geralt. Sebenarnya, saya tidak perlu ‘kembali’ pun — dia sudah menjadi sebahagian daripada diri saya,” kata Cockle.
“Saya sering berjalan di dalam rumah dan… bercakap sendirian menggunakan suara Geralt. Saya akan kata benda seperti, ‘Aduh, kena basuh pinggan mangkuk ni.’ Jadi dia sentiasa ada bersama saya. Rasanya seperti masuk ke dalam tab mandi air suam.”

Cockle berasa amat gembira dapat bekerjasama sekali lagi dengan John Schwab, pelakon suara di sebalik watak Dandelion. Beliau menggambarkan gandingan mereka amat serasi dan bertenaga, di mana sifat Dandelion yang ceria dan penuh semangat menjadi pelengkap kepada sikap Geralt yang tenang, dingin, serta sarkastik.
Mengulas tentang emosi Geralt, Cockle menolak tanggapan umum dalam naratif bahawa proses Trial of the Grasses telah menghapuskan segala perasaan sang Witcher.
Walaupun Geralt perlu berdisiplin demi kelangsungan hidup dalam pekerjaannya yang berbahaya serta mengelak daripada terpalit dengan politik, dia pada hakikatnya tetap seorang manusia.

“Sebagai seorang pelakon, saya sentiasa merasakan bahawa Geralt mesti mempunyai emosi. Jika tidak, bagaimana kita sebagai manusia boleh berhubung dengan wataknya?” jelas Cockle.
“Dia ada rasa marah. Dia rasa sedih. Dia rasa keliru. Dia risau. Dia merasakan segala yang kita rasakan setiap hari… Sebagai pelakon, cara saya mendekati emosi adalah melalui tindakan. Saya tidak berpura-pura meletakkan emosi tertentu. Sebaliknya, saya cuba mencapai apa yang ingin disampaikan oleh watak tersebut melalui suara. Menerusi tindakan itu, emosinya akan hadir secara semula jadi. Jadi dalam erti kata lain, apabila Geralt beremosi, itu kerana saya sendiri yang merasakannya.”

Emosi ini turut dibawa ke dalam babak-babak yang memaparkan sisi lembut Geralt. Cockle menyatakan bahawa selain menjaga Roach atau berkongsi detik mesra bersama Triss dan Yennefer, para pemain juga dapat menikmati interaksi kecil yang menyentuh hati:
“Sekarang anda boleh membelai anjing. Itu perkara yang penting… Kita dapat melihatnya melutut, membelai anjing, dan berkata, ‘Good boy, good boy.’ Ia satu perkara yang sangat indah untuk lihat pada diri Geralt.”
Mengekalkan Identiti dan Ketulenan The Witcher 3
Menghasilkan sebuah expansion untuk game legenda sambil melihat ke arah masa depan francais melalui The Witcher 4 memerlukan keseimbangan antara menghormati latar belakang sedia ada dengan inovasi kreatif.
Projek ini mendapat manfaat daripada pengawasan CD PROJEKT RED bersama pakar “lore” mereka, untuk memastikan peraturan dunia dan keperibadian watak yang telah dibina kekal utuh.

“Kami mempunyai kekangan tertentu, tetapi ia adalah kekangan yang positif,” jelas Kuzia-Rokosz.
“Menerusi expansion baharu ini, kami hanya mahu meneroka watak-watak ini dengan lebih mendalam serta membawakan sesuatu yang baharu dan segar, bukannya sesuatu yang lari dari asal… Kami membawakan intipati yang sama, tetapi daripada perspektif berbeza.”

