S-GAME secara rasmi membuka tempahan pre-order untuk Phantom Blade Zero. Pre-order ini juga diiringi trailer baharu selama 11 minit yang menampilkan gameplay serta butiran baharu bagi jalan cerita.
Game bergenre Wuxia ini akan dikeluarkan pada 29 Oktober 2026 di PlayStation 5 dan PC menerusi Steam serta Epic Games Store.
Tumpuan utama trailer baharu adalah penglibatan ikon seni bela diri, Donnie Yen. Terkenal dengan watak ikoniknya dalam filem Ip Man, Yen telah berkhidmat di sebalik tabir sebagai Creative Consultant sejak tahun 2023. Beliau menyumbang pengalaman puluhan tahun dalam filem aksi dan seni bela diri bagi merangka mekanik combat serta koreografi dalam game ini.
Selain itu, Yen turut menyumbangkan facial capture dan motion capture untuk watak Mó Yuan, iaitu bapa kepada watak utama, Soul.

Dibangunkan dalam Unreal Engine 5, Phantom Blade Zero mencampurkan kisah Wuxia klasik China dengan elemen steampunk dan mekanikal untuk mencipta alam ‘Kungfupunk’.
Pemain akan mengawal Soul, seorang pembunuh upahan elit. Selepas mengalami kecederaan parah dan difitnah membunuh ketua kumpulannya, Soul hanya mempunyai baki 66 hari untuk hidup. Kini diburu oleh bekas sekutu dan pembunuh kejam, dia perlu bertarung untuk membongkar konspirasi besar sebelum masanya tamat.

Seperti kami kata tadi, tempahan pre-order telah dibuka di PlayStation Store, Steam, dan Epic Games Store. Pemain boleh memilih antara dua edisi digital:
- Standard Edition: Merangkumi game asas serta early unlock untuk aksesori Treasure Basin dan pakaian Legacy.
- Deluxe Edition: Merangkumi kesemua kandungan Standard Edition, ditambah dengan kosmetik eksklusif (pakaian Wulin Legend dan Blood-Steel Form), digital art book, serta soundtrack digital rasmi.
Tidak lama lagi, Sony akan menganjurkan siaran State of Play khas pada 17 Ogos 2026 untuk game ini, yang menampilkan 20 minit gameplay memfokuskan kepada combat build, kemajuan, serta pengenalan watak-watak baharu.









Discussion about this post