ASUS Republic of Gamers (ROG) Malaysia telah mengesahkan bahawa sesi prapesan untuk ROG XBOX Ally X20 akan dibuka tidak lama lagi. Menjawab khabar angin yang mendakwa konsol handheld ini hanya akan dijual menerusi pakej mahal, pihak ROG menjelaskan bahawa pembeli di Malaysia mempunyai pilihan untuk mendapatkan konsol ini sama ada sebagai peranti standalone atau sebahagian daripada pakej collector’s bundle.

Dihasilkan sempena ulang tahun ke-20 jenama ROG (2006–2026), XBOX Ally X20 tampil dengan rekaan nostalgia menerusi casis “translucent black”. Rekaan badan lutsinar memberikan pandangan jelas ke bahagian sistem penyejukan yang dinaik taraf, lengkap dengan kemasan struktur dalaman berwarna emas yang menyerlah.
Pada bahagian hadapan, peranti handheld ini dilengkapi skrin OLED Nebula HDR bersaiz 7.4 inci dengan resolusi 1080p pada 120Hz serta kecerahan puncak mencecah 1,400 nits. Paparan ini turut menyokong Dolby Vision, AMD FreeSync Premium Pro (VRR antara 30Hz hingga 120Hz), dan dilindungi oleh Gorilla Glass Victus serta salutan DXC anti-reflective.

Untuk prestasi dalaman, Ally X20 dikuasakan oleh pemproses AMD Ryzen AI Z2 Extreme yang dipadankan dengan memori 24GB LPDDR5X-8000 RAM. Bagi ruang storan, ia menyediakan 1TB M.2 2280 NVMe SSD menggunakan saiz standard seperti komputer meja, untuk memudahkan proses naik taraf DIY pada masa hadapan. Pemain turut boleh memanfaatkan rekaan ergonomik gaya Xbox dengan “impulse trigger”, “transforming D-pad”, joystick TMR saiz penuh yang tahan drift, sistem HD haptic, serta dua butang belakang yang boleh disesuaikan. Menjalankan sistem operasi Windows 11 Home, peranti ini dikuasakan oleh bateri berkapasiti 80Wh, lengkap dengan dua port USB-C (termasuk sambungan serasi USB4 / Thunderbolt 4) dan pembaca kad MicroSD Express.

Bagi mereka yang mahukan pakej lengkap, ROG XBOX Ally X20 Bundle menukar peranti handheld kepada sebuah mobile gaming battlestation serba lengkap.
Pakej ini mempunyai bekas perlindungan dbrand Killswitch yang dilengkapi kickstand, skin bercorak litar, dan pelindung joystick, di samping kotak tahan lasak Pelican Protector Case dengan selak merah ROG dan lencana khas ulang tahun ke-20. Pakej ini turut disertakan dengan pengecas pantas 68W serta sepasang cermin mata pintar ROG XREAL R1 Edition 20 Gaming AR Glasses.

Dengan berat hanya 90 gram, cermin mata AR ini boleh disambungkan ke Ally X20 menggunakan satu kabel USB-C sahaja. Ia menggunakan paparan Sony micro-OLED untuk memancarkan skrin maya sebesar 171 inci dengan sokongan refresh rate sehingga 240Hz menerusi frame rate boost. Cermin mata ini juga hadir dengan sistem audio dalaman talaan Bose, penjejakan kepala native 3DoF, fungsi malap “electrochromic tint”, dan integrasi penuh bersama perisian ROG Command Center.

Kesemua pilihan sama ada unit standalone ROG XBOX Ally X20, unit standalone cermin mata AR ROG XREAL R1, mahupun pakej lengkap collector’s bundle disahkan akan memasuki pasaran Malaysia.
ASUS ROG Malaysia akan mengumumkan harga jualan rasmi serta tarikh pelancaran prapesan sebenar dalam satu pengumuman tidak lama lagi. Pembeli yang berminat boleh mengikuti perkembangan terkini di kedai rasmi ASUS Malaysia eStore (asus.com/my/store).









Discussion about this post