Jalan ceritanya menampilkan campuran watak baharu di samping tokoh daripada latar sedia ada, seperti ahli keluarga Kallaria.
Matlamat utama adalah untuk menghasilkan pengembaraan Witcher yang lengkap; padat dengan pilihan moral berat, pemburuan raksasa mencabar, serta memberi rasa nostalgia buat pemain veteran, di samping membuka ruang yang mudah difahami oleh pemain baharu.
Seperti yang dikatakan Cockle, kehadiran insan-insan berpengalaman yang pernah mengusahakan francais ini dari The Witcher 1 hingga The Witcher 3 adalah kunci utama dalam mengekalkan identiti sebenar game ini.
Pengenalan Semula Senjata Rantai

Dari sudut gameplay, Songs of the Past memperkenalkan semula senjata klasik daripada sejarah francais ini iaitu “rantai besi”. Senjata ini asalnya diperkenalkan dalam novel Andrzej Sapkowski dan digunakan dalam cinematic intro game asal The Witcher sebelum dihancurkan oleh Striga, dan sekarang ia kembali untuk digunakan oleh para pemain.
“Sebab utamanya adalah kerana ia sangat hebat dan bergaya,” kata Kuzia-Rokosz terus terang.
“Geralt tahu cara menggunakannya. Dia tahu bertarung dengannya, dan sekarang kami memberikannya kepada pemain untuk digunakan.”

Selain memberikan babak cinematic yang bergaya dan gerakan finisher ganas, rantai ini memainkan peranan taktikal penting semasa combat. Ia berfungsi sebagai alat crowd-control yang hebat, membolehkan Geralt mengawal dan menumbangkan gerombolan musuh yang mengepungnya dengan pantas.
Tambahan pula, ia meluaskan dimensi combat dengan memberi pemain kaedah khusus untuk menyerang dan menarik musuh yang terbang.
Wilayah Baharu yang Makmur dan Bebas dari Ancaman Perang
Expansion ini turut memperkenalkan kawasan baharu yang unik, berbeza sama sekali dengan medan lawan yang musnah akibat perang dalam base game.
Wilayah yang aman ini mempunyai ekonomi pertanian yang berkembang maju, berasaskan penternakan biri-biri serta pengeluaran produk tempatan, lantas menjadikannya sebuah komuniti yang makmur dan terasing daripada sebarang konflik luar.

“Mereka kaya, hidup dengan aman, dan sebenarnya sangat gembira dengan tempat tinggal mereka. Ia bagaikan tanah yang serba mewah dan melimpah-ruah,” gambar Kuzia-Rokosz.
“Tetapi pada masa yang sama, mereka mungkin terlalu dilindungi. Mereka tidak mengenal erti peperangan.”

Kehidupan yang terlindung ini membentuk cara penduduk tempatan berinteraksi dengan orang luar.
Tidak seperti penerimaan dingin dan penuh kebencian yang sering dialami Geralt di tempat seperti Valinor (di mana penduduknya melemparkan kata-kata kesat seperti “mutan” dan menghalaunya), penduduk di sini memandang seorang Witcher dengan penuh rasa ingin tahu.
Disebabkan raksasa jarang mengganggu, penduduk di situ tidak pernah terdesak memerlukan khidmat pemburu raksasa. Namun demikian, pelbagai kejadian aneh masih berlaku di sebalik ketenangan itu, meninggalkan banyak misteri untuk dirungkaikan oleh Geralt.
Ucapan Buat Komuniti

Mengakhiri perbualan, Kuzia-Rokosz dan Cockle meluahkan penghargaan atas sokongan daripada komuniti peminat. Kuzia-Rokosz berterima kasih atas kasih sayang peminat yang tidak berbelah bahagi.
Cockle menutup perbualan dengan ucapan buat para peminat yang sentiasa setia bersama White Wolf sepanjang dekad pengembaraan epik ini:
“Dan anda boleh sampaikan kepada komuniti anda, daripada saya: Selamat kembali ke laluan pengembaraan (the path). Terima kasih.”
The Witcher 3: Wild Hunt – Songs of the Past akan keluar di PlayStation 5, Xbox Series X|S, dan PC (Steam, Epic Games Store, GOG, Battle.net) pada 2027. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi.
![[Eksklusif] Keluar Dari Persaraan Demi Sahabat, Kupasan Mendalam The Witcher 3: Songs of the Past](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/The-Witcher-3-Songs-of-the-Past_INTERVIU_FI-1-750x375.jpg)
![[Eksklusif] Action RPG TARAE: The Unbound Mempunyai 80 Boss Unik, Semuanya Tiada Rekaan Kitar Semula](https://cdn.gamersantai.com/2026/09/TARAE-The-Unbound_INTERVIU_FI-350x250.jpg)






Discussion about this post