Terkenal untuk game hit seperti Genshin Impact dan Honkai: Star Rail, HoYoverse telah mengumumkan bahawa game simulasi kehidupan kosmik Petit Planet akan dilancarkan pada musim sejuk ini (Disember-Mac).
Game ini akan dilancarkan secara free-to-play di Android, iOS, serta PC melalui launcher sendiri dan juga Epic Games Store.
Sebelum pelancaran, HoYoverse telah membuka pendaftaran untuk Final Beta Test, yang akan bermula pada 20 September 2026. Para pemain yang ingin mencuba game ini lebih awal boleh mendaftar sekarang melalui laman web rasmi mereka.
Sangat berbeza dengan game aksi dan combat pantas yang sinonim dengan HoYoverse, Petit Planet beralih kepada gameplay sandbox yang lebih santai dan menenangkan. Pemain akan memegang peranan sebagai Planet Tender, yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan planet mini mereka sendiri.
Dari awal lagi, pemain bebas membentuk rupa bumi planet sendiri termasuk membina laluan pejalan kaki, serta menghias rumah impian dengan pelbagai perabot. Kehidupan harian akan diisi dengan aktiviti santai seperti bercucuk tanam, menuai buah Luca, memancing di tepi pantai, dan memasak pelbagai hidangan.
Pemain tidak akan terasa sunyi di angkasa lepas. Sepanjang perjalanan, anda boleh berkawan dengan pelbagai jiran haiwan comel yang sedia membantu mengumpul sumber, menemani bersiar-siar, dan akhirnya berpindah untuk tinggal di planet anda.

Apabila ingin berehat seketika daripada menghias planet, anda boleh menaiki kenderaan angkasa dan berlayar merentasi kawasan yang dikenali sebagai Starsea. Penerokaan terbuka ini membolehkan kita menemui pulau-pulau kecil yang mempunyai ekosistem tersendiri, sumber crafting yang susah ditemui, serta pelbagai rahsia menarik.
Bagi mereka yang menggemari interaksi sosial dan mod multiplayer, game ini menyediakan hab komuniti dikenali sebagai Galactic Bazaar. Di sini, pemain dari seluruh dunia boleh berkumpul, berdagang bahan-bahan, menyertai pelbagai mini-game, serta mempamerkan watak dan rumah masing-masing.

Pemain di Malaysia yang menggunakan peranti mudah alih kini boleh membuat pra-pendaftaran (pre-register) dengan mencari Petit Planet di Google Play Store atau Apple App Store untuk menerima notifikasi sebaik sahaja game ini dilancarkan secara rasmi. Bagi pemain PC, anda boleh menambah game ini ke dalam senarai wishlist di Epic Games Store atau mengikuti perkembangannya melalui launcher rasmi.









Discussion about this post